Sunday, August 9, 2009

Darah tali pusat unik

APABILA memperkatakan mengenai rawatan penyakit, biasanya perbincangan tertumpu kepada penggunaan ubat sama ada moden, alternatif dan tradisional atau gabungan ketiga-tiganya.

Sebenarnya ada satu lagi kaedah yang sudah lama menarik perhatian pakar iaitu menggunakan sel stem, tetapi kejayaannya hanya dilihat dalam dekad kebelakangan ini.

Rawatan sel stem dianggap memberi sinar baru kepada penghidap penyakit kronik berkaitan genetik atau bahan baka yang sukar sembuh seperti barah dan kencing manis.

Di Malaysia, perkembangan rawatan sel stem sangat memberangsangkan dan berjaya menyelesaikan beberapa kes berkaitan genetik selepas diperkenalkan beberapa tahun lalu.

Sel stem boleh dianggap sebagai `sel induk' kerana boleh membentuk semua tisu, organ dan sistem dalam badan.

Jika diletakkan pada kulit, sel stem membahagi dan membentuk lebih banyak sel kulit baru.

Sebenarnya, penyelidikan mengenai sel stem bermula pada 1963 selepas penemuan pertama saintis Kanada, Ernest A McCulloch dan James E Till.

Kini penyelidikannya lebih tertumpu untuk merawat penyakit kronik yang masih tiada penawarnya, khususnya penyakit membabitkan genetik.

Menurut pakar terapi sel dari Amerika Syarikat, Profesor Dr Edwin Vodak, ada dua sumber utama bagi mendapatkan sel stem iaitu:

* Sel embrionik - Ia diperoleh daripada tubuh embrio yang terbentuk selepas persenyawaan luar (in-vitro) atau melalui teknologi pengklonan (pemindahan nuklear sel somatik iaitu sel bukan daripada organ peranakan).

Contohnya embrio manusia mencapai tahap blastosista selepas empat hingga lima hari persenyawaan dan ia mengandungi 50 hingga 150 sel stem.

Jumlah sel stem daripada sel embrionik lebih banyak dan keupayaan mengubahsuai menjadi sel khas adalah tinggi berbanding stem sel dewasa. Sel khas bermakna sel pada organ khusus seperti kulit, darah atau jantung.

Bagaimanapun, sel stem embrionik mungkin mengalami penolakan oleh sistem imun, tetapi masalah ini tidak akan berlaku jika pesakit menerima sel stemnya sendiri.

* Sel dewasa - Diperoleh daripada tisu dewasa. Sel stem ini boleh bertindak sebagai sistem penyembuhan badan dengan menghasilkan sel baru dan mengekalkan fungsi asal satu-satu organ. Ini termasuk darah, kulit dan tisu usus. Antara sumber sel stem ialah sum-sum tulang, darah, otak, darah tali pusat selain janin yang gugur.

Walaupun sumbernya banyak, jumlahnya kecil dan ada kalanya sukar untuk diperoleh seperti sel yang mahu diambil daripada otak. Berbanding sel embrionik, ia kurang mampu bertukar kepada sel khas.

Dr Edwin berkata, sel stem juga boleh diumpamakan seperti 'sel kosong' berbanding sel lain yang bersifat tersendiri seperti sel hati, lemak, saraf atau kulit.

Oleh itu ia mampu membahagi dan menjadi sel khas apabila pemindahan sel stem dijalankan kepada pesakit.

"Kesannya juga boleh dilihat dalam tempoh singkat antara beberapa jam hingga minggu bergantung kepada jenis penyakit dihidapi. Namun, ada juga yang mengambil masa hingga beberapa bulan.

"Penyelidikan sel stem membuktikan ia mampu berkembang menjadi sel hati, otot selain paru-paru. Hasil kajian mendapati sel stem boleh digunakan bagi menjana sel selain tisu gantian untuk merawat penyakit kronik seperti Parkinson, barah, angin ahmar, masalah jantung, kencing manis, buah pinggang, rawatan trauma dan masalah kemerosotan sel," katanya.

Walaupun sel stem embrionik dianggap lebih berpotensi merawat penyakit, penggunaannya menimbulkan banyak kontroversi dan bantahan atas dasar etika.

Ketika ini, untuk mendapatkan sel stem embrionik akan menjejaskan atau memusnahkan embrio. Jika ia membabitkan embrio manusia, embrio yang bakal membentuk janin tidak dapat berkembang dan maknanya satu nyawa dikorbankan.

Pertikaian dan etika mengorbankan satu nyawa pada permulaan kehidupan ini kerap dibincangkan dan menjadi halangan kerana dianggap satu pembunuhan. Selepas hampir 10 tahun penyelidikan, masih tiada rawatan menggunakan stem sel embrionik diluluskan.

Hanya pada awal tahun ini, Kesatuan Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (USFDA) membenarkan ujian klinikal pertama menggunakan sel stem embrionik. Sel stem embrionik dianggap lebih berguna untuk rawatan bagi masalah sistem saraf.

Justeru, banyak tumpuan diberi kepada sel stem dewasa, termasuk daripada darah tali pusat yang dianggap antara sumber sel stem terbaik. Darah tali pusat adalah darah yang ada di dalam tali pusat dan uri yang keluar bersama ketika bayi dilahirkan.

Penggunaan sel stem dewasa kurang menimbulkan kontroversi kerana tidak membabitkan kemusnahan embrio atau mengancam nyawa untuk mendapatkannya.

Bahkan sel stem juga boleh diperoleh daripada pesakit sendiri dan dalam keadaan ini tiada risiko penolakan dari sistem imun badan.

Sehingga kini sel stem dewasa banyak digunakan dan terbukti berkesan merawat leukemia dan kanser berkaitan darah atau tulang.

"Sel darah asas di dalam tali pusat bayi itu unik dari segi genetiknya, selain boleh digunakan kepada bayi itu sendiri atau ahli keluarganya jika diperlukan kelak.

"Darah tali pusat berlainan dengan sel darah biasa kerana selain paling muda dan selamat, ia juga mudah diperoleh iaitu hanya beberapa minit selepas bayi dilahirkan," katanya.

Sel stem yang diperoleh daripada tali pusat dianggap sebagai blok pembina bagi darah dan sistem imun. Malah ia boleh membahagi dan membentuk dengan cepat kepada sel lain seperti:

* Sel darah merah - Untuk membawa oksigen ke seluruh badan

* Sel darah putih - Untuk melawan jangkitan

* Platelet - Membantu membekukan darah apabila berlaku kecederaan

* Sumsum tulang

* Darah yang mengalir ke seluruh tubuh

Namun kini ada perkembangan lebih memberangsangkan kerana sel stem boleh dibiak dan dibentuk kepada sel tertentu (khas) mengikut ciri sel mana-mana organ, termasuk sel saraf dan otot melalui kaedah kultur sel.

Pemindahan sel stem

Antara persoalan yang timbul ialah mengapa penyelidik kini memilih sel stem berbanding sum-sum tulang? Meskipun sum-sum tulang boleh menyembuhkan banyak penyakit, tetapi untuk mendapat sum-sum penderma yang sepadan sungguh sukar.

Sel stem contohnya dari darah tali pusat yang jauh lebih muda berbanding sum-sum tulang boleh digunakan walaupun tahap padanan hanya 50 peratus.

Ini bermakna peluang kejayaan untuk pemindahan adalah lebih tinggi di kalangan ahli keluarga apabila mereka menyimpan darah tali pusat mana-mana ahli keluarga.

Kajian mendapati kejayaan rawatan untuk penerima yang ada ikatan kekeluargaan adalah dua kali ganda berbanding penerima luar.

Prosedur pembedahan sum-sum tulang ada kalanya berisiko kepada penderma. Kelebihan kaedah pemindahan sel stem ialah ialah penderma tidak perlu memasuki hospital bagi menjalani prosedur pendermaan.

Ia hanya perlu diambil daripada darah tali pusat yang sudah disimpan di hospital atau pusat yang menyediakan khidmat menyimpan sel berkenaan.

Pada masa sama pendermaan sel stem, contohnya daripada darah tali pusat, tidak memberi risiko kepada ibu atau bayi. Sel stem tali pusat juga lebih mudah diterima pesakit dan mempunyai risiko penolakan yang rendah.

Bagaimanapun, pemindahan darah tali pusat turut bergantung kepada keserasian antara penderma juga penerima, tahap penyakit dihidapi serta jumlah sel darah asas terdapat dalam darah tali pusat berkenaan.


Kelayakan menjadi penerima

Tidak ramai orang tahu kepentingan sel stem daripada darah tali pusat dalam membantu merawat penyakit; apatah lagi kelayakan menjadi penerima. Dr Edwin berkata, penerima boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:

* Penghidap leukemia - Sel stem daripada darah tali pusat boleh digunakan pada bila-bila masa. Ia boleh digunakan jika rawatan pertama berjaya tetapi kemudian penyakit itu berulang dan pesakit memerlukan pemindahan kedua.

* Individu yang memerlukan pemindahan sel stem tetapi tiada penderma sesuai - Dengan adanya simpanan sel stem, pemindahan menjadi lebih mudah kerana ada banyak pilihan daripada penderma berlainan.

Bahkan, yang lebih menarik ialah sel stem tiada tarikh luput. Kualitinya kekal seperti ketika ia diambil kerana ia disimpan di dalam bekas mengandungi cecair nitrogen pada suhu negatif 196 degree Celsius.

Penyimpanan darah tali pusat sebenarnya memberi banyak kelebihan kepada pesakit, ahli keluarga atau mereka yang ada penyakit sama kerana darah tali pusat boleh dikongsi.

Bagaimanapun, keberkesanan sel stem daripada darah tali pusat membabitkan penerima daripada kalangan saudara jauh selain individu di luar kelompok keluarga turut bergantung kepada keadaan penyakit dihidapi penerima. Pun begitu, bagi penghidap penyakit Sindrom Down pula, sel stem berkenaan hanya boleh digunakan untuk diriny.

Dalam kes Sindrom Down, rawatan kini adalah menggunakan sel stem yang diperoleh daripada janin haiwan. Kaedah ini digunakan sejak bertahun lalu dan menunjukkan hasil memberangsangkan daripada segi pemulihan rupa paras dan perkembangan minda pesakit.

Namun perlu diketahui, rawatan sel stem masih tidak dapat memulihkan pesakit sepenuhnya, sebaliknya hanya mengembalikan sebahagian kecil fungsi kemanusiaannya seperti sifat fizikal, pergerakan dan mental.

Kebiasaannya dengan hanya satu suntikan sel stem, kesannya terhadap pesakit Sindrom Down boleh dilihat dalam tempoh beberapa bulan.

Bagaimanapun jika tiada perubahan, satu lagi suntikan diperlukan, namun kosnya bukan murah, malah mencecah berpuluh ribu ringgit bagi satu suntikan.

Janin haiwan paling popular pula adalah babi kerana ia mempunyai pelbagai organ yang dikatakan sesuai bagi rawatan sel stem.

Bagaimanapun, di negara Islam seperti Malaysia, sel digunakan diambil daripada arnab yang bukan saja selamat, malah halal.

Ini kerana penggunaan haiwan lain seperti babi atau lembu berdepan pelbagai risiko seperti penyakit lembu gila yang tiada pada arnab.

Satu kebaikan berkaitan penggunaan sel stem daripada janin arnab ialah penerimanya tidak perlu mengambil ubat anti penolakan seperti dilakukan jika menerima sel daripada organ manusia.

Walaupun masih ada yang berhujah berkaitan penggunaan sel stem membabitkan aspek biologi sel darah asas, kaedah rawatan ini difatwakan boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini pernah mengeluarkan fatwa bahawa sel darah asas boleh digunakan dengan syarat tertentu, iaitu perlu mendapatkan keizinan ibu bapa, selain prosedurnya tidak memudaratkan. Penggunaannya untuk tujuan mengubah atau komersial pula adalah diharamkan.

Oleh NAZARALI SAERIL

No comments: