MALANG tidak berbau.... itu perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan situasi yang tidak diingini daripada berlaku pada setiap orang. Bagi wanita hamil, mereka adalah golongan yang lebih perlu berhati hati dalam melakukan apa apa aktiviti harian lebih lebih lagi bagi mereka yang mempunyai kerjaya sendiri yang sering memandu ke tempat kerja hampir setiap hari.
Akan tetapi, kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya tetap juga bertandang dan ia mungkin disebabkan kesilapan sendiri mahupun kesilapan pengguna jalan raya yang lain. Perkara yang sepatutnya dielak boleh berlaku pada bila bila masa dan keadaan itu pasti akan memberi tekanan kepada bakal bakal ibu lebih lebih lagi sekiranya kandungan mereka sudah tiba hampir pada waktunya.
Setiap wanita mengandung yang memandu dinasihatkan agar sentiasa membawa bersama sama buku rekod laporan kesihatan kandungan bagi tujuan rujukan bagi apa apa kejadian yang tidak diingini. Wanita mengandung yang mencapai usia kandungan 7 bulan ke atas adalah tidak digalakkan sama sekali untuk memandu kerana tempoh tersebut adalah terlalu kritikal ekoran pelbagai faktor perlu diambil bagi memastikan bayi yang dikandung berada dalam keadaan yang selamat. Jika berlaku kecelakaan yang teruk, kesannya tetap dirasai oleh wanita mengandung.
Sungguhpun begitu, wanita mengandung yang mencapai usia pramatang juga perlu berhati hati ketika memandu walaupun bukan dalam keadaan sarat. Ini kerana, pelbagai faktor mungkin boleh menyebabkan kandungan berada dalam keadaan tidak selamat dan si ibu boleh mengalami kekejangan otot kaki yang boleh menyebabkan hilang kawalan ketika memandu. Ini merupakan satu simpton yang bakal dialami oleh ibu-ibu mengandung dimana usia kandungan baru mencecah dua atau tiga bulan.
Sebaliknya, apabila usia kandungan sudah mencapai tahap kritikal, adalah disarankan agar wanita mengandung tidak memandu sendiri kenderaan. Adalah lebih baik meminta bantuan suami, jiran terdekat mahupun teman rapat untuk membawa mereka kemana mana.
Kurangkan aktiviti memandu melainkan dengan tujuan tertentu sahaja seperti memandu ketempat kerja, mengambil anak anak pulang dari sekolah mahupun keluar membeli barangan keperluan harian. Pilihlah masa yang sesuai untuk keluar memandu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang boleh mengakibatkan kekejangan pada otot kaki yang boleh mengundang risiko kemalangan.
Bagi wanita mengandung yang mencapai usia kandungan sehingga 7 bulan keatas yang terlibat dengan kemalangan jalan raya, risiko untuk bersalin awal adalah sangat tinggi dimana kesannya mungkin dialami oleh bayi mereka. Dalam keadaan yang terdesak, mereka perlu melahirkan bayi mereka walaupun belum tiba masanya bagi mengelak bayi mereka mati di dalam perut akibat tekanan semasa kemalangan.
Ini kerana, keadaan itu telah menyebabkan kecederaan pada rahim dimana pendarahan akan berlaku dan air ketuban akan pecah menyebabkan dinding rahim dan uri terpisah.
Terdapat beberapa langkah-langkah awal dan tip-tip berguna yang boleh diambil bagi menyelamatkan wanita mengandung yang terlibat dengan kemalangan jalan raya.
Keluarkan mangsa dari dalam kereta dan terus tempatkan mereka di tempat yang selesa dan lapang. Posisikan mangsa dalam keadaan bersandar dan cuba elakkan daripada dikerumuni dari orang ramai kerana ini akan menambahkan tekanan kepada mangsa dan bayi. Periksa jikalau terdapat buku rekod kesihatan kandungan mangsa bagi mengenalpasti usia kandungan mangsa bertujuan menyenangkan proses bantuan kecemasan yang seterusnya.
Tenangkan mangsa dan periksa anggota tubuh badan mangsa yang mengalami kecederaan serius dan ringan. Utamakan pada anggota badan mangsa yang mengalami kecederaan serius dan berikan rawatan segera. Pegang perut mangsa perlahan lahan untuk memastikan kandungan berada dalam keadaan stabil.
Manakala, jika mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, keluarkan mangsa dan periksa denyutan nadi, jantung dan pernafasan mangsa bagi memastikan mangsa masih lagi bernyawa. Sentiasa pastikan mangsa berada dalam keadaan stabil sementara menunggu pasukan penyelamat sampai.
Selain itu, mangsa haruslah mendapatkan rawatan dan pemeriksaan di hospital dengan secepat mungkin bagi memastikan sama ada bayi yang masih lagi bernyawa atau tidak. Jika bayi sudah tidak lagi bernyawa, stabilkan perasaan mangsa sebelum pembedahan dilakukan bagi mengeluarkan bayi yang telah meninggal dunia.
Mangsa juga harus mendapatkan rawatan susulan seperti pemeriksaan bahagian organ dalam yang bertujuan mengenal pasti tiada pendarahan dalaman berlaku. Setelah itu, mangsa perlu berehat dengan secukupnya dan perlu sentiasa berhati hati dalam melakukan apa cara sekalipun.
Hendaklah diingatkan bahawa sentiasalah berhati hati di jalan raya demi keselamatan anda dan orang yang anda sayangi. Ingatlah, mereka sentiasa mengharapkan anda selamat setiap masa walau dimana anda berada. - Majalah Auto Touch
No comments:
Post a Comment