Wednesday, January 27, 2010

Perkara penting menjadi penjamin

Psttt... aku adalah salah seorang penjamin...

INSTITUSI kewangan mungkin memerlukan jaminan untuk meningkatkan kedudukan kredit bakal peminjam, dengan itu membolehkan mereka mendapat pembiayaan.

Sekiranya anda dinamakan sebagai penjamin, oleh seseorang, anda terikat secara undang-undang untuk membayar balik pinjaman tersebut atau bakinya sekiranya si peminjam tidak mahu atau tidak boleh menjelaskan hutang tersebut.

JENIS JAMINAN

Jaminan Bersama

Di bawah kontrak jaminan yang melibatkan lebih daripada seorang penjamin, jika salah seorang daripada penjamin meninggal dunia, tanggungjawab jaminan akan terus ditanggung oleh penjamin-penjamin yang masih hidup.

Jaminan Bersama dan Berasingan Di bawah kontrak jaminan yang dibuat secara bersama dan berasingan, apabila seorang daripada penjamin meninggal dunia, estet si mati akan terus bertanggungjawab ke atas jaminan tersebut bersama-sama dengan penjamin-penjamin yang lain.

SIAPA YANG BOLEH JADI PENJAMIN

Anda boleh menjadi penjamin sekiranya:

* Berumur 18 tahun ke atas.

* Bukan seorang bankrap.

* Berkiran waras dan berkeupayaan dari segi mental untuk memahami dokumen jaminan dan tanggungjawab serta kewajipan seseorang penjamin.

* Telah bersetuju secara suka rela untuk menjadi penjamin (iaitu tidak dipaksa atau menandatangani kontrak kerana dipengaruhi secara tidak wajar, penipuan, salah representasi atau akibat kesilapan).

SEBAGAI PENJAMIN, ANDA BERHAK UNTUK

1 Mendapat salinan surat jaminan atau kontrak jaminan dan sebarang dokumen lain yang berkaitan dengan transaksi pinjaman tersebut.

2 Mendapat khidmat nasihat daripada peguam anda sebelum menandatangani kontrak jaminan. (Namun demikian, guaman adalah di atas tanggungan sendiri).

3 Mendapat maklumat mengenai baki tertunggak akaun peminjam dengan institusi kewangan tersebut tertakluk kepada keizinan peminjam.

4 Meminta peminjam membuat pembayaran bagi melepaskan liabiliti anda sebagai penjamin.

5 Mendapat bayaran ganti daripada peminjam bagi sebarang pembayaran yang telah dibuat oleh anda kepada institusi berkenaan.

PERKARA PENTING YANG HARUS DIINGATI APABILA MENJADI PENJAMIN

1 Memahami sifat jaminan tersebut. Seseorang bakal penjamin dinasihatkan agar tidak menandatangani dokumen yang belum dibacanya atau menandatangani dokumen kosong atau borang yang tidak lengkap. Seseorang yang menandatangani dokumen seperti ini sukar untuk mendapat pembelaan di sisi undang-undang jika dicabar di mahkamah.

2 Dapatkan khidmat nasihat profesional/guaman mengenai implikasi undangundang sebelum menandatangani jaminan tersebut.

3 Semak dan pastikan bahawa jaminan tersebut adalah tertakluk kepada undang-undang yang terdapat di Malaysia.

4 Berwaspada sebelum menyerahkan salinan kad pengenalan atau pasport kepada orang selain daripada institusi kewangan atau peguam-peguam yang bertindak bagi pihak anda.

No comments: