Saturday, June 12, 2010

Pengenalan mengenai insurans

INSURANS adalah pemindahan risiko oleh seseorang individu atau sesebuah organisasi yang dikenali sebagai pemegang polisi kepada syarikat insurans. Sebagai balasan, syarikat insurans menerima pembayaran dalam bentuk premium. Sekiranya pemegang polisi menanggung kerugian, syarikat insurans akan membayar pampasan terhadap kerugian atau kerosakan tersebut.

Jenis insurans

Terdapat dua jenis insurans, iaitu insurans hayat dan am:

# Insuran Hayat

* Menginsuranskan anda atau hayat anda terhadap sebarang musibah sehingga ke suatu amaun tertentu (amaun diinsuranskan).

* Tempoh perlindungan biasanya lebih dari setahun dan memerlukan pembayaran premium secara berkala - bulanan, suku-tahunan atau tahunan.

* Risiko yang dilindungi:

- kematian dalam tempoh polisi

- pendapatan semasa persaraan

- penyakit

- hilang upaya

* Produk insurans hayat

- polisi seumur hidup

- polisi endowmen

- polisi bertempoh

- polisi berkaitan pelaburan

- polisi anuiti

- polisi perubatan dan kesihatan

# Insurans am

* Menginsuranskan anda terhadap kerugian atau kerosakan selain daripada yang ditawarkan oleh perniagaan insurans hayat.

* Tempoh perlindungan selalunya setahun yang biasanya memerlukan pembayaran premium sekali gus

* Risiko yang dilindungi:

- kerugian harta benda, contohnya kecurian kereta atau kebakaran rumah.

- liabiliti yang wujud akibat kerosakan kepada pihak ketiga yang disebabkan oleh anda.

- kematian akibat daripada kemalangan atau kecederaan.

* Produk insurans am

- polisi motor

- polisi kebakaran/ empunya rumah/ isirumah

- polisi kemalangan diri

- polisi perubatan dan kesihatan

- polisi marin, udara dan transit

Prinsip asas insurans

Terdapat empat prinsip asasinsurans.

# Kepentingan boleh insurans

Anda harus mempunyai kepentingan terhadap barang atau hayat yang diinsuranskan di mana sesuatu kerosakan atau kehilangan kepada harta benda atau hayat yang diinsurankan akan mengakibatkan anda menanggung kerugian kewangan.

Sebagai contoh, sekiranya anda menjual kereta anda, anda juga sepatutnya berhenti daripada menginsuranskan kereta tersebut kerana anda tidak lagi mempunyai kepentingan boleh insurans. Sekiranya anda terus menginsuranskannya, syarikat insurans tidak akan membayar pampasan kepada anda sekiranya berlaku kerugian atau kerosakan terhadap kereta tersebut.

# Penuh percaya mutlak

Kontrak insurans adalah kontrak atas dasar penuh percaya mutlak. Anda, sebagai pemegang polisi, mestilah mendedahkan semua fakta penting apabila membeli polisi. Sekiranya anda gagal mendedahkan mana-mana fakta penting, polisi tersebut mungkin menjadi tidak sah.

# Indemniti

Hanya diguna pakai untuk kerosakan fizikal sesuatu hartabenda (contohnya, kerosakan ke atas bangunan atau kenderaan bermotor) di mana kerugian tersebut boleh dinilai dari segi kewangan. Anda tidak boleh `mendapat keuntungan' daripada polisi insurans. Sekiranya anda mengalami kerugian, syarikat insurans akan membayar atau meletakkan anda kepada keadaan yang sama sebelum berlaku kerugian.

Sumbangan

Adalah tidak perlu membeli lebih daripada satu polisi untuk melindungi sesuatu harta.

Sekiranya anda membeli lebih daripada satu polisi, anda hanya boleh membuat satu tuntutan sahaja apabila berlaku kerugian atau kerosakan terhadap harta tersebut. Jumlah yang boleh dibayar tersebut akan disumbangkan oleh syarikatsyarikat insurans yang terlibat. Walau bagaimanapun, anda boleh membeli lebih daripada satu polisi sekiranya anda ingin melindungi hayat anda.

No comments: