Friday, November 6, 2009

Keistimewaan wanita Kelantan

** psttt... Saya tak pernah pergi ke sebelah pantai Timur... so, tak tau ler nak bagi komen macam mana... tapi, kedengarannya... kaum hawa kat sana sumenya rajin2. Iyer ke? Tapi bagaimana pula, keistimewaan kaum Adam di sana yer?? Apa-apapun jom layan tajuk besh nie...

CATATAN pengembaraan Abdullah Munsyi yang menyifatkan bidang perniagaan sinonim dengan wanita Kelantan terbukti apabila Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu dimonopoli golongan itu.

Pasarnya yang dimonopoli peniaga wanita pasti menggamit sesiapa saja terutama pelancong asing serta dari luar Kelantan, malah ada yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam melihat kesibukan pasar dari tingkat atas yang sering diabadikan jurugambar untuk gambar poskad.

Pelancong yang mengunjungi negeri Cik Siti Wan Kembang tidak sah jika tidak berkunjung ke Pasar Besar Siti Khadijah yang terletak di tengah-tengah ibu negeri Kelantan yang menjual keperluan dari barangan basah hinggalah pakaian dan cenderamata.

Uniknya, pengunjung pasti terpesona dengan keramahan peniaga terutama ketika urusan tawar-menawar sehingga ada yang garu kepala kerana tidak memahami dialek Kelantan pekat yang diungkapkan menyebabkan mereka terus bersetuju dengan harga ditawarkan tanpa banyak soal.

Pasar yang yang pada awalnya dikenali sebagai Pasar Besar Buluh Kubu itu, kemudian ditukar namanya kepada Pasar Besar Siti Khadijah oleh kerajaan Kelantan sebagai penghormatan kepada lebih 300 peniaga yang hampir kesemuanya adalah golongan wanita.

Berbentuk segi lapan dan berketinggian empat tingkat, tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, udang dan sotong yang didatangkan secara segar dari Pantai Sabak, Pengkalan Chepa dan Tok Bali, Pasir Puteh.

Pada waktu pagi, penduduk tempatan datang berduyun-duyun untuk membeli pelbagai keperluan termasuk rempah, makanan laut kering dan jeruk.

Selain itu, turut dijual ialah ayam, daging, sayur-sayuran dan keperluan dapur selain ulam-ulaman yang jarang ditemui di tempat lain yang biasa dimakan oleh orang Kelantan bersama budu.

Tingkat satu pula diperuntukkan kepada barangan makanan kering seperti serunding atau lebih dikenali dengan panggilan sambal daging oleh masyarakat Kelantan serta juadah tradisional beraneka jenis seperti ayam percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam yang pasti membuat pengunjung kecur lidah melihatnya.

Selain itu, pengunjung juga pasti rambang mata memilih kuih tradisional Kelantan yang jarang ditemui di tempat lain seperti kuih tahi itik, akok, jala emas, buah tanjung, serabe dan tepung pelita yang rasanya manis kerana orang Kelantan gemar menyediakan masakan berasaskan gula.

Bagi pelancong dari luar Kelantan yang ingin membeli batik dan tudung dengan harga berpatutan yang biasanya dijual berlipat kali ganda lebih mahal di Kuala Lumpur, ratusan gerai di Tingkat Dua dan Tiga pasti menjadi tumpuan.

Pendek kata, tidak sah kalau tidak membeli tudung dan kain untuk dibawa pulang jika singgah ke Pasar Besar Siti Khadijah. Selain itu, kelengkapan perkahwinan turut dijual seperti bunga telur dan barangan tembaga dengan harga berpatutan.

Kedudukan pasar itu yang strategik iaitu di tengah bandar turut memudahkan pelancong berkunjung Bazar Buluh Kubu yang terletak bersebelahannya yang turut menjual pelbagai jenis tudung, pakaian wanita serta baju Melayu, songkok dan samping.

Selain itu, pengunjung hanya perlu berjalan kaki untuk melawat ke tempat menarik yang terletak tidak jauh dari pasar seperti Muzium Perang di Jalan Sultan, Kampung Kraftangan, Padang Merdeka serta bergambar kenangan di depan Istana Balai Besar.

Berhampiran Pasar Besar Siti Khadijah juga terletaknya Laman Siti Khadijah yang bukan saja ruang untuk berehat, malah terdapat sebuah menara jam yang menjadi lambang bandar kembar antara Kota Bharu dan Kasaoka di Jepun.

Selepas penat membeli-belah di Pasar Siti Khadijah, pelancong juga boleh menaiki beca untuk bersiar-siar menyaksikan pemandangan mengasyikkan bandar Kota Bharu yang pastinya memberi pengalaman berbeza berbanding bandar besar lain di negara ini.

Sesuai dengan statusnya sebagai kawasan tumpuan pelancong, usaha menaik taraf Pasar Besar Siti Khadijah khususnya gerai menjual buah-buahan dilaksanakan dilaksanakan dengan peruntukan RM2.5 juta oleh Kerajaan Pusat yang dijangka siap sepenuhnya sebelum 2010.

Dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang, lawatan ke Kelantan pasti tidak akan lengkap jika tidak meluangkan masa berkunjung ke Pasar Besar Siti Khadijah.

3 comments:

Yusmaniza Bt Yahaya said...

Haiii sharhanah...
saya pernah stay kat Kelantan 3 tahun study kat sana... mula222 jejaki ke Klntn... seriously mmg sy tk suka lngsng... kejutan budaya... berbeza sgt dr segi dialek, budaya dan ragam manusia...
secara jujur... setelah 3 tahun di sana... pendapat saya Klntn ada tempat yang paling best sebab.. budaya timur or islamic still kuat kat sana... sesuai ngan jolokan Serambi Mekah...

sharhanah said...

Tima kasih kerana sudi komen... 3 tahun?? kira lama gak lah kan... Itu ler, sy penah cadangkan kat hubby nak jenjalan kat sana, tp dia kata, belum tiba masanya lagih... lagi dia tambah, tempat takde yg menarek sgt...huhuhu... tingin gak nak pi sana!

Unknown said...

saya pernah pegi pasar siti khadijah tu memang sume pompuan jer.. sonok tgk org pompuan meniaga kan! syabas hihih tetibe jer