Saturday, November 7, 2009

Memuliakan ibu bapa

** pssttt.... Rindu la kat mak ayah kat kampung... susah benar nak call sebab sim kad mak ilang (aritu la, call kakak kat kampung ... kakak kat opis gitau...) terpaksa lah tunggu malam baru leh cakap ngan mak. Waduh! ni sume keje si adik yang manja, yang suka amik hanset mak... yang sesuka hati tukar-tukar sim kad! Tunggu aku balik kampung nanti, aku BABABBB skettt! Bukannya apa, bebaru ni terbaca 1 blog (terlupa nama blog laks) ... huhuhu... sedey arrrr... ibu bapa yg dah pergi... aku? mak ayah masih ada... tapi aku rasa terlalu jauh sesangat... uwaaa..

BERSESUAIAN dengan tanggungjawab dan amanah yang dipikulnya, Allah s.w.t meletakkan ibu bapa dalam kedudukan cukup mulia. Justeru itu, Allah menyeru orang mukmin supaya berbuat baik kepada ibu bapa mereka. Sesiapa yang tidak berbuat demikian, yakni bersikap kasar atau meninggikan suara atau mengecilkan hati ibu bapa, nescaya mereka akan mendapat balasan daripada Allah.

Ibu bapa adalah manusia paling hampir dengan kita. Tanpa mereka kita tidak ada di dunia ini. Kita dilahirkan oleh seorang wanita yang bernama ibu. Jasa dan pengorbanan ibu sebelum dan selepas melahirkan kita tidak ternilai dengan wang ringgit. Sewajarnyalah kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

Penting dan mulianya ibu bapa dalam agama Islam dapat dilihat melalui beberapa ayat dalam al-Quran. Salah satu ayat yang dimaksudkan ialah dalam surah al-Nisa' ayat 36 di mana Allah berfirman yang maksudnya: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa."

Dalam Surah al-Isra' ayat 23, Allah berfirman yang maksudnya: "Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa."

Daripada dua firman Allah ini jelas menunjukkan betapa penting dan mulianya kedudukan ibu bapa dalam Islam. Allah bukan saja memerintahkan kita supaya mentauhidkan-Nya, yakni dengan mengesakan-Nya dan beribadah kepada-Nya saja bahkan pada masa sama diperintahkan kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita. Sekiranya kedudukan ibu bapa itu tidak penting dan mulia, sudah pasti Allah tidak akan memerintahkan kita supaya berbuat baik kepada mereka selepas mentauhidkan-Nya.

Dalam buku tulisan Hafiz Firdaus Abdullah yang diterbitkan Darulnukman: "Berbuat baik kepada ibu bapa termasuk salah satu bentuk pembuktian akan kemantapan dan kemurnian tauhid kita kepada Allah s.w.t. Tidak sempurna tauhid seseorang yang hanya bersolat dan berpuasa, tetapi dia tidak mengendahkan hal ehwal ibu bapanya."

Selain ayat-ayat al-Quran yang menerangkan kedudukan dan tuntutan untuk kita berbuat baik kepada ibu bapa, terdapat juga hadis sahih yang menerangkan perihal yang sama. Salah satu hadis yang dimaksudkan diriwayatkan al-Tirmizi seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa."

Seruan tuntutan supaya berbuat baik kepada ibu bapa perlulah mengikut garis dan petunjuk yang dinyatakan Allah dalam al-Quran dan Nabi Muhammad s.a.w dalam sunnahnya. Yang jelas, selagi perlakuan atau perbuatan ibu bapa itu tidak bertentangan dengan kehendak al-Quran dan Sunnah Nabi, tuntutan berbuat baik terhadap mereka perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Jika ada ibu bapa yang membelakangkan perintah Allah atau melakukan perbuatan yang dilarang-Nya seperti tidak solat, berjudi, minum minuman keras dan minta kita belikan minuman itu, maka ibu bapa yang berperangai begini tidak seharusnya ditaati termasuklah perintahnya.

Berdepan suasana sedemikian, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Menjadi kewajipan seorang Muslim untuk mendengar dan taat dalam perkara yang disukai mahupun yang dibenci selagi ia tidak membabitkan maksiat. Maka jika disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak perlu mendengar dan tidak perlu mentaatinya." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Berbuat baik kepada ibu bapa meliputi semua aspek kehidupan, sama ada perbuatan mahupun percakapan. Justeru, kita sering diingatkan supaya jangan sekali-kali meninggikan suara bila berbual dengan ibu bapa serta tidak mengucapkan perkataan yang boleh melukakan hati mereka. Seelok-eloknya bicara kita hendaklah mesra dan kata-kata yang diucapkan biarlah lembut, sopan dan menggembirakan hati mereka. Allah tidak menyukai orang yang bersikap kasar terhadap ibu bapa, meskipun hanya dengan berkata 'ah' kepada mereka.

Dalam al-Quran surah al-Isra' ayat 23-24 Allah berfirman yang maksudnya: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antaranya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, "Wahai Tuhanku kasihanilah mereka sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil."

Sesungguhnya berbahagialah mereka yang saban masa menjaga, memelihara dan berbuat baik kepada ibu bapa mereka. Amat malang dan rugi hidup seseorang sekiranya ia menjadi anak derhaka dengan mengabaikan kebajikan ibu bapa mereka, hingga ibu bapa itu luka hatinya ataupun hidup mereka menderita akibat perbuatan anak kandung sendiri.

Anak yang derhaka kepada ibu bapa termasuk golongan orang yang melakukan dosa besar. Mereka tidak diperhatikan Allah pada hari kiamat dan mereka adalah antara tiga golongan manusia yang tidak akan masuk syurga.

Oleh yang demikian, marilah kita berbuat baik kepada ibu bapa, tidak kira sama ada mereka masih sihat atau ketika mereka uzur. Jaga dan peliharalah mereka dengan sebaik-baiknya. Allah menjanjikan syurga kepada hamba-Nya yang berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.

No comments: