Lazimnya, di sini tarikan pelancongan utama yang seharusnya dikunjungi khususnya ketika musim cuti sekolah kerana menempatkan sejarah dan warisan bangsa yang perlu diteroka oleh generasi muda.
Bandar Diraja Pekan
Mereka yang pernah sampai ke bandar diraja ini, terasa suasana yang tradisional dan menenangkan. Apa yang menarik? Selain pemandangan muara Sungai Pahang yang mengasyikkan yang letaknya 52 kilometer dari Kuantan ini kaya dengan kisah sejarah kesultanan Pahang.
Tarikan utama di sini ialah Istana Kota Beram yang dulunya istana raja yang dibaik pulih untuk dijadikan Muzium Sultan Abu Bakar. Istana ini pernah menjadi tempat Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Muadzam Shah bersemayam bagi menggantikan Istana Sri Terentang.
Muzium ini dibuka pada 21 Oktober 1976 menempatkan galeri diraja, kira-kira 10,000 bahan sejarah lain, pelbagai bahan sejarah arkeologi, etnografi, artifak serta contoh peninggalan sejarah, muzium ini mempamerkan barang purba yang mempunyai nilai seni kebudayaan Pahang.
Muzium Sultan Abu Bakar yang menggunakan seni bina British sebelum ini adalah bangunan kayu yang diubah suai kepada bangunan konkrit dengan mengekalkan struktur asalnya binaannya pada 1929.
Kemudian anda boleh kunjungi Rumah Kelahiran Tun Abdul Razak, Dewan Pameran Tun Abdul Razak dan Pusat Tenunan Sutera Pahang di Pulau Keladi, 17 kilometer dari Pekan.
Anda juga boleh menjengah galeri pengangkutan di tengah bandar diraja Pekan, Pahang yang memaparkan pengangkutan utama pada zaman dulu seperti perahu, kolek dan rakit. Antara koleksi perahu di galeri itu adalah jenis perahu Payang, Darat, Buatan Darat, Burung, Jalorar, Gelibat, Kolek Licang dan Pengayer.
Bandar Diraja Arau
Bandar Arau terletak kira-kira 10 kilometer dari Kangar ialah bandar diraja bagi negeri Perlis. Di sini ada istana, makam diraja, masjid negeri dan bangunan awam seperti pejabat pos, bomba dan stesen keretapi.
Bandar Arau ini juga dikenali sebagai bandar ilmu kerana di sini ada beberapa pusat pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Matrikulasi, Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Agama Alwiah Ad Diniah iaitu sebuah sekolah agama yang mula-mula dibina di Perlis.
Tarikan utama ke Arau ialah Galeri Diraja Arau menjadi antara tarikan terbaru di Bandar Diraja Arau kerana menempatkan pelbagai barangan koleksi kesayangan Raja Perlis.
Kampung Paya Guring di kawasan Pauh pula menempatkan homestay yang popular dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Malaysia.
Lokasinya berhampiran Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) di mana perkampungan homestay ini sangat strategik kerana berdekatan dengan beberapa IPTA tempatan seperti kampus induk Universiti Malaysia Perlis, UiTM, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan Universiti Utara Malaysia.
Kegiatan ekonomi penduduk setempat adalah pertanian seperti tanaman padi dan getah. Kebanyakan rumah peserta mempunyai dusun buah-buahan.
Bandar Diraja Kuala Kangsar
Bandar Diraja Kuala Kangsar, tempat yang seronok dikunjungi. Selain tempat bersemayam kerabat diraja Perak ia juga sebuah destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai produk tempatan dan IKS (Industri Kecil dan Sederhana) yang menarik.
Letaknya 48 kilometer ke utara Ipoh, uniknya Kuala Kangsar mendapat namanya dari pokok Kangsar yang tumbuh di tebing sungai manakala satu cerita lain pula mengatakan Kuala Kangsar menjadi tumpuan 99 anak sungai iaitu kurang satu seratus, maka ia diberi jolokan nama `Kuala Kurang Sa'.
Pokok getah pertama ditanam di Malaysia kini berusia lebih 100 tahun masih hidup subur di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar.
Antara kawasan pelancongan dan rekreasi di Kuala Kangsar yang mesti dikunjungi ialah Istana Iskandariah di Bukit Chandan, Masjid Ubudiah Bukit Chandan, Galeri Sultan Azlan Shah, Istana Kenangan atau Istana Kuning yang kini dijadikan Muzium Diraja Perak di mana bangunannya dibina tanpa sebatang pun paku.
Selain itu, ada Perak River Safari, Pusat Rekreasi Jabatan Pengairan dan Saliran, Taman Rekreasi Raja Intan Suraya, Kelab Polo Sultan Iskandar dan Kelab Golf Kuala Kangsar. Anda juga boleh menggunakan bot penambang menyusuri tebing Sungai Perak untuk melihat-lihat pemandangan sekitarnya.
Mereka yang gemarkan barangan kraftangan, di sini anda boleh melawat dan membeli Labu Sayong, Tekat Benang Emas serta menghilangkan dahaga dengan menikmati keenakan cendol di Medan Cendol dan Laksa yang dibina bersebelahan bazar kraf dan Laman Budaya Kuala Kangsar.
Di sini juga terkenal dengan masakan kampung dan ikan bakar. Mereka yang gemarkan laksa panas dan cendol lemak manis yang sejuk datanglah ke Laman Budaya.
Bukan itu saja, ada juga kolam air panas Ara Panjang, di Manong.
Bandar Diraja Klang
Bandar Diraja Klang yang kini pesat dengan pembangunan projek mega bakal muncul menjadi pusat bandar yang cantik dan dijangka bebas dari masalah kesesakan lalu lintas menjelang 2010.
Majlis Perbandaran Klang (MPK) wajar diberi pujian kerana bersungguh-sungguh melaksanakan kerja menaik taraf jalan, membersihkan Sungai Klang, membina Taman Pangkalan Batu serta memperelok sepanjang tebing Sungai Klang dalam bandar serta pembinaan landskap berhampiran stesen bas awam Klang.
Sesuai dengan lokasinya yang hampir dengan Shah Alam dan Kuala Lumpur, kawasan Klang Utara memiliki banyak pusat beli-belah, bank dan hotel.
Antaranya pusat beli-belah Klang City Square, Klang Shaw Center Point dan Plaza Metro. Tidak hairanlah bandar diraja ini semakin hidup dan menjadi tumpuan warga asing yang bekerja di negara ini sama ada dari Indonesia, Bangladesh dan Nepal berkumpul pada hujung minggu. Sebuah masjid yang tersergam indah di tepi Sungai Klang juga menarik perhatian sesiapa saja yang menjejakkan kaki ke bandar ini.
Di Klang Selatan iaitu bahagian yang menghala ke Pelabuhan Klang menempatkan pusat pentadbiran termasuk mahkamah, pejabat agama, istana, Masjid Diraja, MPK, pejabat daerah, perpustakaan, hospital, pejabat pos, sekolah dan kolej.
Mereka yang gemar menjamu selera, nikmatilah masakan Melayu di Kampung Jawa. Di sini ada banyak restoran masakan Melayu dan suasana menjadi lebih meriah pada malam hari. Sebelum sampai ke Kampung Jawa, anda boleh melihat Istana Alam Shah (dibina pada 1905), Masjid Diraja Sultan Sulaiman (1932), Stadium Kota Raja (1975), Kolej Islam Sultan Alam Shah (1955) atau lebih terkenal dengan nama Kolej Islam Klang.
Pusat bandar Diraja Klang lebih tertumpu untuk aktiviti perniagaan. Namun, Kerajaan Selangor juga berusaha memperkenalkan bandar ini sebagai destinasi pelancongan unik di Selangor. Di sini ada `Little India' Malaysia. Bagi pencinta etnik, kawasan ini wajib dikunjungi kerana ia ada keunikannya yang tersendiri.
Klang juga menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah kerana di sini ada dua pusat beli-belah Jusco (Jusco Bukit Raja dan Jusco Bukit Tinggi Klang - pusat beli belah Jusco terbesar di Asia Tenggara).
Hendak pergi ke Klang, anda boleh menggunakan Lebuh raya Persekutuan ataupun Lebuh raya Kesas.
No comments:
Post a Comment