Friday, April 17, 2009

Kecergasan mampu beri kesihatan yang baik

Dengan ketinggian 170cm dan berat 55kg, aku jarang sangat bersenam. (Bukan nak bagi kurus, tapi nak bina stamina jer) Tapi, tiap-tiap hari, aku naik tangga turun tangga. Jaguh tangga... (Dolu-dolu, bleh la jogging 1 kampus walaupun time berpuasa. Stamina dasat time tu beb) Sekarang nih, aku pencen nak naik gunung. Uwaaa... tak sanggup!!
Bila-bila difikir-fikirkan balik, apa salahnya aku nak beriadah sekarang ni kan. Company siap sediakan gym lagih. Huhuhu... linda, bila kita nak start nih??? Apa-apapun, jom baca artikel nih.... layannnnn!!!

KECERGASAN adalah keadaan seseorang mempunyai keupayaan untuk melakukan kerja hariannya dengan penggunaan tenaga minimum tanpa rasa lesu serta mempunyai lebihan tenaga bagi kegiatan riadah dan kecemasan umpamanya mampu lari jika dikejar anjing.

Ia turut merangkumi aspek fizikal, mental, emosi, sosial dan kerohanian. Pendek kata, cara terbaik bagi menilai seseorang cergas atau tidak, jika seseorang berkerja lemah serta tidak mampu melakukan kerja lain, ini bermakna beliau tidak cergas.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan tahap kecergasan seseorang, senaman yang betul diperlukan, selain mampu mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku akibat senaman yang tidak sesuai.

Senaman bukan sekadar membabitkan fizikal tetapi yang penting ialah emosi. Lazimnya, apa yang dikatakan senaman yang baik ialah apabila kita berupaya melakukan senaman dengan rasa seronok dalam tempoh 20 minit tanpa berhenti.

Melakukan kerja rumah seperti membasuh baju, pinggan mangkuk dan mengemas rumah tidak boleh dijadikan kayu pengukur menentukan kegiatan berkesan dari segi kecergasan kerana biasanya ia tidak dilakukan secara berterusan selama 20 minit.

Lima komponen yang termasuk dalam kecergasan iaitu daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan otot, kelembutan dan komposisi badan.

Kelima-lima komponen ini perlu diimbangi bagi mendapatkan badan cergas. Selain itu, simpanan lemak dalam badan seseorang turut mempengaruhi kadar kecergasan setiap individu.

Di negara maju, kemudahan untuk senaman seperti laluan berjoging, alat bantuan senaman seperti basikal disediakan di tempat tumpuan awam termasuk kawasan perumahan, sekolah dan kawasan lapang. Ini antara langkah mempromosikan cara hidup sihat di kalangan masyarakat.

Di negara ini, kerajaan mengambil usaha berterusan bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat melalui kecergasan.

Ini termasuk mengadakan kempen kesedaran mengenai pentingnya kecergasan terhadap manusia melalui media dan program kecergasan secara berterusan seperti program senamrobik hujung minggu di tempat tumpuan masyarakat oleh beberapa pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, kemudahan beriadah turut disediakan PBT atau pemaju perumahan terutama di kawasan perumahan baru.

Misalnya, pusat pentadbiran Putrajaya adalah contoh kawasan penempatan yang menyediakan pelbagai kemudahan yang sesuai diguna bagi meningkatkan kecergasan penduduk di kawasan berkenaan. Antara kemudahan yang disediakan ialah laluan berjoging dan gimnasium.

Bagaimanapun, pelbagai kemudahan beriadah yang disediakan mungkin akan gagal memenuhi fungsinya jika masyarakat masih enggan menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Mungkin ramai yang beranggapan lebih baik berehat atau tidur atau berdiam diri tanpa melakukan apa-apa yang boleh mengeluarkan peluh.

Hakikatnya badan yang cergas mampu menghindarkan pelbagai penyakit sekali gus mengurangkan kos perkhidmatan kesihatan.

Faedah bersenam

* Mencegah beberapa jenis penyakit seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis.

* Membina kekuatan stamina dan koordinasi badan.

* Meningkatkan tahap kecergasan ke atas sistem kardiovaskular dan pernafasan.

* Mengurangkan lemak dalam badan.

* Menjadi warga yang lebih cergas, ceria dan berkeyakinan.

* Kelihatan lebih muda, sihat dan cergas.

2 comments:

♥ Che NamNam ♥ said...

really good info..TQ sudi singgah blog sayer..kiter link ehh..

edrina said...

comel la anak2 awak :-).