AYAM antara menu pilihan ramai selain mengandungi protein penting untuk tubuh manusia.
Bukan hanya digoreng, daging ayam boleh diolah dalam pelbagai cara bagi menghasilkan resipi tersendiri.
Bagi Eksekutif Sous Chef Hotel & Spa Ancasa, Kuala Lumpur, Chef Roslie Lamsarah, pelbagai resipi istimewa boleh dicipta menggunakan ayam segar.
Menurutnya, ayam masak lemak antara resipi yang mampu memenuhi selera ramai. Menggunakan santan dan cili padi, rasanya pasti membangkitkan selera.
Memilih ayam segar, ia boleh diteliti daripada pelbagai sudut, antaranya dengan memicit isinya. Jika daging itu segar, ia akan kembali ke bentuk asal. Berbanding daging ayam yang tidak segar, kesan jari akan kelihatan.
"Pastikan juga kulit ayam yang dipilih bersih daripada sebarang bulu halus. Selalunya bakteria mudah terkumpul pada bahagian itu. Oleh itu, lebih baik jika buang kulit ayam sebelum dimasak dan jangan beli ayam yang terlalu banyak patah tulang," katanya.
Berminat untuk menikmati ayam masak lemak cili padi, hubungi hotel terbabit di talian 03-20266060 sambungan 7703 atau layari http://www.ancasa-hotel.com/.
Resipi masak lemak ayam cili padi:
Bahan:
1 ekor ayam
3 biji cili merah
2 batang serai
1 labu bawang besar
1 keping asam gelugur
1 1/4 biji kelapa atau
1 paket santan serbuk (1 biji diambil santan, 1/4 biji dijadikan kerisik)
20 cili api atau cili kering pedas
2.5 sm kunyit hidup
Garam secukup rasa
Cara membuatnya:
* Ayam dipotong mengikut cita rasa.
* Cili api, cili merah dan kunyit hidup ditumbuk hingga lumat, serai dititik serta bawang besar dimayang halus.
* Masukkan ayam dan bahan yang sudah ditumbuk ke dalam periuk berserta bawang yang sudah dimayang, serai dan santan.
* Masak hingga mendidih. Masukkan pati santan, asam gelugur dan kerisik, kacau hingga rata.
* Apabila ayam sudah empuk, masukkan garam secukup rasa.
* Siap untuk dihidang.
No comments:
Post a Comment