Tuesday, January 5, 2010

Bahagia perlu dicari

"SEDANGKAN lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri." Itu nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem `3 Abdul'. Walaupun kedengaran terlalu mudah, hakikatnya ia adalah cabaran yang perlu ditempuh dalam membina satu kelompok kecil masyarakat iaitu keluarga.

Apabila keluarga harmoni, keberkatan itu jelas terpancar menerusi insan dilahirkan, iaitu anak-anak yang tidak menghadapi masalah tingkah laku. Tidak keterlaluan dikatakan rata-rata remaja dan mungkin juga suami atau isteri durjana, mencari keseronokan di luar rumah, lantaran rumah tangga sarat dengan curiga, kecurangan dan kemarahan.

Hakikatnya bahagia mesti dicari. Kesilapan besar dilakukan pasangan baru mendirikan rumah tangga apabila mereka memikirkan kebahagiaan dalam mahligai itu datang secara semula jadi, sedangkan ia sebenarnya harus dibina dan dibelai sejak pertama kali melafazkan akad nikah dan memerlukan komitmen suami serta isteri

Pegawai Penerangan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Hamzah Ibrahim, berkata ketika bercinta pasangan sering dikaburi oleh perasaan cinta, sehingga tidak nampak akan sikap buruk pasangan masing-masing dan memikirkan penentu kejayaan sesuatu perkahwinan adalah perasaan cinta, tanpa menyedari bahawa kegagalan menangani konflik ketika perkahwinan itu, boleh membawa padah kepada rumah tangga dibina.

Ingatannya, dalam perkahwinan, penyatuan antara lelaki dan wanita walaupun ia dianggap melengkapi antara satu sama lain, bukanlah sempurna 100 peratus kerana ia turut membabitkan cabaran dari segi kewangan serta psikologi, seterusnya mewujudkan konflik sekiranya gagal diperbetulkan pada peringkat awal lagi.

"Perkahwinan itu bagaikan sebuah kapal meredah lautan. Sekiranya sedikit kebocoran tidak ditampal, lambat-laun ia boleh karam di tengah lautan.

Perkahwinan itu penuh dengan harapan. Memenuhi harapan itu boleh dilaksanakan sekiranya pasangan berinteraksi antara satu sama lain menerusi luahan hasrat masing-masing.

"Harapan dalam perkahwinan pula, tidak hanya membabitkan kesetiaan seksual, sebaliknya daripada pelbagai komitmen termasuk segi masa, tenaga dan sumber. Ini kerana dalam membuat keputusan, selalunya seorang saja mendominasi. Hanya separuh keputusan dilakukan bersama oleh suami atau isteri dalam keluarga. Selalunya isteri lebih mengambil berat mengenai urusan anak-anak, menjadikan peranan bapa dalam keluarga tidak menyerlah dan ia boleh menimbulkan konflik sekiranya dibiarkan begitu saja," katanya pada Kursus Bersiri Pembangunan Keluarga 2009 `Ilmu Keluarga@LPPKN' di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, konflik ialah perbezaan dari segi pemikiran, sikap, nilai dan cita rasa yang boleh menimbulkan salah faham. Ia mungkin berpunca daripada keperluan perkahwinan antara lelaki dan wanita berbeza secara dasarnya.

Hari ini mengimbangi antara kerja dan keluarga boleh menjadi cabaran besar kepada pasangan. Apabila pasangan saling tidak memahami, maka akan wujud tindakan lain yang mungkin melukakan pihak satu lagi. Rasa kecewa yang tidak dapat diluahkan secara betul boleh diumpamakan bagai api membakar sekam.

"Konflik yang tidak ditangani secara betul boleh mengundang perasaan tertekan menyebabkan penampilan diri tidak ceria, halangan berkomunikasi selain kesetiaan dan penghormatan terhadap pasangan tergugat.

"Masalah utama lain dalam keluarga ialah kewangan dan masalah anak remaja yang mana ia memerlukan tindakan penyelesaian bersama, bagaimanapun suami cenderung untuk tidak bertindak," katanya.

