Monday, February 2, 2009

Kota salji Salzburg

JIKA anda mengagumi Mozart bermaksud anda mengagumi bandar kelahirannya, Salzburg, Austria. Bandar yang menjadi lambang keagungan masa silam Eropah itu tersenarai sebagai tapak warisan budaya dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada 1997.

Sebab itu kesan tinggalan sejarah seni Eropah sangat jelas di Salzburg. Wajah moden kota di barat Austria itu didominasi oleh binaan bandar lama yang dibangunkan pada abad ke-17 dan 18. Malah, binaan gaya awal baroque seperti Salzburg Cathedral dan St Peter Abbey menjadi sebahagian landskap bandar itu.

Salzburg bukan satu-satunya kota di Austria yang dibina hasil rentetan peradaban Eropah yang panjang kerana hampir seluruh bandar di negara itu termasuk Vienna, Graz, Eisenstadt dan Innsbruck adalah hasil pertembungan sejarah seni bina Eropah dan seni bina gaya moden.

Mungkin sebelum ini kebanyakan kita lebih mengenali Austria kerana Vienna. Sebagai ibu negara, sejarahnya juga bermula sejak zaman Rom. Justeru, kini ia dicirikan dengan binaan gaya baroque yang kebanyakannya dibina pada zaman pemerintahan Maharani Maria Theresia dan Maharaja Franz Joseph.

Namun, Salzburg yang dikenali sebagai `Rom Utara' dianggap istimewa kerana diiktiraf sebagai tapak tinggalan kubu zaman pertengahan yang paling terpelihara di Eropah Tengah. Anda boleh meluangkan masa melawatnya jika anda melancong ke Salzburg.

Keindahan Salzburg tidak hanya tertumpu pada tinggalan seni bina dan sejarahnya tetapi juga landskap dan bentuk muka buminya. Keindahannya sudah lama dikagumi dan terakam dalam filem The Sound Of Music.

Andai berkunjung pada musim sejuk, bermain ski dan meneroka Banjaran Alps adalah satu kemestian. Ada banyak pusat ski di seluruh Salzburg dengan 356 jalan luncuran yang meliputi 860 kilometer (km) di seluruh Salzburg. Untuk singgah di semua tempat menarik di bandar itu memang mustahil, justeru pilihlah yang terbaik mengikut keupayaan fizikal dan belanja yang anda mampu.

Andai ingin berbelanja, anda perlu bijak mengatur jadual. Pada musim dingin, hari siangnya agak pendek. Justeru, operasi kebanyakan premis perniagaan juga singkat.

Secara umum, Salzburg hanya dihuni kira-kira 145,000 penduduk, iaitu sebahagian daripada keseluruhan penduduk Austria berjumlah lapan juta orang. Namun, begitu ramai negarawannya dikenali di seluruh dunia. Contohnya, Mozart, Ludwig van Beethoven dan pelukis Gustav Klimnt.

Mungkin kerana sejarah silamnya atau lokasinya berdekatan Jerman, hampir 98 peratus warganya bertutur dalam bahasa Jerman.

Satu lagi yang menarik jika anda mengunjungi Salzburg atau Austria pada musim dingin ialah tradisi majlis tari menari (Austria ball season). Ia bermula dari 11 November hingga penghujung musim dingin yang biasanya sehingga awal Februari.

Ketika diperkenalkan pada 1935 majlis tari menari diadakan bertujuan mengutip derma membeli baju panas dan bahan bakar bagi penduduk miskin. Namun, hari ini ia menjadi acara tahunan menjelang musim sejuk di seluruh Austria.

INFO

Salzburg

- Bandar di barat Austria yang diiktiraf sebagai tapak warisan kebudayaan dunia oleh Unesco pada 1997.

- Bandar bersempadan dengan Jerman dan Itali dan dihuni kira-kira 145,000 penduduk dengan kebanyakan mereka bertutur dalam bahasa Jerman.

- Direntasi sebatang sungai dikenali sebagai Sungai Salzach.

- Di kiri Sungai Salzach terletak bandar Salzburg lama. Bandar lama ini berada di dalam Kubu Monchsberg dan Honhensalzburg.

- Bandar baru Salzburg pula berada di kanan Sungai Salzach.

Bagaimana ke sana?

* Anda boleh menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) terus ke Frankfurt sebelum menyambung penerbangan dari Frankfurt ke Salzburg.

* Jika anda ingin perjalanan lebih mencabar, anda boleh menaiki penerbangan Thai Airways ke Bangkok sebelum menyambung perjalanan dengan Lufthansa ke Munich. Kemudian dapatkan khidmat kereta api dari Munich ke Freilassing (stesen kereta api Jerman terakhir yang terletak di sempadan Austria). Kedudukan Salzburg dari stesen itu hanya kira-kira tujuh kilometer. Anda boleh menyeberang sempadan Austria-Jerman dengan menaiki kereta api yang mengenakan tambang bernilai 2 euro (RM9.50).

* Jika kembara dengan kumpulan seramai lima orang, anda boleh membeli tiket dengan harga lebih murah, sekitar 28 euro (RM133). Tiket ini juga boleh digunakan apabila anda menaiki kereta api dalam wilayah lain di Austria.

No comments: