Friday, February 12, 2010

Damai dikamar tidur

ANTARA ruang penting dalam sesebuah rumah adalah kamar tidur yang turut menjadi ruang privasi atau peribadi penghuninya. Ruang ini lazimnya terletak jauh dari ruang sosial lain bagi memastikan pengguna tidak diganggu aktiviti di ruang sosial berhampiran.

Tidak kurang juga yang merujuk kamar tidur ini sebagai penawar jiwa dan raga kerana ia satusatunya ruang peribadi untuk beristirahat selain menukar pakaian dan menghias diri selepas mandi. Ia juga lokasi paling tepat untuk membincangkan perkara intim dengan pasangan selain membaca sebelum tidur. Tidak kurang yang bersolat di ruang ini kerana ketenangan yang mampu diperoleh ketika beribadat.

Kamar tidur ini merangkumi bilik tidur utama yang digunakan pemilik rumah, bilik tidur kedua bagi kegunaan anak bujang atau bilik tidur kanak-kanak dan bilik tidur tetamu. Kesemua bilik tidur itu perlu dilengkapi beberapa keperluan bagi membolehkannya berfungsi dengan baik.

Mungkin tidak ramai yang menyedari kepentingan kamar tidur ini sebagai ruang penting memulakan hari kita. Jika mahukan hari yang ceria, maka kamar tidur mestilah kita ceriakan dulu dengan merancang kamar tidur dengan baik, iaitu dari segi kedudukan, susun atur, pemilihan bahan, skema warna dan aksesori dalamannya.

Lokasi kamar tidur utama

Bagi golongan muda yang masih bertenaga, lokasi kamar tidur bukanlah isu utama. Lebih-lebih lagi kalau rumah yang mereka miliki itu jenis rumah teres dua tingkat yang sederhana. Pihak pemaju sudah menentukan kamar tidur utama berada di tingkat atas kerana tingkat bawah hanya cukup untuk ruang tamu, ruang makan, dapur dan bilik utiliti. Tetapi bagi pemilik sudah berumur, lokasi kamar tidur utama ini perkara pokok yang harus diambil kira. Rata-rata mereka mahukan kamar tidur di tingkat bawah untuk mudah keluar masuk tanpa perlu memanjat tangga yang tinggi apabila tua atau sakit.

Lebih baik jika kamar tidur ini berhampiran dapur untuk mudah mengambil minuman. Maklum sajalah apabila sudah pencen, anak pun sudah dewasa dan kebanyakan mereka tidak tinggal bersama lagi kerana inginkan kebebasan atau sudah berumah tangga. Jadi semuanya perlu dibuat sendiri. Bilik air juga haruslah bercantum dengan kamar tidur ini untuk kemudahan ke tandas. Alangkah indahnya sekiranya kamar ini juga mempunyai tingkap atau pintu kaca menghadap sebuah taman hijau kecil bagi menyejukkan suasana dan menyamankan pengaliran udara. Ini pasti membantu mengurangkan tekanan jiwa mereka yang terpaksa duduk di dalam kamar tidur untuk jangka masa lama kerana sakit. Bunyi desiran air mengalir juga membantu sebagai terapi jika ia dijadikan sebahagian taman itu.

Aksesori kamar tidur utama

Apabila sakit dan tidak dapat keluar dari kamar tidur, kita semestinya akan berasa bosan dan ini boleh menyebabkan tekanan selain menjejaskan proses pemulihan. Selain pemandangan luar yang redup dan nyaman, kita juga memerlukan kelengkapan hiburan lain seperti televisyen dan set hifi berkualiti. Jika ini menjadi keperluan, eloklah disediakan perabot bersesuaian sama ada jenis kekal atau mudah alih. Kedudukannya tentu sekali ditempatkan bertentangan kaki katil supaya kita boleh berehat sambil menonton program televisyen kegemaran kita.

Biasanya di bahagian kiri dan kanan katil, meja sisi dihiasi lampu meja di atasnya, diletakkan bagi membaca sebelum tidur. Meja sisi ini haruslah cukup lebar bukan hanya untuk menempatkan lampu, bahkan alat lain seperti telefon, alat kawalan jauh dan yang paling penting makanan dan minuman ketika sakit.

Elak daripada menggunakan warna yang berbilang. Ini akan menjadikan suasana bilik tidur bertambah kompleks dan bercelaru. Contohnya warna pelangi yang boleh memberi kesan sebaliknya dan menyebabkan sukar untuk merehatkan badan dan fikiran.

Walaupun kurang digalakkan menggunakan warna terang dan panas, ini tidak bermakna anda perlu bergantung sepenuhnya kepada pilihan warna lembut atau suram. Bagi menambah keanggunan, gaya dan kreativiti, anda juga boleh memberi tumpuan kepada hiasan dinding seperti mengecatnya dengan warna kontras. Atau hiasnya dengan stensil atau kumai. Cuba bayangkan perasaan anda bila berbaring di katil, memandang ke atas dan melihat hiasan stensil berbentuk bintang. Ibarat melihat bintang di langit.

Jika siling rendah, pilih warna lebih cerah daripada warna dinding supaya bilik tidur tampak lebih luas. Sebaliknya, gunakan warna lebih gelap daripada dinding untuk menjadikan bilik tidur dengan siling tinggi tampak lebih mesra.

Bagi pemilihan aksesori penyeri tingkap, lebih baik jika anda menggunakan langsir dua lapis dengan satu lapisan jarang dan satu lapisan lagi yang tidak lut cahaya. Ini kerana ada masanya apabila kita sakit, cahaya matahari menjadi masalah utama apabila terlalu terang dan silau. Jadi kita haruslah menyediakan eksesori tingkap yang dapat menapis cahaya matahari ini dan pada waktu yang lain memberi kita peluang menikmati pemandangan di luar dengan keadaan lebih terkawal.

Pengaliran udara semula jadi

Apabila kita sakit atau tua, udara semula jadi yang nyaman adalah yang terbaik untuk tubuh. Udara pendingin hawa yang dikitar semula berulang kali, tidak begitu menyihatkan meskipun menyamankan kerana suhu yang rendah. Paling ideal untuk tubuh kita adalah yang mengalir bebas dengan rongga-rongga ventilasi atau pengaliran yang membolehkan udara masuk dan keluar dengan sendirinya tanpa menggunakan kaedah mekanikal atau elektrikal.

Namun, pemilik rumah juga harus sedar kepentingan ini kerana ramai juga pemilik hanya mencari jalan mudah memasang pendingin hawa bagi menyelesaikan pengudaraan panas dalam ruang. Bagaimanapun, tidak salah untuk memasang kemudahan itu kerana kita mempunyai alternatif sama ada hendak dihidupkan atau dimatikan pada waktu tertentu.

Kamar terancang, penghuni riang

Persekitaran kita haruslah mampu membantu dari segi mental, fizikal dan kerohanian. Oleh itu, ia harus dirancang dan direka dengan mengambil kira aspek rasional dan bukan mengikut kehendak trend atau emosi semata-mata. Skema warna bagi kamar tidur haruslah dipilih dengan bijak kerana kita harus memikirkan juga keadaan kritikal seperti hari tua atau sakit. Kalau sesuatu warna itu lebih menimbulkan tekanan emosi dan mental dari sudut kesihatan maka mengapa harus kita ikut orang lain semata-mata kerana trend atau fesyen. Sebagai peringatan, ruang ini adalah rumah kediaman dan bukan ruang komersial.

Info

Tip hias kamar tidur

* Elak penggunaan warna berbilang yang menjadikan suasana bertambah kompleks dan bercelaru.

* Walaupun kurang digalakkan menggunakan warna terang dan panas, ini tidak bermakna anda perlu bergantung sepenuhnya kepada pilihan warna lembut atau suram.

* Bagi siling rendah, pilih warna lebih cerah daripada warna dinding supaya bilik tidur tampak lebih luas.

* Jika anda menggunakan langsir dua lapis dengan satu lapisan jarang dan satu lapisan lagi yang tidak lut cahaya.

4 comments:

Anonymous said...

salam hanah. satu info yg baik dan berguna. kami kongsi bilik dgn 2 cucu. bilik ni juga dikongsi dengan yg bongsu dan kakak. bila semua anak dan menantu balik bilik ni jadi conference room tempat berbual dan gossiping sebelum masing2 masuk bilik sendiri. seronok tau. tengah gossiping lapar bilik ni boleh pula jadi tempat minum dan snacking. he..he... i miss those moments.

Chik Na said...

chik na pun tempat yang paling suka dan selesa adalah bilik tido .. especialy nak rilex rilex

meo188 said...

gudnite!!!

eynda said...

Tengah pening nak cat bilik tido kaler apa...