Thursday, October 1, 2009

Hidung tersumbat

KESUKARAN bernafas akibat hidung tersumbat antara gangguan paling lazim pada kanak-kanak dan orang dewasa. Ia bukan saja menyebabkan ketidakselesaan, malah pernafasan menjadi lebih pendek kerana perlu bernafas melalui mulut.

Walaupun masalah hidung tersumbat adalah perkara biasa, ibu bapa perlu memberi lebih perhatian jika berlaku pada bayi yang boleh alami kesukaran untuk bernafas atau menyusu.

Segera dapatkan nasihat doktor kerana bayi yang baru berusia beberapa bulan belum pandai bernafas melalui mulut.

Hidung tersumbat berlaku apabila tisu dan saluran darah dalam hidung membengkak dan mengandungi banyak cecair atau jika membran hidung terlalu kecil.

Banyak faktor boleh menyebabkan hidung tersumbat iaitu jangkitan, struktur hidung atau saluran pernafasan yang tidak normal, alahan (termasuk alahan rinitis) atau tindak balas terhadap bahan yang membuatkan kerengsaan seperti asap rokok.

Jangkitan paling lazim menyebabkan hidung tersumbat adalah jangkitan virus selesema. Kajian menunjukkan gejala hidung tersumbat akibat selesema adalah masalah paling biasa pada kanak-kanak sekolah dan orang dewasa di seluruh dunia.

Bagi orang dewasa, secara purata setiap individu mengalami antara dua hingga empat kali selesema dalam tempoh setahun yang memaksa mereka mengambil cuti sakit.

Malah, gejala hidung tersumbat akibat alahan rinitis dianggap biasa terhadap enam daripada 10 kanak-kanak sekolah, kata Perunding Otorinolaringologi Hospital Besar Kedah, Dr Siti Sabzah Mohd Hashim di Persidangan Obstetrik dan Ginekologi anjuran bersama Persatuan Menopaus Malaysia dan Schering-Plough.

Biasanya, kata beliau, masalah hidung tersumbat disebabkan jangkitan virus sama ada Rhinovirus, Coronavirus mahupun virus influenza mengambil masa kira-kira seminggu untuk sembuh dengan sendiri.

"Jangkitan bakteria seperti Streptokokus juga boleh menyebabkan hidung tersumbat. Jangkitan bakteria biasanya akan diikuti dengan gejala lain seperti sakit tekak yang teruk dan demam," katanya.

Dr Siti Sabzah berkata, masalah hidung tersumbat pada kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa. Jika bayi alami masalah hidung tersumbat, segera dapatkan nasihat doktor kerana bayi berumur beberapa bulan belum pandai bernafas melalui mulut.

Masalah hidung tersumbat pada bayi berumur beberapa bulan boleh menjejaskan proses penyusuan dan membawa maut. Pada kanak-kanak lebih besar, masalah hidung tersumbat biasanya hanya menyebabkan ketidakselesaan. Hidung tersumbat mengganggu pendengaran dan perkembangan pertuturan kanak-kanak.

Gejala hidung tersumbat yang diakibatkan pembengkakan adenoid (tisu pada belakang hidung) boleh mendatangkan masalah lain seperti apnea tidur iaitu gangguan pernafasan (pernafasan terhenti-henti) ketika tidur.

Lebih penting, masalah hidung tersumbat pada kanak-kanak jika tidak dirawat boleh menyebabkan perubahan bentuk muka dan membuat muka menjadi panjang.

Punca hidung tersumbat

* Jangkitan - Secara purata, setiap individu dewasa mendapat dua hingga empat kali selesema dalam setahun akibat jangkitan virus. Kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan harian biasanya lebih kerap mendapat selesema kerana daya ketahanan badan mereka masih lemah. Virus selesema biasanya menjangkiti melalui sentuhan tangan ke hidung.

Apabila virus masuk ke dalam hidung ia menyebabkan badan menghasilkan histamin iaitu bahan kimia yang meningkatkan aliran darah ke hidung dan mengakibatkan tisu di dalam hidung membengkak. Ia secara tidak langsung menyebabkan keradangan pada membran hidung dan merangsangnya menghasilkan lebih banyak mukus (cecair) yang menghalang laluan udara.

Ketika mengalami jangkitan virus (selesema), hidung mempunyai daya ketahanan lemah terhadap bakteria yang boleh memasuki hidung dan rongga sinus. Apabila cecair hidung berubah warna daripada jernih kepada kekuningan atau kehijauan, ia bermakna anda mengalami jangkitan bakteria.

* Struktur hidung atau saluran pernafasan tidak normal - Ia membabitkan septum (dinding pemisah dan tulang) di tengah-tengah hidung. Ketidaknormalan ini boleh disebabkan kecederaan. Dianggarkan tujuh peratus bayi baru lahir mengalami kecederaan hidung ketika dilahirkan. Kecederaan hidung adalah perkara biasa bagi kanak-kanak dan orang dewasa.

Biasanya jika ketidaknormalan ini menghalang pernafasan, pembedahan hidung dapat memperbaikinya. Pada kanak-kanak, punca hidung tersumbat paling biasa ialah pembesaran adenoid (tisu lembut di belakang hidung dan lelangit lembut). Perkara ini menyebabkan pernafasan kanak-kanak menjadi kasar dan berdengkur ketika tidur.

* Alahan - Biasanya ia merujuk kepada alahan rinitis. Perkataan 'rinitis' bermakna keradangan pada hidung dan membran hidung. Ada banyak alergen (agen yang menjadi perangsang alahan) seperti habuk, debunga, bulu haiwan peliharaan atau sel kulit serangga yang mati. Justeru, setiap individu yang ada masalah alahan perlu tahu bahan mendatangkan masalah kepada mereka.

Bagaimanapun, kadangkala sukar menentukan sama ada masalah hidung tersumbat disebabkan alahan atau selesema kerana kedua-duanya berkongsi beberapa gejala sama. Gejala alahan biasanya lebih lama daripada selesema dan mungkin berlarutan melebihi satu atau dua minggu.

Gejalanya muncul sejurus selepas seseorang terdedah kepada alergen dan pesakit biasanya tidak demam.

Anda kerap bersin dan hidung pula berair. Cecair hidung akibat alahan bersifat cair dan jernih.

Bagi selesema disebabkan virus, gejala biasanya muncul dua atau tiga hari selepas jangkitan dan hilang atau sembuh sendiri dalam tempoh seminggu.

Pesakit juga mengalami sakit tekak, batuk, hidung berair dan cecair hidung berwarna jernih. Namun kerap juga berlaku warna cecair ini bertukar kepada kekuningan atau kehijauan yang menandakan jangkitan bakteria berlaku.

Hidung tersumbat ketika hamil

Masalah hidung tersumbat juga kerap berlaku pada wanita hamil berpunca peningkatan paras hormon estrogen dan progesteron. Ini secara automatik merangsang pengaliran darah ke semua membran mukus di seluruh badan, termasuk di dalam hidung.

Keadaan ini menyebabkan tisu di dalam hidung menjadi lembut dan bengkak yang akhirnya menyempitkan laluan udara. Wanita yang ada alahan rinitis mempunyai risiko lebih tinggi mengalami masalah hidung tersumbat apabila dia hamil. Masalah hidung tersumbat ini boleh berlarutan sepanjang kehamilan hingga selepas melahirkan anak.

Dianggarkan 20 hingga 30 peratus wanita mengalami masalah ini ketika hamil. Secara semula jadi apabila hidung tersumbat, kita cuba menghembus nafas dengan lebih kuat. Kekerapan menghembuskan hidung dengan kuat kadangkala boleh menyebabkan hidung berdarah. Tanpa penjagaan rapi, masalah ini boleh berlarutan dan menjadi lebih teruk.

Bila perlu berjumpa doktor?

Meskipun gejala hidung tersumbat bukan masalah serius ia tidak harus dibiarkan, terutama jika berlaku pada kanak-kanak.

* Apabila masalah hidung tersumbat disertai gejala bengkak pada dahi, mata, tepi hidung atau pipi

* Pandangan menjadi kabur

* Sakit tekak semakin teruk

* Ada tompok putih atau kekuningan pada tonsil atau bahagian dalam tekak

* Batuk melebihi 10 hari

* Batuk berkahak

* Masalah berlanjutan melebihi dua minggu dan mengganggu kehidupan


Doktor mungkin tanya soalan seperti:

* Bila mula masalah? Adakah ia kerap berlaku?

* Apa yang anda lakukan untuk mengurangkan gejala hidung tersumbat?

* Adakah cara anda berkesan?

* Apa gejala lain yang turut dialami?


Langkah untuk mengurangkan gejala hidung tersumbat:

* Tutup sebelah lubang hidung dengan menekannya menggunakan ibu jari. Hembus nafas perlahan-lahan. Ulang teknik ini untuk sebelah lagi sehingga anda boleh bernafas dengan lebih selesa.

* Semburan hidung secara umumnya selamat untuk ibu dan bayi dalam kandungan. Jika tidak pasti, rujuk doktor terlebih dulu sebelum menggunakan sebarang produk.

* Minum banyak air, terutama sepanjang siang

* Masalah hidung tersumbat biasanya lebih teruk apabila anda baring. Justeru, tinggikan sedikit kepala anda ketika tidur. Kaedah ini sangat berkesan pada kanak-kanak.

* Anda boleh menggunakan pelekat pada hidung yang dijual di farmasi. Walaupun pelekat hidung ini direka untuk mengatasi masalah berdengkur, ia juga boleh digunakan untuk masalah hidung tersumbat kerana membantu meluaskan rongga hidung yang membuatkan pernafasan lebih lancar.

Panduan untuk wanita hamil

* Jangan guna semburan hidung antihistamin (bagi wanita hamil)

* Bagi wanita hamil, elak guna bahan dekongestan (agen pelega hidung tersumbat) kerana ia sepatutnya hanya digunakan sebagai pilihan terakhir kerana ia ada banyak kesan sampingan.

* Gunakan tuala lembap yang lembut untuk membersihkan rongga hidung.

* Untuk melembapkan rongga hidung, sapukan jeli petroleum. Atau letak segelas air di meja ketika bekerja di pejabat. Alat pendingin hawa menyebabkan kulit dan rongga hidung menjadi kering.

* Jika hidung berdarah, condongkan badan ke depan, picit kedua-dua belah hidung (di pertengahan hidung) selama lima minit dan bernafas melalui mulut. Jika masih berdarah, ulang langkah ini hingga pendarahan berhenti.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

1 comment:

Angin Selat Melaka said...

Assalamualaikum...
Bagi mengubati gejala hidung tersumbat, hendaklah mencairkan lendiran yg ada dlm hidung tu. Dapatkan kaedah berkesan dgn merujuk web site ini:

Gejala hidung tersumbat

Semoga berjaya.