Thursday, October 8, 2009

Fabrik sofa, kusyen

FABRIK sofa dan kusyen memberi keselesaan ketika bersandar dan duduk. Meskipun hanya pengalas punggung, namun sarung kusyen sebenarnya membantu menyerlahkan penampilan ruang.

Usaha memilih fabrik memerlukan perhatian dan pengetahuan kerana bahan atau material yang digunakan, ada kalanya boleh mengelirukan. Langkah pertama memilih fabrik adalah menyelidiki kemasannya sama ada disertakan dengan ciri kalis kotor, antigegat mahupun material khas yang menyebabkannya sukar terbakar. Sebaik-baiknya, pilih material penyudah tahan lasak kerana sofa digunakan setiap hari.

Seterusnya, tetapkan tekstur, corak dan warna fabrik.

Tekstur fabrik

Tekstur fabrik ditentukan oleh bahan yang menjadikannya jarang, tebal dan sederhana tebal dan ada juga kasar, halus dan licin apabila disentuh. Sesetengahnya pula menyebabkan gatal, licin serta mudah memerangkap habuk.

Corak fabrik

Tiga tema corak biasa ditemui adalah polos, jalur dan flora. Corak jalur mendatar dan menegak dengan warna menarik membuatkan ruang ceria. Manakala, motif flora menarik jika bijak disuai padankan dengan ruang dan tema tertentu. Sesetengah corak dihasilkan melalui cetakan terus ke atas fabrik khasnya jenis linen dan kapas. Turut dijual, fabrik tenun dan sulam.

Warna fabrik

Pewarna digunakan untuk mewarnakan fabrik. Ia diwarnakan setelah ditenun menghasilkan warna padu. Bagi pelbagai warna, benang diwarnakan terlebih dulu. Bagaimanapun, kesan warna mudah pudar jika terdedah terus kepada matahari selain luntur apabila dibasuh dengan mesin dan cucian kering.

Bahan fabrik

Dua jenis bahan adalah bahan asli dan gentian atau sintetik.

Bahan semula jadi

Ia diperoleh melalui tanaman dan haiwan misalnya kapas, sutera dan linen.

Tanaman

Kapas adalah bahan serba guna meliputi kapas tulen atau bercampur dengan gentian lain. Fabrik ini tahan lasak, senang dicuci, mudah diwarnakan serta murah. Fabrik kapas tebal paling sesuai untuk sarung kusyen. Namun, kelemahannya cepat berkedut, mudah terbakar serta luntur. Namun linen senang dibentuk serta tahan cahaya matahari. Fabrik mahal ini memerlukan penjagaan teliti bagi kekal kemas serta cantik. Bagaimanapun, ia tidak sesuai dibuat sarung kusyen.

Haiwan

Fabrik paling mahal, berbentuk anjal, kenyal, kuat, kalis kotoran, mudah dibersihkan, tidak mudah terbakar namun tidak tahan gegat. Mohair sejenis bulu yang diambil daripada kambing anggora dan mirip bulu bebiri sesuai dijadikan sarung kusyen. Sutera dihasilkan daripada kepompong kekal fabrik paling mahal. Ia berkilau, menganjal, tahan kotor, lambat terbakar namun tidak tahan cahaya matahari. Begitupun, kempen menghalang pembuatan fabrik menggunakan bulu haiwan oleh pencinta alam sekitar menyebabkan pengeluarannya merosot.

Bahan fabrik gentian

Bahan fabrik gentian atau sintetik dihasilkan menerusi campuran kimia yang diproses mengikut teknologi terkini. Contoh fabrik adalah rayon, akrilik, poliester dan nilon. Gabungan sintetik dan gentian asli menghasilkan fabrik bermutu tinggi.

Rayon

Rayon dan asetat dihasilkan daripada pulpa kayu, kemudian diproses menjadi bahan sintetik. Selain tidak tahan cahaya matahari, asetat mudah terbakar dan cair. Gabungan rayon dan bulu sesuai membentuk sarung kusyen.

Akrilik

Akrilik bermutu dengan tekstur hampir menyerupai bulu dan harganya juga lebih murah. Walaupun tidak sekuat bulu dan cenderung meregang, ia kenyal, lambat terbakar, tidak mudah pudar dan mudah dijaga.

Poliester

Ia seakan sutera dan bulu. Berciri kuat, kenyal, tidak berkedut namun tidak sesuai dijadikan kerana ringan.

Nilon

Ia biasanya dicampurkan dengan bahan gentian lain untuk membentuk hiasan rumah. Berciri kukuh, kenyal dan boleh dibersihkan dengan span. Namun kerana licin dan berkilau, ia tidak sesuai dijadikan hiasan melainkan nilon yang dicampur dengan bulu elok dibuat sarung kusyen.