Sunday, September 13, 2009

Raja manusia, haiwan, jin

"DAN sesungguhnya Kami mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Sulaiman; dan mereka berdua berkata: Segala puji bagi Allah yang memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman." (Al-Quran, surah an-Naml: 15)

Jika Nabi Daud mempunyai kehebatan tersendiri, puteranya Nabi Sulaiman a.s tidak kurang hebatnya, malah mempunyai kekuasaan merentasi bumi sehingga haiwan dan jin turut akur perintahnya.

Baginda adalah nabi dan raja daripada kalangan Bani Israel, diberi gelaran oleh ahli kitab sebagai Sulaiman al-Hakim kerana mempunyai hikmah (kebijaksanaan) yang sangat luar biasa.

Nabi Sulaiman mendirikan dan memakmurkan Baitulmaqdis dalam tempoh tujuh tahun, sesuai dengan wasiat bapanya, Nabi Daud selepas 40 tahun menguasai kerajaan.

Diceritakan, ketika mendirikan Baitulmaqdis, baginda berdoa meminta tiga jenis kesenangan daripada Tuhannya, tetapi diberikan kepadanya dua perkara.

Nabi Sulaiman meminta menjadi hakim yang dapat menentukan hikmahnya, maka Allah memberikan kepadanya. Baginda meminta menjadi raja yang tidak patut diberikan kepada seseorang selepasnya, Allah turut memberikan kepadanya.

Perkara ketiga, baginda meminta sesiapa saja di kalangan lelaki yang keluar dari rumahnya tidak bermaksud buruk kecuali mengerjakan solat di masjid itu dan dihilangkan kesalahannya bagaikan hari ketika dia dilahirkan ibunya.

Selesai membangunkan Baitulmaqdis, baginda membangunkan Haikal (istana kerajaan). Ahli sejarah mengatakan pembangunan itu mengambil masa 13 tahun dan diadakan sembelihan korban.

Allah mengurniakan padanya kenikmatan dan keistimewaan sebagai tanda kebesaran dan pujian, memperlihatkan kerajaan yang besar, mewariskan kepadanya kerajaan bapanya, Nabi Daud.

Diajar padanya perbicaraan burung dan semua bahasa haiwan, membolehkannya memahami perkara yang tidak difahami manusia lain, malah haiwan kadangkala bercakap bersamanya seperti burung hud-hud.

"Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (selepas itu) Nabi Sulaiman berkata: Wahai umat manusia, kami diajar bahasa pertuturan burung, dan kami diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu; sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia yang nyata."

Dan dihimpunkan bagi Sulaiman bala tenteranya, daripada jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.

Sehingga apabila mereka sampai ke Waadi'n-Naml, berkatalah seekor semut: Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.

Maka tersenyum Nabi Sulaiman mendengar katakata semut itu, dan berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya aku bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kedua ibu bapaku, dan supaya aku tetap beramal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku dengan limpah rahmat-Mu dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang salih." (Al-Quran, surah an-Naml: 16-19)

Baginda juga mempunyai kuasa mencairkan tembaga, menundukkan angin, jin dan syaitan, sebagaimana diterangkan dalam al-Quran.

"Dan bagi Sulaiman, Kami tundukkan angin untuk perjalanannya di waktu pagi sebulan, dan petangnya sebulan; dan Kami alirkan bagi-Nya mata air dari tembaga; dan sebahagian dari jin untuk bekerja di depannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa daripada jin itu yang menyeleweng daripada perintah Kami, Kami akan rasakannya azab neraka." (Al-Quran, surah Saba': 12)

Mengenai penguasaannya terhadap jin dan syaitan seperti diterangkan dalam surah Shaad, ayat 37-38, maksudnya: "Dan Kami mudahkan baginya memerintah jin syaitan; semuanya pandai mendirikan bangunan dan ahli penyelam. Dan jin-jin syaitan yang lain dipasung dalam rantai-rantai belenggu."

Al-Quran juga mengisahkan Nabi Sulaiman dengan Ratu Saba' (Yaman), Balqis yang mempunyai kerajaan dan kekayaan tetapi menyembah matahari bersama kaumnya.

Tuhan yang masyhur bagi penduduk Saba' ialah Asttar, al-Maqoh, Habas, Dzatu Hamim (mempunyai cahaya seperti air panas) dan Dzatu Bu' dan matahari yang jauh dari bumi. Asttar ialah anak matahari, tuhan kolam, buluh dan tali.

Nabi Sulaiman mengetahui perkara itu melalui burung hud-hud. Lalu baginda mengirim sepucuk surat melalui hud-hud kepada ratu itu mengajak supaya mentaati Allah dan rasul-Nya, di samping tunduk kepada kekuasaannya.

Balqis bermesyuarat bersama pembesarnya lalu mendapat cadangan untuk berperang dengan Nabi Sulaiman. Namun, dia sendiri memutuskan untuk mengirimkan hadiah kepada Nabi Sulaiman yang ketika itu ada di Palestin.

Nabi Sulaiman enggan menerima hadiah itu, lalu utusan terbabit mengembalikannya semula. Di samping itu, utusan terbabit menceritakan kehebatan kerajaan Nabi Sulaiman dan ancamannya jika enggan sujud kepada Allah.

Balqis mahu mengunjungi Nabi Sulaiman dan sebagai persiapan menyambut tetamu istimewa itu, baginda memerintahkan tenteranya membangunkan istana yang indah, malah membawa istana Balqis ke tempatnya.

Tiba di istana Sulaiman, Ratu Balqis menyelak pakaiannya kerana menyangka lantai yang dipijaknya digenangi air, sedangkan ia lantai daripada kaca. Dia tambah terpegun seketika melihat istananya di tempat Nabi Sulaiman, membuatkannya berserah diri kepada Allah.

Nabi Sulaiman hidup selama 52 tahun dan menguasai kerajaan selama 40 tahun, sebagaimana diterangkan Ibnu Ishaq. Detik kewafatannya tidak diketahui manusia dan jin, sekali gus menunjukkan jin juga tidak mengetahui alam ghaib.

Beberapa tahun kemudian, iaitu selepas anai-anai memakan tongkatnya, jasadnya tersungkur ke bumi, baru semua menyedari kewafatannya. Baginda dimakamkan di Baitulmaqdis.

No comments: