Friday, April 24, 2009

Tukar beli paling selamat

SEBAGAI pembeli kereta terpakai, kita sentiasa berisiko apabila membeli kereta yang sudah digunakan tetapi dengan pemeriksaan teliti, kita masih mampu mencari kereta yang diselenggara dengan baik dan mampu memberi pemanduan selesa serta bebas masalah dan kerosakan.

Empat cara paling biasa untuk membeli kereta terpakai di negara kita adalah seperti berikut;

* Membeli kereta dari pengilang yang menjual kereta terpakai jenamanya sendiri yang sudah ditukar beli;

* Membeli daripada pengedar kereta terpakai (lebih banyak daripada semua cawangan McDonald's, Kentucky, A & W, Pizza Hut dan Domino's digabungkan di seluruh tanah air);

* Membeli secara terus daripada pemilik kereta yang menjualnya melalui iklan di surat khabar dan majalah berkaitan pemotoran; dan

* Membeli kereta melalui garaj/rumah lelongan dengan kebanyakan kereta yang ditarik balik akan dijual pada harga tawaran tertinggi.

Secara amnya, pembelian daripada pengilang kereta yang menjual model jenama sendiri yang ditukar beli adalah cara paling selamat apabila membeli kereta terpakai. Ini kerana pengilang kereta ingin menjaga reputasinya dengan menjual kereta yang berada dalam keadaan baik.

Biasanya, pengilang sudah pun membaik pulih kereta apabila semua peralatan haus diganti dan segala masalah dan kerosakan dibaiki.

Kelebihan membeli kereta di sini adalah kereta ini biasanya diberi tempoh jaminan selama enam bulan selepas tarikh pembelian. Jika ada kerosakan dan masalah, mereka akan membaikinya tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Kereta ini juga dijual pada harga lebih mahal daripada nilai di pasaran. Harga jualan tinggi disebabkan kerja baik pulih yang dilakukan sebelum dijual dan keinginan pengilang melindungi nilai jual semula jenama keluarannya.

Jika anda membeli kereta daripada pengedar kereta terpakai, berurusan dengan mereka mempunyai dua kemungkinan.

Kadang kala berisiko tinggi dan ada juga urusan yang dipermudahkan melalui mereka. Ia berisiko tinggi kerana kereta yang dijual itu mungkin berada dalam keadaan teruk.

Namun, ada ketika ia sungguh mudah kerana pengedar kereta ini menguruskan semua perkara yang diperlukan dalam urus niaga pembelian.

Pada masa ini, ada beberapa pengedar kereta terpakai profesional mengklasifikasikan kereta dijual mengikut gred A, B dan C dengan harga jualannya ditentukan mengikut gred.

Sebagai pengguna, anda tidak digalakkan membeli kereta terpakai dari penjual kereta di tepi jalan yang hanya mempunyai kira-kira 10 kereta di tapak jualannya.

Pembelian kereta dari garaj atau rumah lelongan boleh dikatakan menjadi suatu transaksi yang jelas. Kereta untuk dijual dipamer secara terbuka dan anda berpeluang memeriksanya dengan teliti walaupun anda tidak dapat memandu uji kereta berkenaan.

Kereta ini dijual atas dasar seperti dipamerkan. Pembeli juga tidak boleh membuat sebarang aduan mengenai kerosakan atau kekurangan yang timbul selepas membelinya. Satu daripada kelebihan membeli dari rumah lelongan adalah penyediaan khidmat kemudahan menukar nama pada geran dan permohonan pinjaman pada bayaran ditetapkan.

Pembelian kereta lelongan adalah satu cara baik untuk mendapat nilai yang bagus, tetapi anda perlu memeriksa kereta yang dibeli secara teliti atau mendapat khidmat profesional.

Pilihan terakhir pula adalah pilihan yang kami syorkan, iaitu membeli kereta terpakai secara terus daripada pemiliknya. Pembelian secara terus daripada pemilik kereta mempunyai kelebihan dan kekurangannya.

Kelebihannya adalah kedua-dua penjual dan pembeli dapat berbincang harga jualan yang lebih munasabah tetapi masih berpandukan pada harga di pasaran.

Kekurangannya adalah anda perlu menguruskan segala prosedur permohonan pinjaman serta penukaran nama pada geran dengan sendiri.

Melalui pembelian kereta secara terus daripada pemilik sebelumnya, anda dapat mendalami pengetahuan mengenai kereta anda seperti sejarah servis, penggunaan dan keadaan kereta berkenaan

1 comment:

dkama said...

best blog u ni... banyak tips... aper2 hal dkama leh refer kat sini hehehe