Thursday, March 11, 2010

Bilik air selesa

MESKIPUN bilik air adalah ruang paling kecil di kediaman, namun peranannya besar bagi penghuni rumah memulakan hari mereka. Jika dulu, ia sekadar memenuhi tuntutan rutin, aliran perubahan menyebabkan ruang itu kini menjadi tempat berehat dan bersendirian. Sehubungan itu, gaya penataannya mula dipelbagaikan supaya tampil menarik dengan reka bentuk lebih kondusif.

Beberapa cara boleh dilakukan untuk reka bentuk lebih memenuhi keperluan dan ini termasuk mendapatkan khidmat nasihat juru reka dalaman serta golongan profesional. Menerusi rundingan pakar juga, perancangan ruang dan keperluan kelengkapan dijamin selamat serta berfungsi dengan baik.

Selain itu, luas terhad bilik air mampu menimbulkan kesulitan kepada penghuni rumah. Sebab itu, perlu difikirkan beberapa penyelesaian strategik supaya ruang sempit berkenaan dilihat lebih luas. Beberapa idea ini mungkin boleh dicuba:

Pilihan tab mandi atau ruang pancuran

Kebanyakan kita memilih mandi secara pancur atas dasar ia cepat dan ekonomikal. Begitupun, pemahaman berubah setelah ramai menyedari makna `masa untuk aku berehat' selesai kerja keras sepanjang hari. Pilihan mandi secara berendam makin diminati kerana mudah; anda perlu baring, regangkan anggota badan dan nikmati keajaiban air. Lebih enak sekiranya tab mandi anda dilengkapi sistem pusingan air.

Sebenarnya tab mandi ini tidak mengambil banyak ruang. Kalangan jurureka bijak akan menempatkan sinki dan di luar bilik mandi utama bagi mendapatkan ruang mandi luas. Seterusnya, menggabungkan peralatan sistem pancur dengan tab mandi tadi.

Mandi secara pancuran dengan teknologi sembur jet boleh mengurut badan kini popular.

Saiz penentu ruang

Kenal pasti saiz ruang bagi mengelakkan pilihan kelengkapan tidak sesuai. Ambil ukuran dengan melukis pelan lantai merujuk ukuran tepat kerana kesilapan mungkin menjadikan bilik air bertambah sempit. Pilihan sinki besar akan membazirkan ruang sedia terhad.

Tip bilik air luas

Pilih warna semula jadi

Pilihan warna lembut dan cerah membantu membiaskan cahaya. Justeru, pilih warna putih, muda dan semula jadi jika inginkan impak luas di bilik air. Bingkai kayu pintu `tenggelam' jika dinding turut mengenakan warna yang sama dengannya. Sebaliknya, ruang nampak luas jika kabinet dan sinki diberi warna senada dinding.

Ilusi visual pada dinding

Ruang bertukar luas dengan bantuan ilusi visual. Ini diperoleh jika siling dilihat tinggi, dilakukan dengan memilih dinding corak jalur menegak.

Bingkai kayu, kertas sempadan dinding dan jubin diletak di antara dinding dengan siling menyuntik warna pada ruang berkenaan dan membantu mengarahkan penglihatan mata ke atas. Pilihan kertas dinding corak halus dan kekisi mendorong mata melangut dinding lalu terus ke siling.

Kemasan tingkap ringkas

Tingkap memberi mood melalui fungsinya yang membenarkan kemasukan cahaya dan udara. Hhindari memasang langsir manakala pilih kaca kabut menggantikan kaca telus. Penggunaan bidai atau fabrik nipis polos yang menutup sebahagian tingkap amat digalakkan.

Cermin memperluas ruang

Pembalikan imej membolehkan ruang berganda luas. Ia dilakukan dengan meletakkan cermin di dua dinding bertentangan. Satu lagi cara adalah menempatkan cermin yang boleh membalikkan perkakasan bilik air sekali gus meluaskan pemandangannya. Bantuan cahaya luar yang memantul pada cermin menjadikan ruang lebih terang. Ini secara tidak langsung membantu mengurangkan penggunaan cahaya lampu.

Kelebihan dinding kaca

Dinding kaca sebenarnya tidak membantu memperluas ruang seperti cermin. Tetapi, ia boleh membentuk ruang tanpa halangan pandangan. Menggunakan dinding kaca sebagai sempadan ruang mandi amat digalakkan berbanding memilih tirai bermotif yang menyempitkan ruang.

Memaksimumkan ruang penyimpanan

Barangan keperluan bilik mandi sebaiknya disimpan di ruang penyimpanan kemas rekaan ringkas. Pastikan ia tidak terlalu besar dan sarat ukiran. Ada baiknya tempat penyimpanan ini dilengkapi rak binaan dalam supaya segala disimpan kemas dan teratur.

Simpan barangan tidak diperlukan

Penggunaan ruang bilik air harus optimum. Justeru pastikan perkakasan di dalamnya tidak dibiar bersepah dan berserabut. Jangan letak perkakasan kecil di kaunter dan sinki tetapi simpan di dalam ruang penyimpanan. Pastikan tempat penyimpanan dekat dan mudah dicapai tangan supaya anda tidak perlu melakukan banyak pergerakan di ruang sempit itu.

Kelebihan cahaya matahari

Cahaya matahari membantu menerangi ruang. Maka, sebaiknya bilik air dimanfaatkan sepenuhnya pada siang hari supaya kos elektrik dapat dijimatkan selain mengurangkan kelembapan ruang. Kemasan kaca telus kaedah terbaik membawa masuk pencahayaan luar selain membolehkan anda melihat keseluruhan bilik mandi.

Pilih lantai terbaik

Kemasan lantai menentukan keseluruhan gaya ruang. Gabungan warna keemasan corak kemasan lantai dengan kelengkapan faktor penentu ruang dilihat luas. Anda juga boleh memilih kemasan jubin polos yang mudah dibersihkan. Anda disyorkan memilih sinki konsol dan berkaki berbanding statik selain boleh mencuba helah sistem kabinet atau sinki terapung.

Tip

Tip warna bilik air

* Pilihan warna lembut dan cerah membantu biasan cahaya.

* Pilih warna putih, muda dan semula jadi jika inginkan impak luas di bilik air.

* Ruang nampak luas jika kabinet dan sinki diberi warna senada dinding.

* Sebaiknya, dinding menggunakan warna lembut manakala siling dicat warna cerah.

* Aksesori, tuala, koleksi peribadi, lukisan dan perabot disyorkan berwarna gelap.

2 comments:

Rash said...

xterpk plak nk decorate bilik air..
mayb sbb rash xde umah sendiri lg kot..

Anonymous said...

salam hanah. betul kebanyakan org melayu lebih suka bilik air perpancuran, tidak ada bath tub.kalau ada bath tub pun masuk dalam berdiri n mandi..hehe..agaknya tak selesa mandi berendam.