My Followers

Adab melawat pesakit


AMALAN menziarahi pesakit di hospital adalah perbuatan mulia dan digalakkan. Namun, sebelum melawat pesakit di hospital beberapa perkara yang perlu diambil kira bagi memberi keselesaan dan kegembiraan kepada semua pihak terutama pesakit.

Pertama, apabila melawat pesakit, pastikan anda tidak memakai minyak wangi yang keterlaluan sehingga membuatkan pesakit rasa kurang selesa.

Lazimnya, apabila menziarahi pesakit pastinya ada buah tangan yang dibawa bersama seperti bunga, buah, coklat dan makanan. Jika membawa makanan, tanyalah dulu kepada jururawat atau doktor sama ada makanan yang dibawa boleh dimakan oleh pesakit. Ini bagi mengelakkan pesakit makan makanan yang boleh memudaratkan mereka.

Bagi yang membawa bunga pula, jika tiada bakul, bawalah sekali pasu untuk diletakkan bunga itu. Ini kerana hospital tidak menyediakan peralatan untuk menyimpan bunga. Pastikan anda mengisi air ke dalam pasu terlebih dulu kerana jururawat tidak mempunyai masa untuk melakukannya. Tetapi perlu dipastikan terlebih dulu bahawa pesakit tidak alah dengan bunga.

Bawalah hadiah yang sesuai dengan pesakit, misalnya, jika pesakit baru selesai menjalankan pembedahan mata, janganlah pula menghadiahkan buku, tentunya tidak sesuai.

Jangan makan gula-gula getah dalam kawasan hospital. Bunyi kunyahan dan letupan gula-gula getah boleh menyebabkan pesakit terganggu.

Pastikan anda menutup telefon bimbit atau meletakkannya dalam keadaan senyap sewaktu melawat pesakit. Penggunaan telefon bimbit tidak dibenarkan di kebanyakan wad dan anda perlu menghormati peraturan pihak hospital.

Apabila bersalam dengan pesakit, peganglah tangannya dengan lembut. Elakkan dari memeluk pesakit. Kebanyakan pesakit tidak suka disentuh terutama jika baru menjalani pembedahan.

Jangan sesekali duduk di atas katil pesakit kerana ini akan menyebabkan pesakit rasa tidak selesa kerana ruang yang sempit. Apa salahnya berdiri jika kerusi tidak cukup kerana anda hanya berada di situ dalam masa yang singkat.

Berbual dengan pesakit dengan nada suara yang sederhana, tidak terlalu perlahan atau terlalu kuat. Bercakaplah mengenai perkara gembira dan elakkan bercakap perkara yang buruk. Jangan sesekali menunjukkan perasaan negatif apabila ketika berada di sisi pesakit.

Minta diri untuk keluar jika anda sedang marah atau sedih dan kembali semula selepas anda dapat mengawal perasaan.

Jika sewaktu melawat, kebetulan ada saudara mara pesakit, berkenalan secara ringkas dan tinggalkan hadiah serta ucap selamat kepada pesakit dan kemudian beredar. Sesetengah sanak saudara memerlukan masa berkualiti bersama pesakit. Kadangkala saudara mara pesakit datang dari jauh dan waktu melawat yang dibenarkan hanya singkat, justeru kesempatan singkat ini perlu digunakan dengan sepenuhnya.

Pastikan anda mendapat kebenaran daripada jururawat atau doktor terlebih dulu jika pesakit mahu keluar mengambil angin dan bersiar-siar di kawasan hospital.

Anda perlu meninggalkan pesakit dan keluar seketika jika doktor atau jururawat mahu merawat pesakit.

Setiap pelawat perlu berfikiran positif ketika melawat pesakit dan sentiasa senyum kerana secara tidak langsung ia mampu mengurangkan kesakitan yang dialami mereka yang berada dalam wad.

Post a Comment