My Followers

Ibadat korban pupuk konsep jemaah, perpaduan

IBADAT korban adalah ibadat yang mempunyai hikmah dan falsafah tersendiri. Korban berasal daripada perkataan Arab iaitu `Qaruba', `Qarubu' dan `Qurbaan' yang ertinya dekat mendekati. Daripada segi syarak, ia membawa maksud amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Ia bererti sembelihan korban (penyembelihan binatang ternakan seperti unta, lembu, kambing, biri-biri dan sebagainya) adalah ibadat bagi mendekatkan diri kepada Allah. Penyembelihan ini hanya boleh dilakukan pada Aidiladha dan hari Tasyrik, iaitu 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah.

Ulama Islam sepakat menyatakan bahawa korban disyariatkan dalam Islam dan sebagai satu sunnah Nabi Muhammad SAW.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhamad) kebaikan yang banyak. Dengan itu, sembahyanglah kerana Tuhan-mu semata-mata dan sembelihlah korbanmu." (Surah Al-Kausar, ayat 1-2)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perbesarkanlah kamu akan korban kamu, kerana ia di atas Siratal Al-Mustaqim nanti sebagai tungganganmu."

Mengenai hukum korban, ulama Islam berselisih pendapat. Imam Abu Hanifah berpendapat, korban wajib pada setiap tahun. Ulama lain seperti Imam al-Syafie berpendapat korban adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat dituntut dan digalakkan oleh Islam.

Ulama yang mengatakan wajib, mereka berpegang kepada beberapa dalil, antaranya firman Allah dalam surah Al Kausar, selain sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa ada kemampuan, tetapi ia tidak berkorban, maka janganlah ia menghampiri tempat sembahyang kami." (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Dalam hadis itu, Rasulullah SAW memberi amaran kepada orang yang ada kemampuan kewangan atau binatang ternakan berkorban, dan jika dia tidak berkorban, ia dilarang daripada menghadiri dirinya ke masjid untuk sembahyang. Ini menunjukkan bahawa korban adalah wajib, menurut tafsiran Imam Abu Hanifah. Jika tidak, Rasulullah SAW tidak memberi amaran sedemikian rupa.

Ulama yang mengatakan korban itu sunat muakad, seperti Imam Asy-Syafie, mereka berdalil dengan beberapa hadis Rasulullah, antaranya hadis yang diriwayatkan At-Tarmizi, bahawa seorang lelaki bertanya Ibnu Omar mengenai korban, adakah korban itu wajib? Ibnu Omar menjawab, "Rasulullah SAW berkorban dan juga sekalian orang Islam lain. Lelaki itu mengulangi pertanyaan kepada Ibnu Omar, beliau menjawab, Tidakkah engkau berfikir? Rasulullah SAW telah berkorban dan juga sekalian orang Islam (pun berkorban)."

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: "Diwajibkan di atasku berkorban dan tidak diwajibkan ke atas kamu." (Hadis riwayat Dar Al-Qutni)

Berdasarkan pengertian hadis itu, ulama seperti Sifian Ath-Thauri dan Ibnu Mubarak serta lain-lain mengatakan korban tidak wajib, akan tetapi ia adalah sunat. Dalam kedua-dua hadis itu jelas menunjukkan korban diperintah oleh Allah supaya kita melakukannya, dan ia adalah sunat muakkad ke atas seluruh umat Islam. Korban wajib ke atas Baginda Rasulullah SAW saja.

Tidak semua umat Islam disunatkan berkorban. Ia hanya disunatkan ke atas mereka yang cukup syaratnya iaitu orang Muslim yang merdeka, cukup umur lagi berakal, hendaklah ia memiliki wang atau harta yang lebih bagi perbelanjaan diri sendiri dan orang di bawah tanggungannya. Jika seseorang tidak mencukupi syarat di atas, maka orang itu tidak disunatkan berkorban.

Satu peristiwa penting yang ada hubungan dengan amalan korban ialah peristiwa Nabi Allah Ibrahim yang diperintahkan Allah untuk mengorbankan anaknya, Nabi Allah Ismail. Hal ini diterangkan dalam al-Quran.

Kisahnya bermula apabila Nabi Ibrahim bermimpi diperintahkan Allah menyembelih anaknya, Ismail. Baginda pun bermusyawarah dengan anak dan isterinya (Siti Hajar), bagaimana pendapat keduanya mengenai mimpi itu.

Berkata Siti Hajar. "Barangkali mimpi itu permainan tidur belaka maka janganlah engkau melakukannya. Akan tetapi apabila mimpi itu adalah wahyu Allah yang harus ditaati maka saya berserah diri kepada Allah yang sangat pengasih dan penyayang terhadap hambanya."

Berkata pula Nabi Ismail, "Ayahku!, apabila ini adalah wahyu yang harus kita taati, maka saya pun rela untuk disembelih." Maka ketiga-tiga beranak itu ikhlas untuk melakukan perintah Allah, dan keesokan harinya Nabi Ibrahim dan anaknya pergi ke kaki Bukit Malaikat di Mina seperti diwahyukan Allah untuk melakukan perintah korban.

Dalam perjalanan itu mereka bertemu seorang lelaki tua yang melarang Nabi Ibrahim meneruskan niatnya dengan pelbagai alasan. Katanya, "Tidakkah terfikir oleh kamu betapa sukar kamu hendak mendapatkannya. Jika kamu laksanakan juga, ia bukan saja menghancurkan hati Hajar, ibu kandungnya (Ismail), tetapi juga hati ibu tirinya, Sarah."

Pujukan orang tua tidak dikenali itu sama sekali tidak mematahkan semangat Nabi Ibrahim dan anaknya. Mereka tahu kata-kata itu adalah suara iblis yang menyerupai manusia. Lalu ditabahkan hati mereka sambil bertindak melemparkan batu kecil ke arah lelaki itu.

Lembaga itu akhirnya hilang. Sebenarnya ada tiga tempat syaitan ini cuba menggoda dan menghasut Nabi Ibrahim iaitu di Jamrah al-Ula, Jamrah al-Wusta dan Jamrah al-Aqabah.

Bagaimanapun, syaitan tidak berjaya menghalang niat Nabi Ibrahim. Peristiwa pada ketiga-tiga tempat itu dijadikan salah satu rukun dalam ibadat haji yang mengandungi simbolik dalam memerangi gangguan dan hasutan syaitan.

Selepas berjaya menewaskan syaitan, Nabi Ibrahim bersedia melakukan penyembelihan anaknya itu. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tatkala kedua-duanya tunduk menurut perintah Allah dan digulingkan anaknya ke tanah hendak disembelihnya, lalu kami berseru, hai Ibrahim, sesungguhnya engkau turuti mimpi itu. Begitulah kami membalas orang yang baik, Sesungguhnya ini ujian yang nyata daripada Allah. Kami tebus anaknya itu dengan seekor kibas yang gemuk dan kami tinggalkan nama yang baiknya sampai kepada orang kemudian. Selamat sejahteralah Ibrahim." (Surah al-Saffat, ayat 103-109)

Peristiwa itu menunjukkan betapa tinggi, betapa agungnya pengorbanan Nabi Allah Ibrahim demi menurut perintah Allah. Semangat dan roh daripada pengabdian diri secara mutlak dan menyeluruh kepada Allah inilah yang hendak diajar dan ditarbiyah Islam kepada pemeluknya di muka bumi ini.

Peristiwa korban juga mengajar umat Islam supaya berkorban apa saja, termasuk nyawa sendiri demi menegakkan kalimah tauhid. Jadi, korban bukan saja berbentuk harta benda, tetapi termasuk soal yang menyentuh hati nurani seseorang insan.

Ada riwayat mengatakan, bagi sesiapa yang melakukan ibadat korban maka pada hari kiamat nanti, segala amalannya akan menjadi saksi di sisi Allah. Diriwayatkan oleh Tarmizi dan Al-Hakim bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya (binatang) korban itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya dan sesungguhnya darahnya jatuh ke sisi Allah pada satu tempat kemuliaan lebih dulu daripada jatuh ke bumi. Maka bergembiralah diri kamu dengan korban itu."

Waktu untuk melakukan korban ialah pada hari raya Aidiladha (10 Zulhijah) dan hari Tasyrik. Pada hari itu, umat Islam dilarang berpuasa. Apakah hikmatnya larangan berkenaan? Larangan berkenaan bagi membolehkan seramai mungkin umat Islam menikmati daging korban.

Pemberian sebahagian daging korban oleh sesiapa yang melakukan korban menunjukkan Islam mengajar umatnya konsep jemaah dan perpaduan.

Orang yang melakukan korban seharus mengetahui hikmah dan falsafah yang terkandung di dalam ibadat korban. Oleh sebab itu disunatkan untuk khatib menyentuh mengenai peristiwa korban Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, di dalam khutbah Aidiladha.
Post a Comment