Wednesday, June 30, 2010

Tabir bilik air




BILIK air bertingkap sering membuatkan anda bimbang dengan kemungkinan diintip ketika mandi. Oleh itu timbul keinginan memasang langsir dan bidai pada tingkap walaupun kita sedia maklum, iklim panas dan lembap negara hanya memendekkan jangka hayat kedua-dua kemasan ini.

Selain hasrat menggantung bidai serta langsir, disyorkan memberi keutamaan kepada jenis tahan sebarang cuaca di samping tidak reput terkena air dan kulat.

* Pilihan Bidai

Bidai aluminium layak diketengahkan di bilik air berkeadaan sentiasa basah dan lembap. Di pasaran ada dijual pelbagai pilihan warna serta corak bidai menarik seiring tema dan konsep bilik air.

Bagi yang menggemari motif kayu boleh menggantikan material sensitif air ini dengan bidai kayu tiruan. Selain menyamai corak kayu asli, bidai ini berbaloi dibeli kerana tidak diselaputi kulat, mudah dicuci selain sesuai ditempatkan di bilik air yang diakui banyak perkakasan seperti alat penyembur rambut, penyegar udara serta gel mandian.

* Pilihan Langsir

Fungsi langsir bukan sekadar menyembunyikan bilik air daripada penglihatan umum tetapi juga membentuk sebahagian hiasan dalaman ruang. Sekiranya fabrik langsir menjadi pilihan, pastikan corak dan motif dipilih menampilkan sedikit persamaan dengan kemasan serta perkakasan agar suasana harmoni mampu diwujudkan.

Fabrik jenis kalis air adalah pilihan bernas kerana tidak memerlukan cucian kering. Selain itu, anda juga disyorkan memilih fabrik yang terlebih dulu dirawat serta diberi perlindungan Scotchguard. Kain minyak (oilcloth) sesuai untuk langsir potongan lurus dan ringkas tetapi awas, ia tidak menarik diberi perincian ropol dan renda penuh.

Sementara, fabrik kapas licin dikhususkan untuk langsir potongan labuh dan penuh kerana berciri berat, senang cuci serta tidak mudah kedut seperti kain kapas biasa.

* Perbelanjaan bidai dan langsir

Menyediakan bidai dan langsir menelan belanja besar terutama yang dilengkapi dengan ciri perlindungan khusus. Justeru, bagi yang tidak mampu memasang bidai kayu, anda boleh menggantikannya dengan bidai gulung plastik.

Berbanding fabrik mahal, sesekali ubah selera dengan memilih langsir mandi pancur sebagai penghias tingkap. Lazimnya, langsir ini didatangkan dalam ukuran seragam menyebabkan anda bahagian bawah serta sisinya perlu dipotong sedikit supaya muat dan secocok digantung di tingkap.

Info


Panduan memilih langsir bilik air

* Langsir memberi warna serta menghidupkan ruang. Penting bagi anda mengenal pasti jenis serta motif bagi menyerlahkan gaya bilik air.

Anda disarankan;

* Memilih fabrik kalis air seperti vinil dan nilon.

* Supaya tampil menarik, langsir berkenaan ditambah aksesori comel seperti manik, mutiara, renda dan bunga hiasan.

* Pastikan corak langsir tidak kontras dengan warna jubin. Misalnya, jika jubin lantai dan dinding berwarna biru kehijauan, pilihan langsir sepatutnya tidak lari daripada keluarga warna biru misalnya biru langit atau biru firus.

* Jika jubin anda berwarna putih dan pudar, langsir berperanan menaikkan seri ruang. Anda dialu-alukan memilih langsir warna terang, corak dramatik ataupun berlatar motif bunga besar.

No comments: