"ABANG kenapa kasut sekolah kotor," tanya seorang ibu apabila melihat kasut sekolah anaknya yang kotor setiap hari.
"Abang terjatuhlah mama," kata kanak-kanak berusia tujuh tahun itu. Namun, daripada riak wajah anak lelaki sulungnya itu si ibu tahu anaknya berbohong.
Setiap ibu pasti pernah melalui situasi sebegini, apabila anak mula bercakap bohong dan cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan ibu bapa mereka.
Kanak-kanak berbohong. Inilah satu kenyataan yang perlu dihadapi kebanyakan ibu bapa. Tanpa arahan dan galakan berbohong seakan-akan sudah sebati dalam jiwa sesetengah kanak-kanak. Memperbesarkan masalah, memutar-belitkan kebenaran, mereka cerita dan menafikan kenyataan adalah antara perkara yang berlaku ketika berbohong.
Namun, apabila seorang anak kerap berbohong dan tanpa sebab yang jelas, ibu bapa perlu campur tangan dalam masalah ini.
Apabila kitaran penipuan ini bermula, ia akan meninggalkan kesan negatif kerana ini akan menghilangkan kepercayaan orang lain kepada si anak sekali gus menyukarkan perkara tidak sihat ini dihentikan.
Oleh itu, ibu bapa perlu bertindak dan meneroka sebab dan mengapa anak berbohong serta mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki tabiat tidak sihat ini. Mungkin ramai yang tidak tahu berbohong adalah petanda awal kepada masalah yang lebih serius.
Berbohong biasanya dikaitkan dengan gangguan masalah sosial pada peringkat awal. Khasnya akibat gangguan hiperaktif dan kurang daya tumpuan dan gangguan perilaku.
Dalam sesetengah kes, tabiat berbohong turut disertakan dengan masalah kelakuan yang lain. Antaranya mencuri, ponteng sekolah, bersikap ganas, agresif dan kemahiran bersosial yang lemah.
Masalah seperti ini biasanya bercambah daripada rasa tidak selesa dalam situasi bersosial, bertindak secara spontan dan tidak menumpukan perhatian kepada apa yang berlaku dalam persekitaran.
Apabila berlakunya situasi seperti ini, pembabitan pakar kaunseling amat penting untuk membantu kanak-kanak. Kaunselor dapat menolong melengkapkan ibu bapa dengan gaya mendidik serta pemahaman terhadap anak dengan lebih spesifik.
Mengapa anak berbohong?
Terdapat beberapa sebab mengapa kanak-kanak bercakap bohong dan sebab itu biasanya dikaitkan dengan persekitaran corak pembesaran anak. Antara sebabnya ialah:
1. Takut
Perasaan takut sebab utama mengapa anak cenderung untuk berbohong. Mereka takut dimarahi ibu atau takut sesuatu yang dimiliki akan dirampas orang lain. Ini kerana anak-anak hanyalah mengimpikan perlindungan bukannya hukuman.
Dalam hal ini anak yang berbohong besar kemungkinan tahu mereka melakukan kesalahan manakala ibu bapa perlu menerima pembohongan itu kerana anak sememangnya takut berdepan dengan reaksi mereka.
Tambah pula sikap ibu bapa yang pemarah membuatkan mereka ketakutan. Sebelum menyalahkan anak, ibu bapa perlulah memberi peluang untuk berkompromi dan mendengar masalah anak bagi membolehkan komunikasi dua hala berlangsung.
2. Tabiat
Bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Apabila pembohongan kerap berlaku, ia akan menjadi kebiasaan. Semakin kerap anak melakukannya, semakin mudahlah ia bertukar menjadi satu tabiat. Pembohongan yang berulang kali biasanya diperkukuhkan dengan pendekatan yang agresif. Memberi peluang kepada anak untuk menarik balik kata-kata bohong adalah antara kaedah efektif untuk menyelesaikan masalah pembohongan.
3. Meniru
Sebahagian besar anak terdorong untuk berbohong setelah melihat orang lain melakukannya. Dilema dihadapi ibu bapa adalah mampukah mereka melindungi anak daripada berbohong? Ini kerana di rumah apabila anak melihat ibu bapa atau adik-beradik yang lain berbohong menyebabkan mereka terdorong meniru.
Perlukah ibu bapa menghukum?
Ibu bapa perlulah meneliti dan menimbangkan beberapa perkara sebelum menjatuhkan hukuman.
1. Hukuman sememangnya dibuat untuk mengawal dan mengurangkan tingkah laku yang buruk. Tetapi haruslah diingat hukuman tanpa kasih sayang dan arahan yang tidak betul adalah sia-sia. Dalam sesetengah situasi, hukuman pula akan menyumbang kepada tindakan melampau dan penderaan.
2. Menghukum anak atas pembohongan yang berobjektifkan ketakutan atau meniru bukan satu kaedah yang efektif untuk jangka masa yang panjang. Sebaliknya, mengenal pasti punca masalah adalah lebih praktikal.
3. Hukuman patut dijadikan pilihan terakhir dan bukan mengikut emosi. Penggunaan bahasa dan pendekatan yang lebih lembut biasanya lebih berkesan. Beritahu anak dalam nada yang rendah seperti, "Tahu tak mak dan ayah rasa kecewa apabila abang berbohong?"
Yang penting, niat setiap ibu bapa adalah untuk melihat anak bercakap benar. Justeru, gunakanlah pendekatan yang lebih baik agar anak belajar daripada kesilapannya.
Untuk mengajar anak supaya tidak berbohong mulakan dengan mendidik mereka supaya berbudi bahasa. Ini kerana jika anak sudah mempunyai rasa hormat dan sayang akan menyebabkan mereka rasa bersalah untuk berbohong. Caranya dengan:
1.Ajar anak apa itu hormat.
Ini secara tidak langsung membuatkan mereka belajar untuk menghormati orang lain. Bukankah segala-galanya bermulanya dari rumah? Jadi, cakap dengan baik kepada anak dan tingkah laku itu akan membuatkan anak melakukan perkara yang sama kepada orang lain.
2. Bantu lakukan kerja rumah.
Biarkan anak melakukan kerja rumah yang mudah seperti membuang sampah ataupun membawa pinggan plastik dan diletakkan di atas meja. Aktiviti ini suatu pengenalan kepada anak untuk membantu ahli keluarga membersihkan rumah serta jangan lupa untuk mengajarnya asas tatatertib menggunakan telefon.
3. Amal kesopanan dalam keluarga.
Setiap ahli keluarga perlu mengamalkan perkataan tolong dan terima kasih. Jadikan ia suatu ungkapan yang wajib dalam keluarga. Jika anak terlupa untuk mengucapkan terima kasih, buat sesuatu untuk mengingatkannya seperti berkata, ' Ibu sedang menunggu ni...' dan pastinya dia sedar anda sedang menunggu untuk dia ucapkan ' terima kasih '.
4. Mudah meminta maaf dan memaafkan.
Galakkan anak untuk meminta maaf apabila telah melakukan kesalahan. Jadikan ungkapan meminta maaf sebagai satu kebiasaan. Ini akan membuatkan dia lebih disenangi dalam pergaulannya.
5. Memberikan pujian.
Berikan pujian berbanding kritikan apabila anak melakukan perkara yang betul. Bagi anak-anak, pujian adalah kata-kata yang menakjubkan. Biarkan anak tahu bahawa anda sangat bangga apabila dia menunjukkan sikap yang sopan setiap masa.
6. Kongsi permainan dengan kanak-kanak lain.
Berikan kata-kata pujian apabila dia sedia berkongsi dengan orang lain. Katakan kepadanya sikap suka berkongsi barang membuatkan dirinya disukai ramai.
7. Jangan terlalu inginkan hasil yang cepat.
Melatih anak mengenai budi bahasa bukan suatu yang mudah. Dalam tempoh itu pelbagai kesalahan dilakukan. Ini adalah proses percubaan sama ada boleh dilakukan atau tidak. Anak akan belajar dari kesilapannya.
No comments:
Post a Comment