My Followers

Pantang-larang di negara orang

LAIN padang lain belalang, lain orang, lainlah pula ragamnya.

Perbezaan budaya jika tidak diambil kira apabila mengembara boleh mendatangkan masalah terutama apabila dicampur permasalahan bahasa.

Justeru, pantang-larang antara budaya berikutnya boleh diambil kira untuk mengelakkan kesulitan.

> Ok tapi tak ok

DI kebanyakan tempat, menunjukkan isyarat ibu jari ke atas bererti semuanya OK atau bagus bergantung kepada konteks atau situasi. Ada juga yang menggunakannya bagi memberitahu rakan atau pasangan mereka bahawa sesuatu perkara atau hal berjalan dengan lancar.

Namun, di Iran, ia boleh menimbulkan pergaduhan atau perselisihan faham kerana ia membawa maksud kurang sopan.

Isyarat bulatan dengan menggunakan ibu kaki dan jari telunjuk yang membawa maksud bagus pula membawa konotasi berbeza di Brazil dan Turki.

Ini dianggap satu bentuk cacian yang menyamakan seseorang dengan bahagian hujung punggung manusia.

Sentuh kepala

Di negara yang masih berpegang dengan amalan Buddha yang kuat seperti Thailand, anda dinasihatkan sama sekali tidak menyentuh kepala rakan.

Ini kerana kepala dianggap suci dan sesiapa pun tidak menyentuh kepala orang lain walaupun budak kecil atau bayi.

Satu lagi pantang-larang utama di Malaysia menggunakan jari telunjuk untuk menunjukkan arah yang dikatakan agak kurang sopan.

Budaya masyarakat negara ini adalah menggenggam semua jari sambil ibu jari yang digunakan untuk menunjukkan arah.

Budaya orang Filipina dalam hal berkaitan tunjuk arah pula lebih menarik apabila hanya menggunakan lirikan mata atau memuncungkan mulut untuk menunjukkan barangan yang dicari. Mungkin kurang sopan untuk masyarakat lain, namun ia amalan biasa untuk warga negara itu.

Topik sensitif

Bergantung kepada negara yang anda lawati, ada perkara yang seharusnya tidak diutarakan apabila berniat untuk memulakan bicara.

Di Australia, elakkan untuk membangkitkan isu mengenai penduduk pribuminya, manakala di China, warganya amat sensitif mengenai isu hak asasi manusia.

Warga Jepun dikatakan tidak gemar memperkatakan sejarah dan pendudukan mereka ke negara Asia sepanjang Perang Dunia II.

Sementara, masyarakat India tidak suka jika ada yang membangkitkan mengenai budaya hantaran perkahwinan yang perlu disediakan oleh wanita.

Di Ireland, ada penduduknya yang mudah tersinggung sekiranya anda merujuk negara itu sebagai salah satu pulau British.

Untuk memendekkan cerita, mulakan perbualan mengenai rutin kehidupan seharian seperti makanan atau pekerjaan seseorang.

Bukan saja di luar negara. Jika mengembara ke negeri di Malaysia pun, anda perlu berhati-hati apabila membincangkan sesuatu perkara terutama apabila membabitkan perihal politik semasa.
Post a Comment