My Followers

Malaysia kaya makanan tradisi

Tidak sah kunjungan ke sesebuah negeri jika tidak mengambil peluang menikmati makanan tradisi cita rasa enak dari negeri berkenaan.
Di Malaysia ada pelbagai hidangan menarik. Ada di antara negeri yang mempunyai makanan berempah, tidak kurang juga mempunyai makanan sajian agak manis, masam serta pedas.Untuk menikmati keenakan makanan istimewa tidak sukar kerana ada promosi dijalankan oleh Pelancongan Malaysia termasuk dalam acara Citarasa Malaysia yang memperkenalkan sajian istimewa di setiap negeri di Malaysia.

MELAKA
Asam pedas sajian istimewa

SEBUT saja asam pedas, ramai yang membayangkan betapa enaknya hidangan yang disajikan itu.

Ia amat popular di Melaka, maka tidak hairanlah ia senang didapati di warung tepi jalan hinggalah ke hotel bertaraf lima bintang sehinggakan ada ungkapan `tidak lengkap datang ke Melaka kalau tidak menikmati asam pedas'.

Masakan warisan itu menjadi sebahagian produk pelancongan di negeri bersejarah ini. Masakan asam pedas bukan saja dihidangkan untuk keluarga di rumah, malah pelancong dari seluruh dunia yang melawat negeri ini turut menikmati keenakannya.

Bagaimana ke sana

Ambil susur keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan di persimpangan Ayer Keroh. Pandu terus ke arah Bandar Melaka dan anda berpeluang menikmati sajian tradisional itu sama ada di gerai, restoran atau hotel di seluruh negeri Melaka.

NEGERI SEMBILAN
Masak lemak cili api begitu menyengat

KEENAKAN masak lemak cili api memang sinonim dengan Negeri Sembilan dan jika anda berkunjung ke negeri ini anda akan menikmati pelbagai hidangan sama ayam, daging, udang, ikan dan sebagainya dimasak dalam resipi masak lemak cili padi.

Bagi penggemar masakan pedas, masak lemak cili padi yang menggunakan cili padi sebagai bahan asas adalah jawapannya.

Tidak sukar mendapatkan hidangan ini kerana anda boleh menikmati di seluruh pelosok Negeri Sembilan.

Bagaimana ke sana

Ambil susur keluar dari lebuhraya Utara-Selatan di persimpangan Seremban dan teruskan perjalanan menuju ke Bandar Seremban.

JOHOR
Nasi beriani gam Batu Pahat menyelerakan

KEENAKANNYA tidak perlu diperkatakan, malah ia digemari pelbagai lapisan masyarakat. Kepelbagaian menu itu menjadikan nasi beriani cukup istimewa dengan lauk ayam, daging atau kambing yang dihidangkan bersama dalca, papedom dan acar timun.

Bagi penggemar nasi beriani, jangan lupa berkunjung ke Batu Pahat untuk menikmati nasi beriani gam yang terkenal dengan keenakan dan keunikan kerana dimakan bersama kuzi kambing.

Beriani gam Johor yang dimasak dengan rempah istimewa memberikan inspirasi tersendiri dalam mengangkat makanan tradisi itu ke persada antarabangsa.

Bagaimana ke sana

JIKA dari Kuala Lumpur, gunakan Lebuh Raya Utara-Selatan keluar melalui Plaza Tol Yong Peng Utara ke persimpangan Tongkang Pecah sebelum mengambil simpang kiri ke bandar Batu Pahat.

Jarak dari Yong Peng ke bandar Batu Pahat, kira-kira 30 kilometer. Anda juga boleh menggunakan Plaza Tol Pagoh.

Dari arah selatan atau Johor Bahru, anda boleh menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan dan keluar di Plaza Tol Ayer Hitam, terus ke pekan Parit Raja sebelum sampai di bandar Batu Pahat.

PAHANG
Sajian ikan patin Temerloh

TERPAMPANG papan tanda 'Bandar Ikan Patin' sebaik melintasi daerah Temerloh yang memberi gambaran betapa enaknya sajian ikan itu yang menjadi daya penarik bagi pengunjung ke Pahang.

Keenakan ikan patin yang menjadi buah mulut membuatkan kebanyakan restoran yang menjual masakan ikan air tawar itu sering menjadi tumpuan warga luar yang bertandang ke bandar kecil ini.

Untuk menikmati sajian istimewa ini, medan selera yang terletak di tebing sungai Pahang menyajikan pelbagai hidangan masakan tradisional Pahang khususnya berasaskan resipi masakan ikan patin yang menjadi jenama tersendiri daerah Temerloh.

Bagaimana ke sana

Temerloh terletak kira-kira 130 kilometer dari Kuala Lumpur dan di tengah-tengah perjalanan antara Kuala Lumpur-Kuantan. Jika melalui Lebuhraya Pantai Timur, masuk ke susur keluar arah Temerloh.

TERENGGANU
Keenakan nasi dagang jadi bualan

KESUKARAN menyediakan nasi dagang sememangnya berbaloi dengan keenakan rasa nasi yang dimasak secara kukus dengan campuran beras siam dan sedikit beras pulut serta halba dan halia yang dihidangkan bersama gulai ikan tongkol.

Sajian ini wajib dinikmati sekiranya berkunjung ke Terengganu dan hidangan tradisional ini dimakan pada waktu pagi dan malam.

Terdapat beberapa restoran dan gerai yang menawarkan cita rasa asli nasi dagang dan antara lokasi gerai nasi dagang yang menjadi pilihan terletak di Chendering, Batu Burok dan Ladang.

Bagaimana ke sana

Pengunjung boleh mengunjungi gerai ini di sepanjang jalan ke Kuala Terengganu dari arah Kuantan atau Kota Bharu.

KELANTAN
Nasi kerabu pilihan setiap masa

HIDANGAN nasi berwarna ungu dan disediakan bersama ulam yang dihiris halus serta sambal ikan dan dilengkapi dengan budu dan sambal lada sangat menyelerakan.

Di kenali dengan nasi kerabu ia bukan saja menjadi hidangan untuk sarapan pagi malah tengahari dan malam. Nasi kerabu akan lebih enak sekiranya dimakan bersama salok lada, ikan goreng celup tepung, daging salai atau ayam goreng.

Hidangan ini mudah diperoleh kerana dijual di kebanyakan restoran dan gerai. Bagaimanapun bagi yang tidak mengetahui lokasi tertentu boleh berkunjung ke tingkat satu Pasar Siti Khadijah yang turut menjuak nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam yang pasti membuat pengunjung kecur lidah melihatnya.

Bagaimana ke sana

Pasar Siti Khadijah mudah dikunjungi kerana terletak di tengah bandar Kota Bharu iaitu di Jalan Hulu.

PULAU PINANG
Nasi kandar kari kepala ikan sukar dilepaskan

PULAU Pinang bukan saja dikenali sebagai destinasi pelancongan menarik dan pusat beli belah, tetapi turut dikenali sebagai syurga pelbagai jenis makanan yang enak dan begitu terkenal dengan nasi kandar kari kepala ikan.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan beberapa restoran dan gerai nasi kandar di Georgetown mahupun Seberang Prai beroperasi 24 jam dengan pengunjung yang tidak pernah putus sehingga dinihari.

Jenama nasi kandar ini bermula antara 1950 hingga 1960-an berikutan kewujudan restoran India Muslim seperti Dawood di Lebuh Queen, Hameediah (Lebuh Campbell), Kapitan (Lebuh Chulia) dan Kassim Mustapha (Lebuh Pantai) malah tidak lupa restoran Line Clear di Jalan Penang.

Bagaimana ke sana

Tidak sukar mencari restoran nasi kandar kerana dia boleh didapati di seluruh pelusuk Pulau Pinang, sama ada di Georgetown mahupun di Seberang Prai.

PERLIS

Laksa Kuala Perlis penuhi cita rasa

Tidak sah berkunjung ke negeri paling utara ini jika tidak mencuba laksa Kuala Perlis yang terkenal kerana dibuat daripada tepung beras. Pengunjung yang ingin menikmati laksa Perlis boleh berkunjung ke kawasan medan selera yang dibina khas di pesisir pantai Kuala Perlis, dikenali sebagai Laman Brasmana.

Selain menikmati keenakan laksa Perlis, pengunjung boleh menjamu dengan ikan bakar, pasembur, mee udang serta masakan panas lain dengan harga berpatutan.

Bagaimana ke sana

Dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim terus memasuki Lebuh Raya Utara-Selatan dan menyusuri laluan Lebuh Raya Changlun ke Kuala Perlis yang mengambil masa hanya 45 minit perjalanan.

Dari bandar Alor Star - masuk Jalan Alor Star-Kangar dan memasuki persimpangan Kuala Perlis kira-kira tujuh kilometer dari Kangar. Perjalanan itu mengambil masa satu jam dengan jarak 50 kilometer.

KUALA LUMPUR
Nasi lemak Kampung Baru terus dapat sambutan

SEBUT saja nasi lemak, ramai memuji keenakan nasi lemak yang dijual beberapa pengusaha di Kampung Baru.

Nasi lemak bukan lagi menjadi sajian waktu pagi sebaliknya kini lebih komersil dan menjadi satu daripada pilihan menu untuk makan malam.

Keistimewaan nasi lemak kampung baru bukan saja pada sambal bilis yang pedas tetapi lebih enak jika dimakan bersama lauk pauk pilihan seperti rendang ayam, rendang daging, sambal sotong, sambal kerang dan pelbagai lagi.

Bagaimana ke sana

Kampung Baru terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur dan mudah dihubungi sama ada dengan kenderaan persendirian mahupun kenderaan awam termasuk LRT.

Tempeyek ikan bilis
Roti Jala... la la la

SELANGOR

Sate Kajang jadi sebutan

SEKALIPUN ada ramai yang menjual sate di seluruh negara namun sate Kajang tetap menjadi pilihan rakyat Malaysia.

Malah Kajang sendiri dikenali sebagai `Bandar Sate' sehinggakan dijadikan produk pelancongan dan sekiranya ke Kajang pengunjung akan dapat melihat replika sate bersama kuah kacang, bawang, ketupat dan timun.

Jika berkunjung ke medan selera sate Kajang anda boleh membuat pilihan gerai mana yang ingin dikunjungi kerana di sana terdapat 20 gerai sate sekali gus mewujudkan persaingan di kalangan peniaga dan membuatkan mereka memberi layanan terbaik bagi memikat hati pelanggan.

Bagaimana ke sana

Ambil susur keluar dari lebuhraya Utara-Selatan menuju ke tol Kajang dan seterusnya menuju ke Bandar Kajang, medan selera sate terletak di sebelah Stadium Kajang.

KEDAH

Kuih tradisional di Pekan Rabu

JIKA ke pekan Rabu, jangan lupa singgah membeli pelbagai kuih-muih tradisional termasuk cakar ayam, dodol dan agar-agar. Cucur peniram atau kuih 'telinga keling' masih hangat dijual pada harga serendah RM1 untuk 10 biji.

Di Pekan Rabu juga pengunjung boleh membeli serunding, kuah rojak dan garam belacan. Pusat perniagaan di sini turut menjadi kebanggaan bukan saja usahawan Melayu, tetapi juga orang-orang Melayu di Kedah.

Bagaimana ke sana

Ikut lebuh raya Utara-Selatan (PLUS), anda boleh ambil laluan keluar Alor Star Selatan atau Alor Star Utara. Ikut papan tanda ke pusat bandar Alor Star. Dari sini, ikut papan tanda yang menunjukkan cara untuk ke Pekan Rabu.

PERAK

Durian Perak jadi pilihan

TIDAK susah mendapatkan durian kerana di mana-mana saja di pelusuk tanah air ada yang menjualnya, namun raja berasal dari negeri Perak mempunyai keistimewaan tersendiri.

Malah setiap tahun, ribuan pengunjung menyerbu Bukit Gantang di Perak untuk menikmati lebih 25,000 durian percuma sempena program Jom Makan Durian Bukit Gantang.

Bagi pengunjung yang ingin bercuti ke Perak berkunjunglah ke Ladang Bukit Gantang yang menempatkan dusun buahbuahan, taman herba dan kebun bunga di atas tapak seluas lapan hektar.

Jika datang pada musim durian, pasti ada yang terlantar kekenyangan kerana dapat menikmati keenakan durian sepuas-puasnya. Jangan lupa mencuba tempoyak, pasti anda semakin berselera menikmati hidangan.

Bagaimana ke sana

Pengunjung boleh membeli durian ini di Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Selatan), Hentian dikenali dengan jolokan Perkampungan Buah Tropika itu menawarkan buahbuahan seperti manggis dan rambutan yang diambil dari dusun sekitar Bukit Gantang.

SARAWAK

Ikan terubuk masin jadi buah tangan

JIKA berkunjung ke Sarawak, sering kali pengunjungnya akan membawa pulang ikan terubuk masin sebagai hadiah sama ada untuk ahli keluarga dan sahabat handai.

Berbanding ikan lain di pasaran, terubuk Sarawak memang popular dan mempunyai permintaan tinggi disebabkan keenakan isi dan telurnya lebih-lebih lagi jika dipanggang sebelum dicicah asam limau dan kicap manis.

Ikan terubuk masin boleh di beli di pasar Satok dan kebiasaannya peniaganya akan membungkus ikan itu dengan cantik supaya boleh dibawa seperti sebuah bingkisan hadiah. Ikan terubuk yang dibungkus boleh tahan selama tujuh hari jika tidak disimpan dalam peti sejuk.

Bagaimana ke sana

Pasar Satok terletak dua kilometer dari pusat bandar raya Kuching dan mudah dihubungi.

SABAH

Keropok amplang makanan tradisi Sabah

CUBALAH rasai keenakan keropok amplang sekiranya berkunjung ke Sabah kerana makanan ringan ini adalah antara makanan yang sangat popular terutama di daerah Tawau dan Sandakan.

Keropok amplang yang rangup dan enak ini diperbuat daripada isi ikan tenggiri dan kebiasaannya keropok ini dibuat oleh secara kecil-kecilan oleh kaum wanita daripada keluarga nelayan.

Sekalipun diusahakan secara kecil-kecilan tetapi keropok amplang mudah diperoleh kerana lazimnya dijual di Pasar Tamu di seluruh negeri Sabah.

Bagaimana ke sana

Anda boleh membeli di manamana Pasar Tamu dan terdapat sembilan tamu tersenarai dalam Kalendar Pelancongan Sabah iaitu Tamu Kota Belud, Tamu Keningau, Tamu Bandau (Kota Marudu), Tamu Kuala Penyu, Tamu Tomborungus (Kudat), Tamu Donggongon (Penampang), Tamu Jalan Gaya (Kota Kinabalu), Tamu Tamparuli dan Tamu Tuaran.

Post a Comment