Saturday, March 28, 2009

Puncak Sang Kelembai


TERLETAK pada ketinggian 2,187 meter daripada aras laut menjadikan Gunung Tahan, Jerantut, Pahang sebagai gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Gunung Tahan yang diwartakan sebagai Taman Negara begitu terkenal bukan saja kepada kalangan pendaki tempatan, malah pendaki antarabangsa yang mahu menguji kehebatan mereka.

Berada di puncak Gunung Tahan memberi peluang kepada pendaki untuk melihat pemandangan gunung cukup menarik di tambah kehijauan hutan hujan tropikanya yang kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna yang tidak mungkin boleh dilihat dan dihayati di tempat lain.

Di puncak tertinggi Gunung Tahan terdapat kawasan perkhemahan yang mampu menempatkan 60 pendaki pada satu-satu masa, manakala kesan tapak kaki gergasi yang dikaitkan dengan cerita dongeng Sang Kelembai turut menjadi antara tarikan menarik kawasan berkenaan.

Tumbuhan tanah tinggi seperti bonsai, air terjun empat tingkat dan bangkai kapal terbang peninggalan Perang Dunia Kedua juga menjadi tarikan pengunjung ke puncak gunung berkenaan.

Keunikan lain yang terdapat di Gunung Tahan termasuk dikelilingi lima gunung lain iaitu Gedung, Resket, Tangga, Pangkin dan Rajah.

Gunung Tahan diuruskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang manakala pemandu pelancong disediakan bagi memastikan kejadian tersesat dalam hutan tidak berlaku.

Terdapat tiga laluan untuk tiba ke puncak Gunung Tahan sama ada melalui laluan Merapoh, Kuala Tahan atau Kuala Koh yang mengambil masa antara enam hingga tujuh hari.

Melalui laluan berkenaan, pendaki akan bertemu dengan beberapa kem yang dijadikan tempat persinggahan dan pelancong boleh bermalam sebelum mereka meneruskan perjalanan.

Di kem Kuala Teku dan Kuala Putih terdapat Sungai Teku dan Sungai Putih yang begitu jernih dan sejuk airnya sekali gus memberi peluang kepada pelancong untuk mandi-manda dan melabuhkan kail untuk menduga nasib.

Di kawasan tertentu di gunung berkenaan, pelancong turut berpeluang melihat haiwan liar seperti babi, gajah, rusa dan landak.

> Info

* Terdapat lima gunung lain bersebelahan Gunung Tahan iaitu Gedung, Resket, Tangga, Pangkin dan Rajah.

* Tiga laluan untuk tiba di puncak Gunung Tahan sama ada melalui trek Merapoh, Kuala Lipis; Kuala Tahan, Jerantut atau Kuala Koh.

* Gunung Tahan kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna serta air terjun empat tingkat.

> Jejak Zoom

* Untuk tiba ke puncak Gunung Tahan, pelancong boleh menaiki kenderaan atau perkhidmatan kereta api ke pekan Merapoh yang terletak antara Kuala Lipis dan Gua Musang, Kelantan.

Bagi aktiviti pendakian, pelancong perlu mendaftar terlebih dulu dengan Perhilitan yang kemudian akan memperkenalkan pemandu pelancong berdaftar yang akan membantu mereka sepanjang ekspedisi berkenaan.

No comments: