Monday, March 9, 2009

Nikmati kehangatan spa semula jadi


PUSAT rekreasi Air Panas Ulu Legong, kira-kira 22 kilometer dari bandar Baling, Kedah sentiasa menerima kunjungan orang ramai berikutan keistimewaan air panas semula jadinya.
Kawasan pelancongan yang dibuka sejak 1997 itu satu-satunya pusat rekreasi air panas yang beroperasi 24 jam di negara ini dengan pelbagai kemudahan termasuk tempat penginapan.
Majlis Daerah Baling (MDB) yang menguruskan kawasan itu menyediakan lima kolam air panas, iaitu kolam utama punca air asli, empat kolam mandian iaitu dua kolam dewasa, satu kolam kanak-kanak dan satu kolam mandi khas untuk wanita.
Bayaran masuk hanya RM3 untuk dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak serta kebiasaannya pengunjung lebih ramai pada waktu malam kerana suasana persekitaran yang nyaman tanpa bahang mata hari.
Ia bukan hanya menjadi tumpuan mereka yang menghidap masalah kulit atau penyakit sendi, malah kawasan rekreasi itu turut menjadi kawasan rehat bersama keluarga, malah pakej percutian berkumpulan juga disediakan.
MDB turut menyediakan enam chalet berhawa dingin, dua blok asrama mengandungi lapan bilik dilengkapi kemudahan Astro.
Difahamkan, lebih 30,000 orang mengunjungi kawasan rekreasi itu setiap bulan untuk mandi dan beriadah termasuk menjalankan aktiviti seminar dan merentas hutan bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak.
Pengurusnya, Arif Shaari, berkata MDB menyediakan kemudahan terbaik untuk pengunjung supaya mereka yang pertama kali tidak melupakan keseronokan berendam dalam air panas semula jadi itu.
Beliau berkata, semua kemudahan untuk keselesaan pengunjung selain meningkatkan industri pelancongan tempatan yang disokong Kementerian Pelancongan.
"Kita juga menyediakan bilik persalinan lelaki dan wanita, surau, medan selera, tempat meletak kereta untuk kemudahan pengunjung," katanya.
Katanya, peruntukan disediakan kerajaan untuk membangunkan kawasan itu sudah tentu akan menarik minat pelancong selain dapat meningkatkan pendapatan ekonomi penduduk tempatan.
Pengunjung juga tidak perlu takut untuk bersantai di kawasan itu kerana ia dikelilingi kawasan penempatan penduduk selain kawalan keselamatan 24 jam.
Bagi yang ingin berkhemah, 18 tapak khemah disediakan dan anda boleh meredah hutan melalui denai selain menikmati kesejukan air Lata Gading dan Lata Perit yang dikelilingi kehijauan alam semula jadi Hutan Simpan Ulu Muda.

CARA KE SANA
* Perjalanan dari pekan Baling menuju ke Siong sejauh 22 kilometer mengambil masa kira-kira 30 minit. Sebaik tiba di Siong, anda akan memasuki Kampung Lalang sebelum melihat papan tanda menuju ke pusat rekreasi Ulu Legong.
* Perjalanan dari Sungai Petani pula mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit.

No comments: