Saturday, September 12, 2009

Jaga tanaman berpasu


ILHAM penataan laman tidak kurang hebatnya jika membabitkan reka letak tanaman berpasu khususnya di kawasan terhad.

Idea mencipta taman berlatarkan tanaman berpasu sesuai bagi pemilik kediaman yang kesuntukan waktu membuat persiapan Aidilfitri.

Uniknya taman berpasu lebih mudah ditanam, dijaga dan dialihkan bagi mereka yang cepat berubah cita rasa serta inginkan kelainan di laman.

Bermula dengan mengumpul beberapa set dekoratif dan pokok berbunga, idea penataan taman boleh dikembangkan secara kreatif.

Elak memilih pasu yang mempunyai permukaan sempit kerana ia menyukarkan aktiviti menanam, membaja dan menyiram.

Jika mahu tanaman subur dan cantik, pilih pasu seramik polos yang dilengkapi beberapa lubang kecil.

Pasu plastik pula menyerap masuk pancaran matahari manakala pasu tanah liat menyerap air lebih cepat.

Kombinasi pasu berwarnawarni dengan tekstur berbeza menyerlahkan visual pemandangan berbeza di laman.

Pokok pasuan bukan terhad kepada pasu bulat sahaja, tetapi boleh menggunakan barangan kitar semula seperti tab mandi lama atau mangkuk tandas lama.

Sesuaikan pasu dan tanaman bagi proses pertumbuhan yang lebih stabil. Pokok berakar serabut memerlukan pasu besar dan tinggi.

Hati-hati menggunakan pasu kayu atau rotan kerana ia cepat reput, sebaliknya gunakan kayu kalis air dan tahan cahaya matahari.

Pasu kayu boleh dibentuk dalam pelbagai saiz dan mudah disesuaikan mengikut keluasan taman.

Amalkan kaedah serpihan pasu tanah liat, batu-batuan kecil atau helaian surat khabar yang dicarik untuk diletak di dasar pasu sebelum memasukkan tanah bagi mengelakkan aliran tanah keluar melalui celah lubang.

Bagi pokok tahan cahaya matahari, gunakan pasu cerah bagi mengurangkan serapan haba dan pertumbuhan berlebihan.

Letakkan pokok pasuan di atas kayu atau pelapik batu bagi memberi laluan air dan pertumbuhan akar.

Keindahan taman lebih semula jadi sekiranya pokok pasuan diletakkan berhampiran kolam mini atau air berpancuran.

No comments: