Friday, January 16, 2009

Tarikan ikan bakar Umbai

SEBUT saja Umbai, pasti ramai yang terbayang keenakan ikan bakar yang sememangnya menjadi lokasi makanan laut yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara untuk menjamu selera.

Terletak 15 kilometer dari bandar raya Melaka , Umbai menjadi lokasi pilihan untuk menjamu selera pada waktu malam, terutama bagi penggemar makanan laut.

Kunjungan ke negeri Hang Tuah ini seakan-akan tidak lengkap jika tidak mengunjungi gerai ikan bakar.

Jadi tidak hairan mana-mana individu yang datang ke negeri ini sama ada bercuti, berseminar atau atas tugas rasmi sekalipun, pasti meluangkan satu malam untuk ke gerai ikan bakar sebagai syarat lengkap sudah datang ke negeri ini.

Ada enam pusat makanan laut atau gerai tumpuan sama ada dimiliki kerajaan negeri atau individu yang menyajikan makanan laut segar pada setiap hari.

Antara lokasi gerai ikan bakar yang terkenal di kawasan itu ialah Perkampungan Ikan Bakar Terapung (PIBT), Umbai Baru, Medan Ikan Bakar Umbai-Pernu, Medan Ikan Bakar Anjung Batu dan Medan Ikan Bakar Serkam.

Medan Ikan Bakar Serkam mula diwujudkan sejak 1950-an hingga ke PIBT - siap dibina pada 2004, pengunjung kini mampu menikmati makanan laut yang segar dengan harga berpatutan.

PIBT antara lokasi gerai ikan bakar yang paling popular kerana hampir 30 gerai ikan bakar disediakan di kawasan itu.

Boleh dikatakan hampir setiap petang akan kelihatan deretan kereta memasuki kawasan gerai ikan bakar ini untuk menjamu selera, terutama di kalangan warga Singapura.

Kebanyakan gerai mula beroperasi jam 6 petang hingga awal pagi bergantung kepada jumlah kedatangan pelanggan.

Pada masa sama, kawasan persekitaran yang bersih di samping wujud gerai menjual cenderamata dan kawasan letak kereta yang luas menjadikan ia kawasan yang sesuai untuk menjamu selera bersama keluarga.

Kawasan Umbai juga direzabkan sebagai lokasi gerai ikan bakar popular di negara ini setaraf dengan gerai ikan bakar di Tanjung Harapan, Klang atau Pulau Ketam.

Sekalipun ada kawasan gerai ikan bakar yang lain seperti Muara Sungai Duyung, Alai, Telok Mas dan Padang Kemunting, tetapi kawasan Umbai yang paling dikunjungi dan terkenal.

Semua kawasan gerai itu mudah untuk dikunjungi kerana terletak di tepi jalan utama Melaka -Muar dan pada masa sama, wujud papan tanda arah sesebuah gerai ikan bakar itu bagi memudahkan kedatangan pengunjung.

Kebanyakan bekalan ikan segar atau hidupan laut lain yang dihidangkan diperoleh daripada nelayan tradisional di sekitar kawasan itu.

Malah, ada juga pengusaha gerai ikan bakar itu yang `turun' ke laut untuk menangkap ikan kerana kebanyakan pemilik gerai adalah nelayan sebelum mereka menukar kerjaya dengan menggusahakan gerai ikan bakar selepas menyedari potensi perniagaan itu.

Apa yang istimewa, ikan bakar atau makanan laut yang dihidangkan boleh diratah begitu saja atau dimakan bersama nasi lemak. Juadah ini dikatakan hanya ada di Melaka .

Namun bagi yang ada penyakit gout atau resdung, sentiasalah membawa ubat jika ingin juga menikmati makanan laut itu.

Rugi rasanya jika anda datang ke gerai ikan bakar tetapi hanya melihat tanpa menikmatinya.

Sebut saja apa jenis makanan laut yang hendak dimakan mengikut selera masing-masing, semuanya tersedia dan dipastikan segar.

Sotong, ketam, jenahak, kembung, cencaru, kupang, kerang, udang, siakap, sepahat dan kerapu sedia menanti.

Pesan apa saja jenis masakan yang dihajati, pasti hidangan yang disediakan memenuhi cita rasa pelanggan.

Bayangkan ikan yang sudah dibakar itu kemudian dicicah pula dengan air asam, sudah pasti keenakan makanan itu akan dikenang dan menjadi tarikan untuk datang lagi menjamu selera di kawasan itu.

Biasanya, hidangan yang paling popular ialah hidupan laut yang dibakar atau digoreng tepung, dibakar dengan sambal dan direbus. Ada juga yang menyediakan ikan masak stim atau tiga rasa.

Kebanyakan kawasan gerai itu pula terletak di tepi pantai, paya bakau atau pengkalan nelayan.

Ini secara tidak langsung dapat menjadi tarikan kepada pengunjung untuk menikmati pemandangan pada waktu malam sambil menunggu hidangan yang ditempah tiba di meja.

Sekalipun memiliki banyak gerai, pengunjung dinasihatkan membuat tempahan awal bagi mengelak kempunan kerana ketika musim cuti persekolahan, kebanyakan gerai yang ada akan dipenuhi pengunjung.

Malah, boleh dikatakan pada musim cuti persekolahan ini, pemilik gerai ikan bakar di sini, bagaikan tidak cukup tangan melayan kedatangan orang ramai.

Selain itu, dari segi harga pula, ia sentiasa dipantau agensi kerajaan negeri bagi memastikan harga ikan segar yang dijual sebelum dimasak adalah berpatutan dan munasabah.

Ini bagi mengelak ada peniaga yang sengaja mengambil kesempatan mengenakan harga tinggi ketika orang ramai datang menjamu di gerai mereka.

Bagi pengunjung pula, mereka perlu memilih gerai yang bersih dan menawarkan harga berpatutan sebelum bercadang singgah menjamu selera di sesuatu gerai ikan bakar itu.

No comments: