Friday, October 9, 2009

Rumahku syurgaku


MENJADI kelaziman mereka yang membeli rumah baru gemar melakukan pengubahsuaian kepada bahagian tertentu sama ada membabitkan dekorasi interior mahupun di luar rumah mengikut cita rasa dan kesesuaian bajet.

Ubah suai juga dilakukan bagi tujuan memberi nafas baru kepada rumah yang sudah bertahun-tahun diduduki.

Pentingnya sebelum melakukan pengubahsuaian ini, seseorang itu perlu mendapatkan maklumat dengan jelas dan tepat mengenai harga, kualiti, warna dan pembekal yang boleh membekalkan peralatan untuk pengubahsuaian ini dalam tempoh yang ditetapkan.

Contohnya bagi proses mengubahsuai dekorasi dalaman anda perlu selidiki padanan perabot dan warna dinding kawasan tertentu selain hiasan pelengkap seperti langsir, lampu dinding, lampu dan kemasan siling, meja kopi mahupun cermin dinding yang menyempurnakan konsep yang dipilih.

Banyak bahan ini anda boleh beli sendiri daripada gedung kelengkapan rumah atau mendapatkan bahan yang `second hand' daripada pusat jualan tertentu yang pastinya menawarkan harga yang lebih berpatutan.

Biasanya, ruang dapur yang terdahulu mengalami pengubahsuaian kerana bagi wanita, dapur adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Oleh itu, mereka mahukan ruang yang lebih luas dan selesa untuk kerana kebanyakan masa dihabiskan di dapur untuk menyediakan hidangan istimewa kepada keluarga.

Bagi mengubahsuai bahagian dapur pula, pastikan corong asap tidak menghala ke rumah jiran kerana ini boleh mengganggu ketenteraman dan keselesaan kejiranan yang terpaksa menghidu bau setiap masakan anda.

Selain itu, lengkapkan ruang dapur anda dengan tempat penyimpanan yang cukup dan praktikal. Letak peralatan atau perkakas yang diperlukan dan jangan melonggokkan barangan lain di atas permukaan kerja.

Pastikan barang mudah dicapai dan senang disimpan semula. Lebih mudah jika disediakan tempat menggantung untuk barangan yang boleh disangkut atau digantung.

Faktor lain yang patut diambil kira ialah memilik lantai jubin atau kayu yang tidak licin dan membahayakan apabila terkena percikan minyak, selain binaan kabinet dapur yang memudahkan anda mencapai semua barang yang disimpan di dalamnya.

Dapatkan nasihat dan rundingan daripada beberapa kontraktor untuk membuat perbandingan dari segi reka bentuk, kemasan, warna, material yang digunakan dan juga harga yang ditawarkan supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Akhirnya, kerja-kerja mengubahsuai laman depan dan belakang walaupun nampak mudah, tetapi sebenarnya memerlukan ketelitian dan kerajinan.

Ada banyak syarikat seni hias taman yang menawarkan pelbagai peralatan kelengkapan taman ada dan boleh dipilih di dalam 1Klassifieds ini yang mampu menaikkan seri rumah dan mencipta `Rumahku Syurgaku'.

Paling penting, anda mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan sekiranya membabitkan pengubahsuaian secara besarbesaran bagi mengelakkan anda didenda.

Panduan umum untuk dapur selesa

* Jika ruang dapur sempit amalkan kaedah berikut:

Luaskan secara ilusi dengan mengecat dinding warna putih, gunakan kabinet siap dibeli bentuk kompak. Elakkan menempatkan kabinet siap dipasang kerana pasti memerlukan banyak ruang.

* Jika ruang dapur luas

Asingkan kepada dua kegunaan iaitu ruang dapur kering dan basah, wujudkan sudut membaca, sudut kerja atau tempatkan televisyen yang pasti menjadi tempat berkumpul untuk sekeluarga serta cat dindingnya dengan dua tona bersesuaian supaya lebih ceria.

* Ruang dapur juga adalah tempat terbaik untuk melakukan kerja sampingan seperti membaca/membalas surat, menjahit baju atau butang, menggunting peraduan dari surat khabar atau menjawab teka silang kata.

* Utamakan keselamatan. Pastikan wayar perkakas elektrik tidak menjalar atau berselirat di atas meja kerja ataupun permukaan unit dasar serta tidak berkongsi satu punca kuasa elektrik.

No comments: