Tuesday, March 17, 2009

Sepuluh risiko utama

Ada 10 faktor risiko utama sudah dikenal pasti yang boleh dibahagi kepada dua iaitu faktor boleh diubahsuai dan tidak boleh diubahsuai.
Faktor yang tidak boleh diubahsuai ialah:

1. Umur

Satu kajian di Amerika Syarikat mendapati 83 peratus daripada kematian akibat penyakit jantung membabitkan pesakit berumur 65 tahun ke atas.

Apabila usia meningkat, jantung mula tidak berfungsi dengan sempurna. Pembuluh darah menjadi semakin keras dan kurang kenyal menyebabkan jantung terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk mengepam darah ke otot jantung. Apabila usia meningkat juga, seseorang itu lebih kerap menghidap penyakit lain yang berkaitan seperti diabetes dan hipertensi (tekanan darah tinggi), setiap satunya boleh meninggikan risiko mendapat penyakit jantung.

Secara umumnya, risiko seseorang itu meningkat apabila usianya mencecah 45 tahun bagi lelaki dan 55 tahun untuk wanita. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, penyakit jantung koronari ini sudah mula tidak mengenal usia. Semakin ramai pesakit mendapat serangan jantung dalam lingkungan umur 30-an. Faktor risiko seperti kolesterol tinggi dan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, pemakanan yang tinggi kandungan lemak dan kurang bersenam adalah antara punca utama kemunculan penyakit jantung koronari pada usia lebih muda.

2. Keturunan

Faktor genetik atau keturunan memainkan peranan penting dalam berlakunya sesuatu penyakit. Seseorang yang mempunyai sejarah keluarga berpenyakit jantung koronari lebih cenderung mendapat penyakit yang sama dan kerap terjadi pada umur yang lebih muda.

Seseorang itu dikatakan mempunyai sejarah keluarga jika:

* Mempunyai bapa atau adik-beradik lelaki yang berpenyakit jantung koronari sebelum 55 tahun
* Mempunyai ibu atau adik-beradik perempuan yang berpenyakit jantung koronari sebelum 65 tahun

3. Jantina

Anggapan bahawa penyakit jantung koronari dimonopoli lelaki adalah salah kerana wanita juga mengalami nasib yang sama. Tahukah anda bahawa dalam jangka hayat seseorang wanita, kira-kira satu daripada dua wanita akan mengalami penyakit kardiovaskular berbanding satu daripada 19 wanita mendapat barah payudara?

Bagaimanapun lelaki mempunyai risiko lebih tinggi berbanding wanita untuk mendapat penyakit jantung lebih awal; secara puratanya antara 10 hingga 15 tahun. Faktor utama kejadian ini adalah hormon tertentu yang terdapat pada wanita seperti estrogen yang melindungi mereka daripada penyakit jantung koronari. Selepas menopaus, kadar kejadian penyakit jantung koronari bagi wanita hampir sama dengan lelaki.

4. Bangsa

Kaum India mempunyai lebih risiko mendapat penyakit jantung koronari berbanding Melayu dan Cina. Ia mungkin disebabkan faktor pemakanan dan penyakit kencing manis yang lebih lazim di kalangan kaum India. Namun, pakar perubatan mendapati faktor genetik juga memainkan peranan penting untuk penyakit ini.

Faktor bangsa atau kumpulan etnik juga diperhatikan di negara lain seperti Amerika Syarikat di mana penduduk keturunan Mexico, Hawaii dan berkulit hitam Afrika mempunyai risiko lebih tinggi berbanding penduduk kulit putih.

Faktor yang boleh diubahsuai ialah:

5. Merokok

Merokok meningkatkan risiko penyakit jantung sebanyak dua hingga empat kali ganda. Perokok juga berisiko untuk mengalami kematian mengejut. Selain penyakit jantung, merokok boleh membawa strok, bronkitis, barah paru-paru dan pelbagai barah lain.

Manakala perokok pasif (individu tidak merokok tetapi menyedut asap di sekeliling mereka) juga mempunyai risiko yang tinggi berbanding orang yang tidak merokok dan bebas daripada asap rokok.

Sebatang rokok mengandungi lebih 4,000 bahan kimia dan kebanyakannya adalah bahan racun seperti sianida, tar dan karbon monoksida. Bahan racun inilah yang merosakkan dinding pembuluh darah; menyebabkan penyempitan pembuluh darah melalui proses inflamasi (keradangan) dan aterosklerosis. Ia juga boleh meninggikan kandungan fibrinogen di dalam darah yang menyebabkan darah senang membeku dan mengakibatkan serangan jantung.

Kajian menunjukkan merokok boleh mempercepatkan degupan jantung dan menjadikannya tidak seragam. Ia boleh mengecutkan pembuluh darah utama dan meninggikan tekanan darah - yang memaksa jantung bekerja lebih kuat. Walaupun diberi amaran keras tetapi bilangan perokok di Malaysia terus bertambah. Hampir RM10 juta dibelanjakan setiap hari untuk rokok. Pada 2007 saja dianggarkan seramai 480,000 atau lapan peratus daripada enam juta perokok di Malaysia adalah wanita termasuk remaja perempuan.

6. Diabetes

Kencing manis atau diabetes terjadi apabila metabolisme badan gagal berfungsi dengan baik. Kadar glukosa darah yang tinggi menyebabkan kerosakan pada urat saraf dan salur darah. Dianggarkan 15 hingga 20 peratus rakyat Malaysia menghidap diabetes, dan empat daripada lima pesakit diabetes mati akibat penyakit jantung.

Pesakit diabetes mempunyai risiko mendapat penyakit jantung koronari dua kali ganda dan pada usia yang lebih muda berbanding individu sihat. Diabetes juga boleh menyebabkan kerosakan organ lain seperti buah pinggang, otak, urat saraf, mata dan saluran darah pada kaki.

7. Hipertensi

Apabila doktor mengambil tekanan darah anda, dia memeriksa tekanan darah pada dinding pembuluh darah atau arteri. Sekiranya tekanan darah tinggi, bermakna jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengatasi rintangan akibat tekanan yang tinggi itu. Tekanan darah yang tinggi juga boleh merosakkan dinding arteri menyebabkan berlakunya inflamasi dan proses aterosklerosis. Ini mengakibatkan terjadinya plak ateroma yang menyempitkan ruang dalam arteri lalu mengganggu perjalanan darah.

Tekanan darah melebihi 140/90 mmHg dianggap tinggi. Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan, lebih kurang 30 peratus orang dewasa berumur 30 tahun ke atas mengalami tekanan darah tinggi atau hipertensi. Ini sangat membimbangkan kerana hipertensi bukan saja boleh menyebabkan penyakit jantung, malah ia menjadi punca penyakit angin ahmar (strok) dan kerosakan buah pinggang.

8. Kandungan lemak darah tidak normal

Lemak darah terdiri daripada dua bahan utama iaitu kolesterol dan trigliserida. Kolesterol pula terbahagi kepada dua jenis iaitu kolesterol-LDL yang `tidak baik' dan kolesterol-HDL yang `baik'.

Kolesterol-LDL dan trigliserida berlebihan akan terkumpul di dinding salur darah menyebabkan penyempitan salur darah berkenaan.

Kolesterol-HDL pula mengambil ledakan lemak di dinding jantung dan mengembalikannya ke hati untuk disingkirkan daripada badan. Masalah berlaku apabila tahap Kolesterol-LDL dan trigliserida tinggi dan tahap kolesterol-HDL rendah.

Untuk menangani masalah ini, kita perlu memahami punca kolesterol dalam darah. Kolesterol terhasil daripada

No comments: