My Followers

Khasiat susu

ANTARA soalan wajib yang akan ditanya apabila membincangkan topik minum susu ialah 'adakah susu boleh membuatkan seseorang menjadi gemuk?'. Kebimbangan wanita terhadap pertambahan berat badan menjadi antara alasan ramai tidak minum susu walaupun tahu kebaikannya.

Adakah susu membuat kita gemuk? Tidak. Ramai yang gemuk walaupun tidak minum susu. Gemuk bukan disebabkan susu, tetapi tabiat makan dan gaya hidup tidak aktif.

Minum susu sebaliknya boleh menjadikan kita lebih langsing kerana untuk mendapat tulang kuat dan sihat, kita juga perlu bersenam sekurang-kurangnya berjalan cepat selama 20 hingga 30 minit sehari serta mengamalkan pemakanan seimbang.

Bermula dari umur 30 tahun, tulang kita mula mengalami kemerosotan iaitu kerosakan tulang berlaku lebih cepat berbanding proses pembentukan semula. Tulang adalah tisu hidup yang sentiasa mengalami kerosakan dan pembentukan semula sepanjang hayat.

Namun kita akan mengalami osteoporosis (tulang rapuh) jika terus membiarkan tulang merosot, sedangkan perkara ini boleh dicegah dengan mengambil makanan kaya kalsium, seimbang dan kerap bersenam, kata Pengurus Kanan Bahagian Kesihatan Fonterra Brands, Joanne Toad.

Individu dewasa memerlukan 1,000 hingga 1,200 miligram kalsium sehari dan minum susu yang diperkaya dengan mineral ini adalah cara paling mudah untuk mendapat bekalan kalsium harian.

Oleh kerana tulang sentiasa mengalami proses kemerosotan dan pembinaan semula, isu terlewat menjaga kesihatan tulang tidak timbul. Susu boleh diambil pada semua peringkat umur - sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa atau orang tua.

Pada masa sama tulang juga menjadi semakin kuat dan sihat dengan senaman seperti berjalan cepat, berjoging, melompat tali, menaiki tangga, mendaki bukit atau menari.

"Penjagaan tulang adalah tugas sepanjang hayat yang perlu dilakukan setiap orang, terutama wanita, kerana mereka lebih berisiko mengalami osteoporosis. Amalkan gaya hidup sihat, elak merokok dan hadkan pengambilan minuman beralkohol kerana ia boleh mengurangkan kandungan kalsium dan mineral dalam tulang," kata Joanne.

Sementara itu, duta jenama Anlene, Datuk Michelle Yeoh, berkata ramai terlepas pandang kesihatan tulang dan menganggap mereka sentiasa sihat kerana kedudukan tulang yang terlindung dalam badan.

"Mungkin ramai tidak sedar, wanita sekarang diharap menjadi 'superwoman' kerana bukan saja bekerja tetapi juga menjadi isteri, ibu dan pengurus rumah tangga. Ini sebabnya kita perlu mula menjaga kesihatan tulang supaya boleh terus hidup sihat dan cergas demi diri sendiri dan keluarga," katanya pada pelancaran produk Anlene. Hadir sama, Pengurus Besar Fronterra Brands, John McKay.

Ada beberapa sebab lain mengapa kita perlu minum susu atau ambil produk tenusu iaitu:

* Selain kalsium, susu dan produk tenusu juga kaya dengan protein. Satu pek yogurt rendah lemak contohnya mampu membekalkan satu pertiga daripada keperluan kalsium harian anda dan hampir 17 peratus protein.

* Vitamin D - Kebanyakan susu diperkaya dengan vitamin D. Vitamin D penting untuk membolehkan tulang menyerap kalsium, malangnya ia sering dipinggirkan.

Badan kita boleh menghasilkan vitamin D jika mendapat cukup cahaya matahari (terutama pada waktu pagi).

Cara paling mudah ialah minum susu rendah lemak yang diperkaya dengan vitamin D. Ada kajian mendapati vitamin D juga boleh mengurangkan risiko beberapa penyakit seperti kanser dan tekanan darah tinggi.

* Tingkatkan ketumpatan tulang - Kajian di Finland ke atas gadis remaja berusia 10 hingga 12 tahun mendapati mereka yang mengambil makanan kaya kalsium (seperti keju) mempunyai ketumpatan tulang lebih tinggi berbanding kumpulan yang tidak mengambil keju.

* Tekanan darah - Kajian ke atas 5,000 orang dewasa di Sepanyol mendapati mereka yang mengambil produk tenusu rendah lemak (susu skim dan susu rendah lemak) dalam masa dua tahun kurang berisiko (54 peratus) mengalami tekanan darah tinggi.

Penyelidik berpendapat perkara ini ada kaitan dengan protein dalam susu rendah lemak (kasein dan whey) yang dikatakan mempunyai tindakan lebih kurang sama dengan ubat merendahkan tekanan darah.

* Sindrom metabolik - Berdasarkan data diperoleh daripada 827 responden (lelaki dan wanita), penyelidik Iran merumuskan individu yang mengambil produk tenusu rendah lemak mempunyai ukuran pinggang lebih kecil dan kurang risiko alami sindron metabolik - iaitu sindrom yang mendekatkan kita dengan penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

* Berat badan - Seperti disebut di atas, minum susu bukan punca kegemukan atau pertambahan berat badan. Perkara ini dibuktikan penyelidik dari Universiti Alabama di Birmingham yang mendapati kalsium mampu mengawal berat badan.
Post a Comment