Tuesday, December 22, 2009

Akuarium

MEMELIHARA ikan akuarium dianggap mengasyikkan dan ramai pakar psikologi menyifatkan hobi itu dapat mengurangkan stress kerana gerak geri ikan menjadi satu terapi minda dan jiwa.

Bagaimanapun ada 10 perkara asas perlu dipertimbangkan sebelum memiliki sebuah akuarium di rumah.

1 Memang tidak dinafikan akuarium yang dijual memang menarik tetapi jangan terlalu terburu-buru membelinya kerana anda perlu memikirkan pelbagai perkara termasuk jenis ikan yang hendak dipelihara dan saiz akuarium yang sesuai.

2 Anda juga perlu memikirkan spesies yang bakal menghuni akuarium itu bagi memastikan ia sesuatu yang dapat memuaskan hati supaya anda tidak menyesal kemudian ataupun menyebabkan anda menjadi bosan di pertengahan jalan. Ingat, sesebuah akuarium tidak boleh diisi terlalu banyak jenis ikan ataupun kelompok ikan yang tidak sesuai.

3 Sistem penapisan sesuai juga perlu diambilkira untuk memastikan ikan mampu bertahan lama dan kualiti air dikekalkan termasuk tahap pH yang sesuai pada sepanjang masa selain memastikan tahap oksigen yang mencukupi.

4 Ubat yang digunakan untuk air juga perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk tujuan penggunaan serta mendapat khidmat nasihat pakar supaya ia tidak menjadi punca kematian ikan.

5 Selain itu, pelbagai ubat yang digunakan untuk merawat pelbagai penyakit yang sering dialami ikan akuarium dan pemilik perlu mendapat nasihat yang bersesuaian untuk menentukan jenis ubat yang sesuai.

6 Anda dicadang mengetahui serba sedikit latar belakang spesies ikan yang bakal dipelihara untuk memudahkan kerja pemeliharaan serta penjagaannya.

7 Jangan sesekali mencampurkan ikan yang tidak sesuai dalam satu akuarium kerana boleh mengakibatkan kepupusan ikan atau dimakan antara satu sama lain.

8 Bakal pemilik akuarium juga perlu memastikan tidak membeli ikan sakit kerana ia boleh menyebabkan penyakit menjangkiti ikan lain.

9 Anda jangan sesekali menggunakan air yang diketahui memiliki kualiti air rendah kerana ia hanya akan menyebabkan ikan mudah mati.

10 Setiap rawatan yang bakal dilakukan sama ada rawatan air atau ikan perlu mendapatkan preskripsi yang betul supaya ia tidak menjejaskan hidupan dalam air termasuk ikan ataupun tumbuhan.

Jika anda memiliki tips sesuai mengenai penjagaan akuarium untuk dikongsi bersama, e-mel ke: helmi@nstp.com.my

No comments: