Wednesday, June 24, 2009

Bandar raya paling mahal

INGIN bercuti pada masa terdekat ini? Anda perlu berfikir dua kali jika hendak memilih Jepun.
Bukan kerana Jepun tidak menarik untuk dikunjungi. Memang negara matahari terbit itu destinasi pelancong yang baik.

Namun, ketika ini, kekukuhan yen, mata wang negara itu, mungkin membuat orang seperti Bill Gates turut berfkir dua kali untuk melancong ke sana.

Dalam kajian kos kehidupan di bandar raya termahal di dunia yang dilakukan syarikat sumber manusia global, ECA International, merumuskan empat daripada lima bandar raya termahal di dunia terletak di Jepun dengan Tokyo di tempat teratas di antara empat bandar raya negara berkenaan.

Bagaimanapun, Tokyo hanya menduduki tangga kedua dalam senarai keseluruhan.

Bandar raya paling mahal mengikut kajian itu ialah Luanda, ibu negara Angola.

Apa yang dilakukan ECA ialah membahagikan 125 barangan pengguna dan perkhidmatan di 370 negara di seluruh dunia, membandingkannya dengan kos yang sama terhadap matawang utama dunia.

Mereka melakukan kajian ini untuk menyediakan maklumat kos kehidupan kepada syarikat antarabangsa bagi pekerja mereka yang menetap di seberang laut.

Namun, ia juga boleh diguna pakai oleh pelancong yang merancang untuk melakukan lawatan singkat.

Sudah tentu ada barang lebih mahal di sesetengah negara dan murah di tempat lain.

Di Luanda, purata harga setin air minuman sejuk ialah kira-kira RM4.60. Di Tokyo, purata harganya ialah RM6.20 tetapi di Copenhagen, kosnya ialah RM7.50.

Bagaimanapun, di Luanda, purata kos makan tengah hari ialah hampir RM205. Ia bertentangan dengan di Manhattan, bandar paling mahal di Amerika Syarikat yang kosnya hanya RM66.

Mengapa negara itu begitu mahal? Ia ada kaitan dengan kos perkapalan yang tinggi, harga minyak dan kadar tukaran asing yang turun naik.

Walaupun kemelesetan ekonomi menunjukkan tanda-tanda pemulihan, tetapi di Jepun, contohnya, nilai yen meningkat berbanding dolar dan matawang lain.

Keadaan itu menjejaskan keuntungan pengeksport seperti Toyota, Sony dan Panasonic.
Ia juga meningkatkan kos kehidupan untuk ekspatriat dan pelancong di Tokyo dan bandar besar Jepun yang lain.

Tahun lalu, Tokyo menduduki tangga ke-13 senarai itu dan Kobe yang menduduki tempat kelima tahun ini, berada di tangga ke-29.

Sejak 12 bulan lalu, yen meningkat lapan peratus berbanding dolar. Menurut Lee Quane dari ECA, mereka yang pergi ke Jepun akan melihat perbezaan ketara dalam kos perbelanjaan berbanding 12 bulan lalu.

Namun, beberapa bandar lain menyaksikan anjakan yang ketara juga. Pada 2008, Manhattan berada di tangga ke-84 dan tahun ini, ia melompat 67 anak tangga untuk berada di tempat ke-17. Baku, ibu negara Azerbaijan melompat 89 anak tangga daripada 109 ke nombor 20. Shanghai naik daripada tangga 28 daripada 111 sementara Hong Kong daripada 98 kepada 29.

Pada masa sama, beberapa bandar raya menjadi kurang mahal seperti Oslo, ibu negara Norway yang jatuh dari tempat nombor dua tahun lalu kepada nombor tujuh tahun ini, Moscow, daripada tempat kelima kepada 23 dan Rome, daripada 30 kepada 37.

Jepun bukannya satu-satu negara yang menguasai tempat teratas. Switzerland juga mempunyai empat bandar raya dengan Geneva (tangga kelapan), Basel (kesembilan) Zurich (ke-10) dan Bern (ke-11).

Bandar raya mana yang di tempat terakhir? Maseru, Lesotho.

No comments: