Tuesday, March 17, 2009

Taiping bandar warisan sejarah

TAIPING bererti `Kedamaian Luhur'. Sesuai dengan namanya, pekan bekas tanah lombong itu sememangnya menyenangkan dan mendamaikan jiwa sesiapa yang menjejakkan kaki ke situ. Apa tidaknya, Taiping dikelilingi taman yang cantik dan pohon menghijau yang berusia beratus tahun.

Selain keindahannya, Taiping terkenal dengan warisan sejarah yang sentiasa dipelihara sehingga kini. Jadi tidak hairanlah jika kerajaan negeri bercadang untuk memohon pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bagi menjadikan Taiping sebagai bandar warisan dunia.

Cadangan itu dibuat memandangkan kedudukan Taiping yang mempunyai banyak sejarah khazanah warisan negara termasuk `33 first' iaitu 33 perkara atau pembinaan yang pertama di negara ini yang dibuat di Taiping seperti pembinaan landasan keretapi pertama, muzium pertama, penjara pertama dan taman tasik pertama.

Ternyata, Taiping bukan hanya menarik perhatian pelancong kerana tercatat dalam lipatan sejarah tetapi bandarnya yang tenang, damai dan selesa.

Walaupun Taiping tidak terkecuali melalui beberapa pembangunan, suasananya tidak pernah berubah seperti Taiping 20 tahun lalu. Pekannya masih sama dan kebanyakan bangunan serta kedai masih berada di tempat yang sama, cuma kini sudah ada pawagam, dua pasar raya dan hotel.

Cara terbaik untuk menerokai keindahan Taiping ialah dengan berjalan kaki di sekitar bandar atau memandu perlahan-lahan tanpa perlu risau akan dikejutkan dengan bunyi hon oleh pemandu belakang.

Berada di Taiping, membuatkan anda terpegun dengan reka bentuk bangunan kolonial zaman Victoria dibina pada 1898 yang sekarang berfungsi sebagai Pejabat Daerah. Anda akan terasa seolah-olah turut dibawa mengembara ke zaman lampau. Malah, kebanyakan pejabat di pekan ini adalah bangunan bekas tinggalan penjajah yang masih teguh berdiri.

Satu lagi yang menarik di pekan Taiping ialah balai polisnya yang dibina pada 1881 yang menjadi tumpuan pelancong. Selain itu, bekas balai bomba pertama juga menarik tarikan pengunjung kerana dijadikan pejabat Pusat Pelancongan.

Muzium pertama di Malaysia juga didirikan di Taiping pada 1883. Muzium yang terletak berhampiran Penjara Taiping ini sewajarnya menjadi tempat pertama disinggahi.

Dibina oleh Residen British di Perak yang pertama, Sir Hugh Low, muzium tertua di negara ini menyimpan pelbagai sejarah Perak.

Di sini, barulah diketahui yang Taiping adalah bandar pertama. Mengikut rekod, Taiping adalah bandar pertama dibangunkan oleh British. Berikutan itu, banyak `perkara' yang pertama dibangunkan di sini.

Melawat ke semua tempat bersejarah ini mudah kerana kedudukannya yang dekat tanpa perlu memandu jauh. Anda boleh mendapatkan peta dari Pusat Maklumat Pelancong yang terletak di menara jam lama di tengah bandar, sebahagian peninggalan sejarah yang tinggal. Dibina pada 1881, jam ini terabai seketika tapi dipulihkan semula, dicat dan dijadikan pusat informasi pelancong.

Tasik buatan manusia daripada bekas tinggalan lombong yang dikelilingi pokok besar, membangkitkan suasana redup dan nyaman. Terasa seperti melalui kawasan hutan tebal dalam cerita kanak-kanak Little Red Riding Hood.

Taman Tasik Taiping juga adalah yang pertama dibina sekali gus dikenali sebagai taman tasik tercantik di Malaysia. Tidak hairanlah ia sering menjadi lokasi penggambaran filem.

Taman tasik ini berasal dari kawasan lombong terbiar di Taiping yang diubah suai pada 1884. Sehingga hari ini taman itu diubah suai sebanyak dua kali dan menjadi tempat tumpuan keluarga yang ingin menghabiskan masa lapang berjoging dan beriadah. Pelbagai kemudahan disediakan termasuk bot dan padang permainan.

Selain bangunan lama, Zoo Taiping adalah tempat yang harus dikunjungi kerana selain zoo pertama di Malaysia, ia juga menawarkan kelainan kepada pengunjung dengan memperkenalkan safari malam. Anda tidak perlu ke safari di Singapura untuk melihat hidupan liar bergerak aktif di malam hari kerana safari Zoo Taiping juga menarik.

Bagi mereka yang mahu meninjau pemandangan indah Taiping dari Bukit Larut dan ingin berehat sambil menghirup udara sejuk, boleh berkunjung ke kawasan peranginan tertua di Malaysia iaitu Bukit Larut yang dulunya dikenali sebagai Maxwell Hill.

Berusia lebih 100 tahun dan terletak pada ketinggian 1,250 meter dari paras laut dan 13 kilomter dari kaki bukit, kawasan ini dulu menjadi tempat rehat pegawai British kerana cuacanya yang sejuk.

Bagaimanapun, pengunjung perlu meninggalkan kenderaan di bawah dan menaiki pacuan empat roda yang disediakan.

Berhampiran kawasan taman tasik itu juga terdapat Perkuburan Perang Taiping dibina oleh penjajah British sebagai tempat persemadian tenteranya yang terkorban dalam peperangan.

Bagi peminat golf pula, mereka boleh bermalam di Taiping Golf Resort yang terletak di Bukit Jana, Kamunting, kira-kira 15 minit memandu dari bandar.

Mereka yang ingin bermalam, ada beberapa hotel di tengah bandar yang menawarkan kadar berpatutan iaitu Legenda Inn, Hotel Panorama, Meridien dan Seri Malaysia.

Ternyata, bagi mereka yang mahukan rehat dan ketenangan sebenar, Taiping adalah destinasinya.

INFO


Antara yang pertama dibina di Taiping

* Sekolah Inggeris pertama, Central School yang kemudian ditukar nama kepada King Edward V11 School (1883)

* Sekolah perempuan pertama di Tanah Melayu, Lady Treacher Girl's School (1883)

* Pejabat Pos dan Telegraf, pejabat pos pertama di Malaysia dan masih berfungsi hingga kini (1884)

* Pasar Taiping, antara contoh terbaik warisan bangunan kurun ke-19 (1884)

* Rumah Rehat Lama (1894), kini dikenali Lagenda Inn berdekatan Stesen Keretapi Taiping

* Masjid Melayu tertua (1987)

* Kolam renang pertama (1870)

* Pelabuhan pertama, Port Weld, kini Kuala Sepetang (1877),

* Akhbar pertama di Negeri-Negeri Melayu dicetak di Taiping pada 1890-an, bermula dengan akhbar Melayu, `Seri Perak', akhbar Tamil Perak `Varthamani' dan akhbar Inggeris `Perak Pioneer' terbitan Taiping Press.

No comments: