Wednesday, May 5, 2010

Tisu parut punca sakit

JIKA masih sakit selepas melakukan pembedahan tulang belakang, anda perlu baca artikel ini. Ini kerana peluang untuk anda sembuh ada di sini.

Dalam artikel lalu, saya menyebut bahawa parut yang terbentuk dalam ruang epidural tulang belakang ialah antara sebab kesakitan kronik walaupun selepas pembedahan tulang belakang dilakukan. Rawatan dimaksudkan untuk pesakit seperti ini dinamakan epiduroplasti atau epidurolisis.

Apa itu rawatan Epiduroplasti?

Suntikan khusus yang dilakukan pada tulang belakang untuk melembut dan melarutkan parut yang menjadi punca kesakitan.

Tisu parut boleh menyebabkan sakit dengan cara memerangkap atau menyentap akar saraf pada ruang epidural ini. Pesakit akan rasa sakit belakang dan kadangkala menjalar turun ke kaki.

Rawatan epiduroplasti akan 'membaik pulih' ruang epidural ini supaya bebas daripada parut. Apabila parut dipecahkan, akar saraf akan bebas dan kesakitan dapat dihentikan.

Apa penyebab parut pada ruang epidural ini?

Parut ini boleh disebabkan luka dan darah beku yang terkumpul hasil pembedahan tulang belakang yang lampau. Keadaan ini semula jadi dan sebahagian proses penyembuhan luka.

Namun pembentukan parut ini di luar jangkaan dan berbeza antara pesakit. Parut juga boleh berlaku pada pesakit yang mempunyai masalah cakera tergelincir atau pecah.

Bagaimana prosedur suntikan epiduroplasti dilakukan?

Prosedur ini dilakukan dalam bilik pembedahan di bawah kawalan sinar-X. Jika anda mengambil ubat pencair darah seperti walfarin, aspirin atau plavix, anda dinasihatkan berhenti makan ubat ini selama 10 hari sebelum suntikan dilakukan. Ketika suntikan dilakukan, anda dikehendaki baring meniarap di atas meja pembedahan.

Suntikan dilakukan dengan menggunakan sejenis jarum khas ke dalam ruang epidural tulang belakang anda. Kemudian sejenis kateter yang fleksibel akan dimasukkan melalui jarum ini untuk mendekati tempat yang berparut secara tepat.

Beberapa jenis campuran ubat akan disuntik ke dalam ruang epidural melalui kateter sepanjang prosedur ini. Antara ubat yang disuntik ialah ubat bius setempat, steroid, enzim hialuronidase dan cecair garam pekat (10 peratus saline normal) yang disuntik mengikut peringkat dan sukatan tertentu. Epidural kateter pada belakang anda kemudian disimpan untuk suntikan kedua pada keesokan harinya.

Anda tidak akan rasa sakit kerana suntikan ini dilakukan dengan menggunakan ubat bius setempat. Anda akan dimasukkan ke wad selama satu hari kerana suntikan kedua akan dilakukan pada keesokan harinya dalam wad.

Anda boleh pulang keesokan harinya selepas suntikan kedua dibuat dan kateter epidural sudah dikeluarkan.

Apa kesan yang dijangka selepas melalui rawatan ini?

Anda akan merasa lega daripada sakit secara mendadak. Kaki anda mungkin rasa kebas atau berat sedikit selama beberapa jam.

Ini disebabkan kesan ubat bius setempat. Kebanyakan pesakit merasa kelegaan yang dramatik mulai hari kedua dan ketiga selepas prosedur dilakukan.

Ada juga pesakit saya yang mula rasa hilang sakit selepas sebulan suntikan dilakukan. Ini kerana ramuan pelbagai ubat yang disuntik mengambil masa untuk bertindak.

Anda boleh kembali bekerja dua hari selepas rawatan dilakukan jika tiada komplikasi serius. Komplikasi yang sering berlaku ialah kesakitan sementara pada belakang bekas suntikan jarum pada kulit anda.

Kebanyakan pesakit dapat melaporkan kelegaan dari enam bulan hingga beberapa tahun. Jika sakit anda kembali berlaku, suntikan ini boleh dilakukan setiap enam bulan sekali.

KES 1

Seorang pemuda berumur 22 tahun mengalami kesakitan belakang kronik yang berlanjutan walaupun selepas pembedahan cakera dilakukan.

Malah, kesakitannya semakin teruk selepas pembedahan dilakukan, menyebabkan beliau terlantar di katil. Beliau tidak dapat duduk atau berjalan kerana pergerakan menyebabkan otot belakangnya kejang yang amat sangat.

Beliau juga mengaku ada kalanya rasa sakit seperti renjatan elektrik yang menjalar turun ke kaki. Dia perlu bergantung kepada orang lain untuk menguruskan keperluan hariannya.

Dia dimasukkan ke HUSM untuk rawatan dan melalui Harian Metro, beliau dapat mengenali dan memohon untuk menerima rawatan.

Selepas diperiksa, didapati kesakitannya disebabkan parut selepas pembedahan tulang belakang dan diberi rawatan epiduroplasti.

Keesokannya dia merasai kelegaan yang besar. Skor sakitnya turun daripada 8/10 kepada 3/10. Malah dia boleh berdiri dan berjalan ke bilik air tanpa dipimpin.

KES 2

Seorang ahli perniagaan lelaki berusia 48 tahun mengalami sakit belakang kronik selama tiga bulan. Sakit belakangnya sangat menyeksakan sehingga beliau terpaksa bongkok bila berjalan kerana kesakitan lebih teruk dalam posisi menegak.

Malah dia tidak boleh berbaring lama atau meluruskan kaki bila tidur di katil. Dia hanya boleh tidur malam hari dalam posisi duduk di kerusi.

Pesakit dimasukkan ke hospital swasta untuk rawatan. Siasatan pengimejan magnetik resonans (MRI) menunjukkan dia mengalami penyakit tulang belakang yang teruk dikenali sebagai Spinal Stenosis (tulang belakang yang tersumbat).

Memandangkan dia memilih rawatan tanpa pembedahan sebagai keutamaan, dia dirujuk kepada saya. Rawatan epiduroplasti dilakukan kepadanya dan mengambil masa hanya setengah jam.

Dua hari selepas prosedur dilakukan beliau merasa kelegaan yang ketara dan boleh bergerak bebas. "Satu nikmat kelegaan yang sudah lama ditunggu-tunggu," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

salam hanah ..tips yg sangat bagus n berguna..thanks for sharing..