Tuesday, September 15, 2009

Nafas sesak

ADAKAH nafas anda sesak apabila membuat sesuatu aktiviti yang selalunya tidak mendatangkan masalah? Pernahkah anda tertanya, kenapa kaki anda bengkak sejak kebelakangan ini?

Adakah anda lemah dan mudah merasa letih? Jika masih belum mendapat jawapan, anda mungkin mengalami penyakit lemah jantung.

Walaupun ada banyak sebab untuk gejala dan tanda, namun jantung yang lemah dan gagal berfungsi dengan baik adalah penyebab paling serius.

Laporan Kajian Penyakit Lemah Jantung London yang diterbitkan pada 2005 mendapati, kadar kematian dalam jangka masa setahun selepas penyakit lemah jantung dikesan adalah lebih kurang 40 peratus. Ini lebih tinggi daripada sesetengah penyakit barah seperti barah payudara!

Apakah fungsi jantung?

Fungsi utama jantung ialah mengepam darah yang kaya dengan oksigen dari bahagian kiri jantung ke seluruh badan. Selepas melalui organ dan tisu badan, darah yang kurang oksigen ini pulang ke bahagian kanan jantung untuk dipam ke paru-paru.

Di sini, darah diperkaya dengan oksigen sebelum kembali ke bahagian kiri jantung. Satu kitaran darah ini mengambil masa selama 20 hingga 30 saat.

Jantung adalah organ yang sangat istimewa. Walaupun anda berehat atau tidur, jantung terus bekerja dengan tidak mengira siang atau malam, penat atau tidak. Masalah akan berlaku jika jantung gagal memenuhi fungsinya dengan baik.


Apakah gejala penyakit lemah jantung?

* Sesak nafas

Apabila bahagian kiri jantung gagal berfungsi dengan baik, tekanan tinggi kembali ke paru-paru, menyebabkan cecair terkeluar dari salur darah ke tisu paru-paru. Kejadian ini dipanggil paru-paru berair atau pulmonari edema. Cecair yang terkumpul menghalang paru-paru daripada mengembang, membuatkan pesakit sukar bernafas. Gejala ini berlaku pada mulanya ketika menjalankan aktiviti tetapi apabila keadaan menjadi semakin parah, pesakit berasa sesak nafas walaupun ketika baring atau duduk berehat.


* Bengkak di kaki dan abdomen

Jika bahagian kanan jantung yang terbabit, cecair terkumpul di kaki, menyebabkan kaki dan buku lali bengkak. Apabila keadaan menjadi lebih teruk, bengkak di kaki boleh merebak ke atas hingga menyebabkan kembung air di abdomen.


* Badan lemah dan mudah letih

Jantung yang lemah tidak dapat memenuhi kehendak organ dan tisu badan. Kekurangan darah ini menyebabkan badan merasa lemah dan mudah letih. Selera makan juga terganggu. Tekanan darah yang terlalu rendah boleh menyebabkan rasa pening dan hampir pitam.


Apakah sebab terjadinya penyakit lemah jantung?

Antara lain:

* Penyakit jantung koronari

Melalui proses arteriosklerosis, plak ateroma yang membabitkan kolesterol dan sel inflamatori boleh terjadi di dinding pembuluh darah koronari. Lama kelamaan plak ini boleh membesar lalu menyebabkan penyempitan pembuluh darah.

Apabila plak ateroma di dinding pembuluh darah pecah disebabkan faktor tertentu, gumpalan darah beku yang terjadi boleh mengakibatkan pembuluh darah tersumbat. Ini yang berlaku ketika serangan jantung, di mana otot jantung rosak akibat ketandusan darah. Kerosakan otot yang teruk boleh menyebabkan jantung menjadi lemah. Penyakit jantung koronari dan serangan jantung adalah penyebab utama penyakit lemah jantung.


* Hipertensi

Jika tekanan darah tinggi, jantung terpaksa bekerja keras untuk mengatasi tekanan berkenaan supaya darah dapat dipam ke seluruh badan. Lama-kelamaan, otot jantung menjadi tebal. Apabila jantung tidak lagi bermaya untuk terus bekerja sekeras biasa, jantung menjadi lemah dan membengkak.


* Masalah injap jantung

Semua empat injap di jantung berfungsi untuk memastikan darah mengalir dalam satu arah. Masalah berlaku apabila:

> Injap tidak dapat buka dengan baik, lantas menghalang pergerakan darah melalui injap (injap sempit), atau

> Injap tidak dapat tutup dengan sempurna, menyebabkan darah kembali ke ruang asal (injap bocor)

Injap yang sempit atau bocor memaksa jantung bekerja lebih keras dan apabila keadaan ini menjadi semakin teruk, jantung gagal berfungsi dengan baik dan menjadi lemah.


* Masalah ritma jantung

Ritma atau rentak jantung yang sempurna adalah penting untuk jantung berfungsi. Apabila ada gangguan ritma jantung seperti denyutan jantung tidak seragam, terlalu laju atau perlahan, jantung tidak dapat menerima atau mengepam darah dengan baik, mengakibatkan kegagalan fungsi jantung.


* Masalah otot jantung lemah

Adakalanya otot jantung menjadi lemah dan membengkak, tetapi bukan disebabkan penyakit jantung koronari atau serangan jantung. Banyak kes sebegini yang tidak diketahui puncanya dan dikenali sebagai pengembangan kardiomiopati idiopatik.

Bagaimanapun, ada sebab lain yang boleh mengakibatkan kelemahan otot jantung:

> Jangkitan virus

> Pengambilan alkohol berlebihan

> Kesan toksin akibat penyalahgunaan dadah

> Masalah kelenjar tiroid yang sama ada lebih atau kurang aktif

> Ubat-ubatan untuk rawatan barah (kemoterapi)

> Komplikasi penyakit seperti lupus


* Radang otot jantung

Ia biasanya disebabkan jangkitan virus dan boleh melemahkan otot jantung.


* Penyakit jantung sejak lahir

Jika ruang jantung, dinding dan injap tidak terbentuk dengan sempurna, contohnya jantung berlubang, pengaliran darah melalui jantung boleh terganggu dan jika tidak dirawati boleh mengakibatkan kegagalan jantung.


Apakah rawatan penyakit lemah jantung?

* Ubah gaya hidup dan kawal faktor-faktor penyebab

> Kawal dan ubahsuai faktor yang menyebabkan penyakit jantung koronari seperti merokok, hipertensi, diabetes dan kolesterol berlebihan

> Kurangkan pengambilan air dan garam berlebihan

> Bersenam kerana ia membantu mempertingkatkan kekuatan jantung, tetapi harus mendapat nasihat doktor terlebih dulu

> Elak pengambilan alkohol berlebihan


* Ubat-ubatan

Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat penyakit lemah jantung bertindak untuk:

> Mengawal faktor penyebab seperti disebut di atas

> Mengeluarkan cecair yang berlebihan dari paru-paru dan badan

> Menguatkan fungsi jantung

> Meningkatkan jangka hayat

Oleh kerana penyakit lemah jantung ini tiada penyembuhnya, objektif ubat-ubatan ini sekadar mengawal keadaan saja.


* Membaiki sistem pengaliran pembuluh darah koronari

Otot jantung boleh menjadi lebih kuat dengan mengembalikan pengaliran darah jantung yang berkurangan akibat pembuluh darah koronari yang tersumbat. Dua cara yang utama adalah:

> Angioplasti belon dan stent

Pembuluh darah yang sempit dibuka dengan menggunakan belon kecil dan gegelung besi (stent) yang dimasukkan ke dalam pembuluh darah koronari melalui pembuluh darah di pergelangan tangan atau di bahagian pangkal paha.

> Pembedahan

Pembedahan graf pintasan arteri koronari membabitkan vena safenus iaitu salur darah yang diambil di kaki atau pembuluh darah di dalam dada digunakan untuk memintas bahagian pembuluh darah koronari yang tersumbat.


* Alat pacuan jantung

Ini adalah sejenis alat kecil yang ditanam di bawah kulit di dada. Ia boleh mengesan jika rentak jantung tiba-tiba menjadi perlahan dan mengeluarkan tenaga elektrik kecil untuk memastikan jantung berdenyut dengan normal. Alat pacuan jantung lebih canggih seperti biventricular pacemaker juga boleh menyeragamkan denyutan kiri dan kanan jantung, lantas membaiki fungsi keseluruhan jantung.


* Pemindahan jantung

Ini adalah pilihan rawatan yang terakhir jika cara dan rawatan lain gagal. Di Malaysia, kita mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam pembedahan pemindahan jantung, malangnya jumlah penderma jantung masih berkurangan.

Jantung yang kuat adalah jantung yang sihat. Sama-samalah kita menjaga si jantung hati.