Friday, April 24, 2009

Persediaan persaraan masih rendah

TAHAP kesedaaran merancang menabung untuk kehidupan selepas persaraan di Malaysia yang umur persaraana di kalangan rakyatnya ialah antara 50 hingga 55 tahun masih rendah berbanding negara lain.

Ada kalangan rakyat Malaysia bersedia terus bekerja walaupun selepas umur persaraan wajib dengan menyambung kontrak. Berdasarkan pemerhatian, mereka masih mahu menyumbang tenaga bekerja sehingga usia 61 tahun, sama ada kerana sememangnya suka bekerja atau memerlukan pendapatan untuk sara hidup.

Biasanya, semua orang akan mula memikirkan apa yang hendak dilakukan apabila bersara ketika berusia 50 tahun, tinggal lima tahun sebelum bersara dan sudah terlambat untuk merancang. Bagi yang memiliki harta seperti rumah sewa, tanah, kebun dan perniagaan mungkin tiada masalah.

Apabila bersara, pastinya seseorang itu yang sebelum ini sibuk dan aktif dengan tugas sehariannya, mula berubah corak kehidupannya dengan memasuki dunia baru. Tiada lagi gaji bulanan diterima dan rutin seharian yang membelenggu hidup mereka, sebaliknya lebih banyak masa dihabiskan dengan aktiviti berbentuk peribadi.

Justeru, dalam melayari sisa hidup itu, kita perlukan simpanan untuk melakukan pelbagai kegiatan termasuk perbelanjaan keperluan asas khususnya makanan dan pakaian, selain membayar bil. Dalam keadaan itu, perancangan awal dengan melakukan tabungan supaya dapat menempuh alam persaraan dengan tenang dan berkeyakinan.

Senario di negara ini, bagi kakitangan kerajaan mempunyai skim pencen, manakala pekerja swasta mencarum wajib di dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) sebagai bekalan simpanan hari tua selain pembelian saham dan bon. Alternatif boleh dilakukan dengan menambah simpanan hari tua menerusi skim insurans persaraan. Namun, di negara ini kesedaran menabung bagi skim persaraan itu masih rendah.

Syarikat insurans pernah membuat kajian di banyak negara di seluruh dunia baru-baru ini, mensasarkan kumpulan pekerja berumur 25 ke atas serta kumpulan pesara berusia 75 tahun ke bawah, bertujuan melihat persepsi masyarakat mengenai persaraan, perbandingan antara tanggapan dan kenyataan (pekerja dan pesara) dan menganalisis tinjauan masyarakat dari sudut pandangan antarabangsa.

Berdasarkan kajian yang turut membabitkan Malaysia itu mendapati kebanyakan pekerja mula bersiap untuk menabung bagi menghadapi dunia persaraan mereka pada purata usia 41 tahun, berbanding mereka yang bermula pada usia 47 tahun dan kebanyakan mereka adalah di kalangan berpendapatan tinggi.

Situasi itu berbeza dengan pekerja di Britain yang sudah mula membuat persiapan persaraan seawal umur 28 tahun; Amerika Syarikat (30 tahun); Singapura (34 tahun) dan Thailand (43 tahun).

Kajian menunjukkan pesara masih tidak bersedia dengan rintangan yang bakal dilalui sepanjang tempoh persaraan. Pada peringkat permulaan, mereka yakin simpanan mencukupi tetapi selepas berdepan dengan masalah dan perkara tidak dijangka, baru menyedari bahawa tindakan itu salah.

Berdasarkan kajian itu, kira-kira 48 peratus saja pekerja di Malaysia membuat persediaan menabung untuk persaraan berbanding di Amerika Syarikat (79 peratus); Britain 71 peratus); Singapura (54 peratus) dan Thailand (38 peratus).

Pada dasarnya, rakyat di negara ini lebih memberikan keutamaan membeli polisi insurans nyawa. Kajian menunjukkan, kira-kira 73 peratus pekerja di Malaysia membeli polisi insurans nyawa, diikuti caruman wajib KWSP (67 peratus) dan sumbangan melalui majikan (65 peratus).

Kajian di Singapura pula, menunjukkan caruman tabung simpanan pekerja (CPF) 91 peratus, diikuti sumbangan majikan secara sukarela untuk pekerja (90 peratus) dan mempunyai simpanan CPF, akaun SRS, simpanan persaraan, pelan pengeluaran tempoh matang (84 peratus).

Di Amerika Syarikat, 91 peratus menyumbang kepada Keselamatan Sosial; sumbangan majikan (69 peratus) dan menabung dalam saham, bon, sijil simpanan (66 peratus).

Jika dilihat dari segi tabungan pula, di Malaysia, jumlah simpanan meningkat kira-kira RM478 kepada RM704 setiap bulan. Bagaimanapun, di Amerika Syarikat pula pekerja memperuntukkan sejumlah RM2,207 setiap bulan untuk skim persaraan.

Kajian untuk aspek kesihatan mendapati jurang perbezaan antara orang yang bekerja dan pesara tidak begitu besar. Penyelidikan menunjukkan tahap kesihatan yang optimum ialah pada usia muda.

No comments: