Saturday, May 1, 2010

Buah pinggang kronik

"ORANG Malaysia kurang pandai memilih makanan yang seimbang. Selalu saya perhatikan, masyarakat kita ada perasaan tamak apabila berdepan makanan jika makan secara bufet, terutama pada Ramadan atau perayaan.

"Ramai yang fikir apabila bayar (mahal) mereka perlu makan banyak. Sebab itu sering kita lihat orang menimbunkan makanan dalam pinggan mereka sehingga nampak macam bukit. Kalau dimakan semua tidak mengapa, tetapi kebanyakannya tidak habis.

"Ini secara tidak langsung mengajar anak untuk membazir. Disebabkan tidak jaga makan, ramai menghidap pelbagai penyakit termasuk kencing manis. Tidak payah pergi jauh, ayah saya dipotong kaki kerana kencing manis walaupun 'berbuih mulut' menasihatinya supaya mengurangkan kekerapan minum kopi di kedai.

"Pada hal di rumah ada disediakan sarapan atau sajian minum petang, tetapi tarikan minum kopi di kedai bersama rakan lebih kuat. Apabila hilang sebelah kaki, baru timbul kesedaran untuk menjaga pemakanan, terutama pengambilan gula.

"Itu pun tidak lama sebab lepak di kedai kopi sudah jadi budaya hidup. Perkara ini tidak hanya di kalangan orang tua di kampung seperti ayah saya, malah menjadi budaya anak muda di bandar dan ini sangat membimbangkan," kata duta Yayasan Buah Pinggang, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan.

Kebimbangan itu diluahkan melihat peningkatan hampir dua kali ganda penduduk dewasa di negara ini menghidap kencing manis iaitu daripada 8.3 peratus (1996) kepada 15 peratus dalam masa 10 tahun dan lebih menyedihkan ialah umur pesakit kini semakin muda iaitu dalam lingkungan 30 tahun, malah ada yang menghidapnya lebih awal.

Bukan semua pesakit kencing manis mengalami kerosakan buah pinggang. Bagaimanapun, kajian mendapati 15 peratus pesakit kencing manis turut alami kerosakan buah pinggang dan 55 peratus daripada pesakit buah pinggang yang jalani rawatan dialisis menghidap kencing manis.

Kebanyakan pesakit yang jalani dialisis turut alami masalah pada organ akibat komplikasi kencing manis. Kencing manis juga menyebabkan tahap kesihatan pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis masih tidak memuaskan walaupun mendapat rawatan pencucian darah kali seminggu.

Menurut Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia, Dr Philip Jeremiah, penyakit buah pinggang kronik kini menjadi penyakit biasa yang boleh mengancam nyawa tetapi ia boleh dirawat.

Ada banyak jenis penyakit buah pinggang tetapi yang paling kerap dialami ialah penyakit buah pinggang kronik (CKD) membabitkan lapan hingga 10 peratus penduduk sesebuah negara.

Ia penyakit senyap yang berbahaya dan biasanya tidak disedari hinggalah penyakit menjadi teruk dan buah pinggang sukar diselamatkan.

"Ini menyebabkan CKD kurang dikesan atau pesakit tidak mendapat rawatan sewajarnya yang akhirnya membawa kepada penyakit buah pinggang peringkat akhir. Langkah terakhir untuk menyelamatkan nyawa pesakit ialah menjalani rawatan dialisis yang mahal iaitu RM39,000 setahun.

"Di seluruh dunia ada lebih 500 juta orang mengalami kerosakan buah pinggang setiap tahun dan kerosakan buah pinggang akibat kencing manis meragut nyawa berjuta orang setahun.

"Di negara kita, sehingga Disember 2008, ada 18,789 pesakit dialisis direkodkan dan jumlahnya dianggarkan bertambah antara lima hingga tujuh peratus setahun," katanya pada sidang akhbar sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia pada 14 Mac ini dengan tema 'Lindungi Buah Pinggang Anda - Kawal Kencing Manis'.

Penasihat NKF, Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher, berkata buah pinggang kita sebenarnya membabitkan ratusan ribu salur darah halus yang mudah mengalami kerosakan jika kita alpa menjaga kesihatan.

Penyakit kencing manis yang tidak terkawal (kebanyakan kes akibat tidak disedari atau kegagalan pesakit menjaga pemakanan atau pengambilan ubat) boleh menyebabkan kerosakan pada salur darah halus ini sama ada di mata, buah pinggang atau organ lain.

Buah pinggang yang sihat bertugas untuk:

* Membersihkan darah dengan menapis kekotoran dalam darah

* Mengeluarkan air berlebihan di dalam badan. Setiap hari ginjal kita menghasilkan antara satu hingga dua liter air kencing

* Menghasilkan hormon untuk membantu sum sum tulang, menghasilkan sel darah merah, memelihara kesihatan tulang dan mengimbangi tekanan darah

Apabila buah pinggang mula 'sakit' dan gagal berfungsi:

* Kekotoran yang terhasil dalam darah membuat badan berasa gatal, hilang selera makan yang diikuti rasa mual dan muntah

* Air berlebihan dalam badan mengakibatkan muka dan kaki bengkak serta sesak nafas

* Kekurangan hormon yang membantu sum sum tulang menghasilkan sel darah merah menyebabkan kita kelihatan pucat dan berasa cepat penat

* Kekurangan hormon yang memelihara tulang menyebabkan penyakit berkaitan tulang seperti osteoporosis

* Kekurangan hormon mengimbangi tekanan darah boleh mengakibatkan tekanan darah menjadi tinggi

Untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya dua penyakit yang saling berkait ini, NKF meneruskan kempen jalanan disertai pemeriksaan kesihatan buat tahun kelima.

Untuk tahun ini kempen dan pemeriksaan kesihatan bermula pada semalam di Centre Atrium, KB Mall Kota Bharu; diikuti Dewan Sivik Kampung Chalok Kedai, Setiu Terengganu (7 Mac); Dewan Serbaguna Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (8 Mac); Dewan Bijangga Majlis Perbandaran Dungun (9 Mac); Berjaya Megamall Kuantan (10 Mac) dan Kompleks Beli belah 1 Utama, Petaling Jaya (14 Mac).

Siapa yang sangat perlu menjalani pemeriksaan kesihatan?

* Pesakit kencing manis

* Pesakit tekanan darah tinggi

* Individu yang mempunyai sejarah keluarga (ibu, bapa atau adik beradik) mendapat kencing manis

* Individu yang kerap mendapat jangkitan salur kencing

* Individu yang pernah mendapat batu karang

* Pesakit yang menghidap penyakit autoimun seperti lupus (SLE)

* Individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit buah pinggang kronik

* Individu yang pernah mengalami kecederaan akut pada buah pinggang

Cara yang boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan buah pinggang:

* Jaga pemakanan; kurangkan pengambilan garam dan gula. Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan kebocoran protein dalam air kencing iaitu petanda kerosakan buah pinggang

* Kawal tekanan darah

* Jaga berat badan

* Kerap bersenam

* Berhenti merokok

* Ambil ubat kencing manis atau kerosakan buah pinggang ikut arahan doktor

* Patuhi jadual rawatan susulan untuk ketahui perkembangan penyakit anda. Perubahan tahap penyakit memerlukan dos ubat yang berbeza.

Pada masa sama NKF turut menawarkan perkhidmatan bas kesihatan bergerak yang memberi pemeriksaan kesihatan seperti ujian air kencing dan ujian darah yang boleh ditempah oleh syarikat, organisasi atau pertubuhan pada harga RM200 sehari.

Bas kesihatan bergerak ini akan datang ke pejabat atau organisasi anda dan boleh memeriksa kesihatan 80 hingga 100 pekerja sehari (dengan kadar RM2 seorang). Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi NKF.

Untuk sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia tahun ini, NKF turut mengadakan pertandingan Amazing Kidney Walk Hunt yang terbuka pada semua pesakit, ahli keluarga dan orang ramai pada 14 Mac ini di Kompleks Beli Belah 1 Utama.

Sebarang pertanyaan mengenai pertandingan atau perkhidmatan NKF sila hubungi talian 03-7954 9048 sambungan 207 atau layari laman web www.nkf.org.my

1 comment:

Anonymous said...

salam hanah,satu info yg sangat berguna n thanks for sharing.