My Followers

Nabi Yaakub bangun Baitulmaqdis

"MAKA apabila ia meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu, Kami kurniakan kepadanya Ishak dan Yaakub; dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat nabi." (al-Quran, surah Maryam:49)

Nabi Yaakub, putera kepada Nabi Ishak bin Ibrahim dilahirkan di Kana'an (Palestin).

Baginda dinasabkan dengan keturunan Bani Israel, malah dinamakan juga Israel.

`Isra' membawa erti hamba, kesucian, manusia atau muhajir, manakala `el' bererti Allah.

Perkataan Israel merujuk kepada hamba kesucian Allah. "Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israel, kecuali makanan yang diharamkan Israel (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat.

"Katakanlah (wahai Muhammad): `(Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu - wahai Bani Israel - sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, jika betul kamu orang-orang yang benar.'" (al-Quran, surah Ali Imran: 93)

Mereka yang memahami Taurat mengetahui hakikat Allah memberikan nama Yaakub dengan Israel, maksudnya dalam bahasa Arab ialah `ruuhullah.' Yaakub dibesarkan di sisi ibu bapanya, Ishak dan Rifqah binti Batueil bin Nahur bin Azar (Tarah).

Kemudian Yaakub disuruh ibunya berpindah ke rumah bapa saudaranya di Fidan Aram berhampiran Babylon di Iraq.

Ini kerana ibunya khuatir baginda dianiaya abangnya, al-'Ish.

Nabi Yaakub mengikut suruhan ibu bapanya.

Baginda mencari bapa saudaranya dan sebaik tiba di satu tempat, baginda tertidur kerana keletihan berkelana sepanjang hari.

Dalam tidurnya, baginda bermimpi melihat malaikat naik ke langit dan turun ke bumi.

Baginda juga melihat Tuhan mengajaknya berbicara dengan firman: "Sesungguhnya Aku akan memberkati kamu dan memperbanyakkan keturunanmu. Aku jadikan bumi ini untukmu dan anak cucumu selepas kamu."

Sebaik bangun daripada tidur, baginda berasa lapang dada dengan mimpi itu dan bernazar membangunkan tempat ibadat di situ kerana Allah, lalu diambilnya batu dan dicelupkannya ke dalam minyak supaya tempat itu diketahui orang.

Tempat itu dinamakan Baitu II iaitu Baitullah. Kawasannya kini dikenali sebagai Baitulmaqdis.

Selepas itu, Nabi Yaakub meneruskan perjalanan ke rumah bapa saudaranya di Iraq dan di sana baginda menemui dua anak bapa saudaranya iaitu Layya dan Rahil.

Baginda berkenan dan ingin meminang Rahil kerana dia lebih cantik.

Bapa saudaranya memberi syarat supaya baginda mengabdikan diri selama tujuh tahun dengan menggembala kambing sebelum dapat berkahwin dengan Rahil.

Nabi Yaakub bersetuju dengan syarat itu dan habis tempoh berkenaan, bapa saudaranya mengadakan majlis perkahwinan pada waktu malam, tetapi dibawakannya Layya untuk dikahwinkan.

Keesokan paginya, Nabi Yaakub menyedari yang dikahwininya bukan Rahil, tetapi Layya.

Lalu Nabi Yaakub berkata kepada bapa saudaranya: "Kenapa pak cik mengkhianati saya, sedangkan saya meminang Rahil."

Bapa saudaranya berkata: "Bukankah adat kita untuk mengahwinkan kakak terlebih dulu, sebelum adiknya.

"Seandainya kamu mencintai adiknya, kamu harus menggembala lagi kambingku selama tujuh tahun selepas itu baru aku nikahkan kamu dengan Rahil."

Nabi Yaakub menyahut syarat yang diberi bapa saudaranya. Cukup tujuh tahun, dikahwinkan Rahil dengan baginda. Dengan perkahwinan itu, baginda ada isteri bersaudara.

Layya dan Rahil mempunyai dua hamba sahaya iaitu Zulfah dan Balhah.

Kemudian kedua-duanya dikahwini Nabi Yaakub. Baginda dikurniakan 12 anak lelaki.

Melalui Layya, lahirnya Rabin, Syam'un, Lawi, Yahuza, Yakasir dan Zebulon, manakala Rahil melahirkan Nabi Yusuf dan Bunyamin.

Perkahwinannya dengan Zulfah melahirkan Jaad dan Asyir, manakala Balhah melahirkan Daan dan Nafrali.

Semua ahli keluarga Yaakub kemudian disebut al-Asbath, bermakna kabilah Bani Israel kerana mereka mempunyai banyak keturunan.

Anak Nabi Yaakub masing-masing menjadi ketua suku kaum Bani Israel.

Ketika hampir wafat, mata Nabi Yaakub menjadi kabur kerana selalu meratapi perpisahan dengan seorang anaknya, Nabi Yusuf yang dianiayai dan dizalimi anaknya yang lain.

Namun apabila berjumpa semula dengan Nabi Yusuf, Allah mengembalikan penglihatannya.

"Maka sebaik saja datang pembawa berita gembira itu, diletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala.

"Nabi Yaakub berkata: `Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui daripada Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?'" (al-Quran, surah Yusuf: 96)

Nabi Yaakub meninggal dunia selepas 17 tahun berjumpa anaknya, Nabi Yusuf iaitu ketika berusia 147 tahun di Mesir. Sebelum meninggal dunia, baginda berwasiat kepada anaknya.

Baginda berkata: "Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?"

Anaknya menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan moyangmu, Ibrahim, Ismail, Ishak, iaitu Tuhan Yang Maha Esa dan kami tunduk kepada-Nya."
Post a Comment