Cabaran keluarga masa kini membabitkan mengimbang antara kerja dan keluarga. Penyesuaian kepada kehidupan keluarga mendepani cabaran kehidupan keluarga dan kekal berdaya tahan.

Katanya, menangani konflik selalunya akan berlaku tindak balas atau reaksi menangani secara negatif antara lain bertindak membisu dan enggan bercakap dengan pasangan, enggan melakukan hubungan asmara serta menarik diri dengan memberikan tumpuan penuh kepada perkara lain termasuk pekerjaan. Ada juga memilih jalan negatif termasuk mencari orang lain yang dapat menghargai diri selain melarikan diri dengan perkara melalaikan termasuk arak dan dadah.

"Pasangan perlu segera menyelesaikan konflik dan antara lain segera mengenalpasti punca konflik dan menyatakan perasaan dan kemahuan secara jujur, terbuka dan tidak mengamalkan pembacaan fikiran pasangan. `Mind reading' tidak membantu kerana komunikasi jujur hati ke hati lebih berkesan berbanding `meneka' fikiran pasangan.

"Kita tidak boleh mengharapkan pasangan memahami dan mengetahui apa yang berlegar dalam fikiran atau apa tindakan yang seharusnya mereka ambil untuk membetulkan keadaan. Sebaliknya dua pihak perlu bertolak ansur demi menyelamatkan perhubungan.

"Hentikan konflik demi cinta. Teknik `berhenti' rehat seketika, berbincang semula dengan pasangan dalam membantu mewujudkan penyelesaian. Wujudkan penyelesaian menangmenang selain belajar mendengar keluhan antara satu sama lain. Ingatlah bahawa anda sedang berkonflik dengan insan yang paling anda cintai. Jangan biar perasaan ego menguasai perasaan,"
katanya.

Hamzah berkata, bagi mengukuhkan ikatan perkahwinan, pasangan perlu menghayati tujuan perkahwinan. Kenang saat indah bersama seperti detik pertemuan, menjalinkan tali pertunangan dan kemeriahan hari perkahwinan.

"Apabila kita mengingatkan kebaikan pasangan maka segala keburukan itu akan mulai berkurangan. Teroka harapan dalam perkahwinan iaitu mengharapkan sesuatu yang baik dan berkekalan. Harapan amat penting sebagai perangsang supaya kehidupan dapat diteruskan," katanya.

INFO

Lelaki

* Keperluan seksual

* Rakan hiburan

* Menarik

* Aman/sokongan rumah tangga

* Perasaan kagum/hormat

Wanita

* Kasih-sayang

* Teman berbual

* Jujur/terbuka

* Jaminan kewangan

Keperluan dalam perkahwinan

* Nyatakan perasaan cinta

* Kebebasan dan batasan

* Kerjasama, tolak ansur

* Hormat menghormati

* Saling memahami

* Berkongsi tanggungjawab, kewangan, penjagaan anak

Petanda rasa hormat makin pudar

* Mula memperkata kekurangan masing-masing

* Sering mengeluarkan sindiran sinis lagi tajam

* Mula bersikap kasar terhadap pasangan

* Hilang rasa hormat kepada pasangan

* Mendengar luahan pasangan dalam keadaan keluh kesah

* Tidak menyahut panggilan (buat tidak dengar kerana ingin mengabaikan)

* Menyalahkan antara satu sama lain

* Hilang panggilan manja.

3 comments:

*Cik Sara @ D'Sahanara* said...

betul tu..bahagia kena cari..kena brani amik risiko dlm perjalanan untuk cari bahagia tu..

sharhanah said...

Setuju!!! BAHAGIA tak datang bergolek macam tu saje... kita kena cari sampai jumpa.

anin said...

saya terigt cekgu sy cakap
"bahagia bukan dicari tp bahagia itu perlu di bina"

in a way.. betul jugak dia cakap.. sbb bahagia ituw terletk pd pasangan.. sejauh mana bahagia nyaaa