My Followers

Sejarah sepanjang sungai

PADA tanggal 24 Ogos 1511, Afonso de Albuquerque dengan armada 17 atau 18 kapal dan lebih 1,000 soldadu menakluk Melaka, sekali gus menandakan permulaan episod baru kepada pelabuhan utama dari kampung nelayan kecil yang diasaskan Parameswara.

Kini, selepas hampir 500 tahun, apa yang tinggal adalah runtuhan kota, monumen agama dan bangunan bersejarah kesan penjajahan kuasa besar Portugis, Belanda dan British.

Tidak perlu menyemak lembaran manuskrip lama, sejarah panjangnya dapat dihayati jika menyusuri Sungai Melaka dengan pakej Malacca River Cruise.

Kampung dinamakan sempena nama Pesuruhjaya Inggeris, Frederick Joseph Morten umpamanya menawarkan pemandangan rumah kampung dengan reka bentuk tradisional Melayu lama.

Asalnya, kampung itu dibuka Allahyarham Othman Mohd Noh pada 1920-an.

Keluasan tangga dan jenis jubin hiasan menjadi lambang kepada status pemilik rumah.

Seperti kata pemandu pelancong, Bernard: "Hanya penduduk yang kaya boleh membeli jubin import dari Itali." Penghuninya gemar bersantai dengan membuka tingkap untuk menghirup udara dari luar.

Salah satu rumah di sini adalah Villa Sentosa. Muzium milik persendirian itu diwarisi sembilan generasi menghimpunkan pelbagai artifak termasuk gong berusia 200 tahun, almari antik berusia 100 tahun, tembikar dan arca lama, senaskhah al-Quran berusia 80 tahun serta kamus Inggeris-Arab terbitan 1926.

Villa ini juga menyajikan pengunjung dengan himpunan piring hitam era 50-an selain pameran senjata tradisional seperti tekpi yang berusia 100 tahun, pinggan mangkuk berusia 100 tahun dari China, England, Itali dan Perancis.

Di ruang tengah villa, ditempatkan sebuah pelamin tradisional Melayu yang dihiasi warna kuning.

Menghampiri tengah bandar, pengunjung dapat keindahan Hotel Majestic, hotel butik milik YTL yang pernah menjadi kediaman kepada ahli perniagaan berasal dari Guangzhao yang dibina pada 1929.

Bangunan hotel yang asal dengan 24 bilik ini pernah menghimpunkan golongan ternama di Melaka.

Bekas pawagam lama Cathay, kata Bernard, menyimpan zaman kegemilangan wayang hitam putih studio Jalan Ampas.

"Kelas pertama dikenakan bayaran RM1.77, kedua RM1.40 dan ketiga hanya 65 sen. Berhampirannya ialah Dewan Hang Tuah yang pernah menjadi Dewan Undangan Negeri Melaka," katanya.

Legasi British di Melaka pada 1800 dapat disaksikan pada binaan tangga lingkaran di belakang rumah kedai, manakala sesetengahnya masih memiliki cerobong asap.

Selang seminit kemudian, bot menyusuri rumah kedai berhampiran Jambatan Pasar yang pernah diabadikan dalam filem Hollywood lakonan Catherine Zeta-Jones dan Sean Connery pada 1999 menerusi filem Entrapment.

Tarikan utama pakej ini ialah Kota A'Famosa. Ia dibina Portugis selepas menakluk Melaka 1511.

Kota sepanjang satu kilometer ini memiliki lapan rumah kubu atau bastion, selain empat pintu gerbang untuk keluar masuk penduduk.

Namun, ia mula diruntuhkan pada 1807 selepas British mengambil alih pentadbiran Melaka dan prosesnya dikatakan mengambil masa tiga bulan dengan menggunakan bom. Apa yang tinggal hari ini adalah salah satu pintu utama, dengan runtuhan Gereja St Paul dibina pada 1521 oleh kapten Portugis, Duarte Coelho di puncak bukit.

Sambil mendengar fakta sejarah ratusan tahun Melaka, mata menangkap pemandangan sekumpulan burung merpati sering berlegar di satu dinding belakang rumah kedai.

Burung itu mematuk batu merah untuk mendapatkan mineral dan kalsium.

Stadthuys, yang dibina Belanda, menjadi tarikan utama di kawasan yang kini dikenali sebagai Red Square atau Dataran Merah.

Dibina pada 1650, ia adalah bangunan tertua milik Kompeni India Timur Belanda atau VOC dan terletak berdekatan dengan gereja protestan tertua negara, Christ Church yang didirikan pada 1753.

Bastion Middleburgh, kubu di tepi sungai Melaka antara Bangunan Stadhuys atau lebih sinonim disebut Rumah Merah dan Quayside atau replika Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka yang ditemui pada 2006 kini dibina semula menggunakan batu laterit diimport khas dari Thailand untuk tujuan pelancongan.

Kubu menjadi sebahagian dari Kota A"Famosa, dihiasi lapan laras meriam yang beratnya dianggarkan 1,500 kilogram.

Sebelum bot berlabuh di Quayside Heritage Centre, Bernard, anak jati Melaka, mengejutkan kami dengan mengucapkan selamat tinggal dalam lebih 80 bahasa asing.

Ini seakan mengajak kami merentas masa kerana menurut pemandu pelancong berdarah kacukan itu: "Melaka pada zaman kegemilangannya menyaksikan lebih 80 bahasa dipertuturkan di muara sungai ini."

Info

* Bot akan melayari jambatan utama di Melaka termasuk Jambatan Tan Boon Seng, Ghostbridge of Malacca, Jambatan Pasar dan Jambatan Hang Tuah. Selain itu, bot akan melalui pokok Melaka, yang menjadi permulaan kepada empayar Melaka.

* Ada dua jenis pakej utama - rakaman komentar atau terus dari pemandu pelancong. Pakej boleh dimulakan dari Taman Rempah, Pangkalan Rama dan Pusat Warisan Quayside yang mengambil masa kurang sejam.

* Bot gentian kaca digunakan dinamakan sempena tokoh utama dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Munshi Abdullah dan Tun Perak. Pakej malam meliputi persembahan lagu tradisional dari penyanyi tempatan.

* Perkhidmatan disediakan antara 9 pagi dan 11.30 malam. Tempahan dibuka untuk kumpulan dan acara khas. Maklumat lanjut hubungi Malacca River Cruise di talian 06- 2814322.
Post a Comment