Friday, January 16, 2009

Cuti-cuti Kuala Lumpur

MENARA KUALA LUMPUR


TERLETAK pada ketinggian 94 meter dari aras laut, di puncak Bukit Nanas, lokasi tapaknya adalah lebih tinggi daripada Menara Berkembar Kuala Lumpur.
Ia dibina sebagai menara komunikasi bagi meningkatkan kualiti komunikasi dan transmisi penyiaran negara, sekali gus menjadi simbol kecemerlangan dan penanda aras dalam arena telekomunikasi negara.


Menara dengan ketinggian 421 meter ini dibina dengan 45,000 meter kubik konkrit. Ia direka bentuk tulang rusuk menganjur ke bahagian luar dengan berat melebihi 100,000 tan.
Diiktiraf sebagai menara tertinggi di rantau Asia Tenggara dan siap sepenuhnya pada Mei 1996 selepas empat tahun pembinaan, menara ini mampu menahan tekanan angin luar biasa sehingga 90 batu sejam.


Pelbagai aktiviti boleh dilakukan pengunjung seperti bersantai sambil menikmati pemandangan ibu kota atau menikmati makan malam di Restoran Berputar Sri Angkasa pada ketinggian 288 meter dari aras laut.


Teleskop disediakan bagi memudahkan pengunjung melihat pemandangan ibu kota. Jika cuaca baik, anda dapat melihat pemandangan matahari terbenam. Lebih menarik, pengunjung juga boleh melihat kawasan mana bakal ditimpa hujan berdasarkan keadaan awan di sesuatu tempat.
Setiap tahun, ia menjadi lokasi acara terjun bebas, Kuala Lumpur Tower International Jump yang menarik peminat sukan itu dari serata dunia.


Peminat sukan ekstrem boleh mencuba Flying Fox dengan bayaran berpatutan di sini.
Bagaimana Ke Sana?


Berhenti di Stesen Monorel Bukit Nanas atau Stesen Putra-LRT Dang Wangi dan berjalan kaki ke arah Hotel Shangri La. Menara terletak kira-kira 200 meter dari hotel itu. Van perantara disediakan di kaki bukit.


Waktu Operasi
Isnin hingga Ahad: 9 pagi - 10 malam
Bayaran ke dek pemandangan:
RM10 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak).


MENARA BERKEMBAR PETRONAS


MENARA Berkembar Petronas iaitu bangunan yang mempunyai 88 tingkat atau juga dikenali sebagai KLCC adalah bangunan berkembar yang tertinggi di dunia.
Ia terletak di tengah pusat bandar raya dan bangunannya merangkumi kompleks pejabat, dewan konvensyen, sebuah taman yang luas dan kompleks beli-belah.


Seni bina menara berkembar ini direka oleh arkitek Amerika yang berasal dari Argentina iaitu Cesar Pelli yang mendapat ilham rekaan daripada corak geometrik yang sering digunakan di dalam seni bina Islam.


Terdapat beberapa tempat menarik di kawasan KLCC yang sering menjadi tumpuan pelancong antaranya Taman KLCC iaitu sebuah taman yang luas dengan landskap direka indah, kompleks beli-belah Suria KLCC, Dewan Filharmonik Petronas, Pusat Sains Petronas, Galeri Seni Petronas, Aquaria Oceanarium dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.


Jika berkunjung ke Menara Petronas, jangan ketinggalan melawat jambatan udara (skybridge) yang dibuka kepada pelawat mulai jam 8.30 pagi hingga 5 petang setiap Selasa hingga Ahad (ditutup pada Isnin).


Bagaimana Ke Sana?


Menara Berkembar Petronas terletak di antara Jalan Ampang dan Jalan Raja Chulan. Hotel Mandarin Oriental dan The Ascott juga terletak berhampiran dengan menara ini. Stesen KLCC dihubungkan oleh Putra LRT.


Maklumat lanjut

Layari laman web: http://www.suriaklcc.com.my/


PASAR SENI


BANGUNAN ini menonjolkan warisan seni bina Kuala Lumpur yang menarik ini dan berfungsi sebagai sebuah bazar berhawa dingin yang menjual hasil seni dan kraf tangan.


Di tingkat atas dan bahagian luar bazar ini dikhaskan untuk restoran dan pub yang dilengkapi dengan suasana yang menarik, manakala di bangunan tambahan di belakang Pasar Seni terdapat kedai makan dan dua buah kelab hiburan.


Terdapat sebuah panggung terbuka di tepi sungai berhampiran Pasar Seni yang menyediakan pelbagai pengalaman berkaitan dengan kebudayaan menanti anda.


Nikmati pelbagai persembahan dan demonstrasi atau anda sendiri boleh cuba melukis batik dengan cara tradisional.


Pasar Seni menghimpunkan pelukis tempatan berbakat dan menjalankan aktiviti melukis serta menjual hasil lukisan kepada orang ramai.


Pelbagai jenis hasil seni dan kraf tangan tradisional dari Malaysia dan negara serantau boleh didapati di sini.


Pasar Seni terletak di pinggir Chinatown dan jika anda melawat Chinatown, anda disyorkan mengakhiri lawatan anda di Pasar Seni, di mana anda boleh menikmati minuman menyegarkan dalam suasana berhawa dingin yang nyaman.


Bagaimana Ke Sana?


Terdapat perhentian bas di depan Pasar Seni atau anda boleh mengunjungi dengan menaiki Putra LRT yang terletak bertentangan dengan Pasar Seni.


TUGU PERINGATAN


DI perkarangan Tugu Negara tersergam sebuah arca tugu peringatan gangsa terbesar di dunia. Arca ini dicipta pada 1966 oleh Felix de Weldon iaitu seorang pereka terkenal yang juga pencipta tugu peringatan Iwo Jima di Washington DC.


Tujuh orang askar yang membentuk tugu peringatan ini melambangkan ketaatan, pengorbanan dan kerjasama penduduk Malaysia.


Tugu ini didirikan bagi memperingati jasa mereka yang terbabit dan terkorban di dalam Perang Dunia Kedua dan sewaktu Darudat di Malaya.


Tugu ini terletak di lokasi yang tenteram, di kelilingi dengan kolam air pancut yang dihiasi arca bunga teratai yang diperbuat daripada pewter.


Bersebelahan Tugu Negara terletak Taman Asean dan Memorial Tun Razak di mana tersimpannya barang-barang peninggalan Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.


Bagaimana Ke Sana?


Tugu Negara terletak bersebelahan Taman Tasik Perdana di Jalan Parlimen, boleh dilawati menaiki teksi.
MUZIUM NEGARA


SEGALA maklumat berkaitan budaya dan warisan negara terdapat di Muzium Negara.
Muzium Negara yang sekarang ini, sebenarnya adalah tapak Muzium Selangor yang dibina pada 1898. Bagaimanapun selepas kemerdekaan negara daripada Britain pada 31 Ogos, 1957, Kerajaan persekutuan membina muzium baru di tapak itu.


Di kawasan muzium, terdapat beberapa harta negara seperti istana Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu yang dibina pada 1884. Istana Satu itu dibina sepenuhnya daripada kayu cengal dan dibina semula di kawasan muzium pada 1974.


Tarikan lain di kawasan muzium termasuk, patung Sir Francis Light yang membuka Pulau Pinang selain kereta kabel pertama dari Bukit Bendera di Pulau Pinang.


Bagaimana Ke Sana?


Lokasinya di Jalan Damansara, Muzium Negara menjadikan ia tempat yang dikenali. Anda boleh ke sini menggunakan bas atau teksi. Ia juga berdekatan KL Sentral.


Maklumat lanjut


Muzium Negara Malaysia,
Jalan Damansara, 50566,
Kuala Lumpur.
Tel: 60322826255 Fax:60322826434
Laman web: http://www.museum.gov.my/


Waktu operasi: 9 pagi - 6 petang

Dibuka setiap hari kecuali pada Aidilfitri dan Aidiladha.


ZOO NEGARA


PEMINAT binatang boleh berkunjung ke Zoo Negara kerana di sini terdapat lebih 5,137 haiwan membabitkan 459 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan.


Pada sebelah malam di hujung minggu, pengunjung dapat melihat pelbagai jenis haiwan yang hanya aktif pada sebelah malam.


Zoo negara dibuka secara rasminya oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman pada 14 November, 1963 dengan kadar bayaran ketika itu adalah 50 sen untuk orang dewasa dan 20 sen untuk kanak-kanak.


Antara tarikan yang terdapat di zoo negara termasuk Akuarium Negara yang dibuka pada 1972 dan 1984 ia diberi nama sebagai Akuarium Tunku Abdul Rahman. Selain itu terdapat rumah burung, rumah reptilia, pusat monyet, laluan Savannah serta banyak lagi.


Zoo Negara merangkumi kawasan seluas 110 ekar yang terletak hanya 5 km dari Kuala Lumpur. Jangan lupa untuk bersiar-siar di sekitar zoo, atau anda boleh juga menaiki tren dan menyaksikan pelbagai aksi haiwan di sini!


Bagaimana Ke Sana?


Jika mengambil LRT Putra turun di stesen Wangsa Maju dan seterusnya menaiki teksi untuk ke Zoo Negara, manakala bas Metrobus bernombor 16 dari Pasar Seni, Kuala Lumpur akan berhenti di stesen bas hadapan zoo.


Waktu operasi: 9 pagi - 5 petang (hari biasa), 9 pagi - 10.30 malam (hujung minggu dan cuti umum). (Tertakluk kepada pertukaran).


Maklumat lanjut
Zoo Negara Malaysia
Hulu Kelang, 68000 Ampang,
Selangor Darul Ehsan. Malaysia.
Tel: 603-41083422/7/8 Fax: 603-41075375/2070
Laman web: http://www.zoonegara.org.my/


DATARAN MERDEKA


Dataran Merdeka yang dinamakan sempena memperingati hari kemerdekaan Malaysia adalah destinasi paling sesuai untuk menyingkap sejarah bandar raya Kuala Lumpur.
Di sinilah tempatnya di mana bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 menandakan tamatnya zaman penjajahan Inggeris.


Pada detik itu, Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman memimpin ribuan warga negara dengan laungan keramat: "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" sebagai Perisytiharaan kemerdekaan Malaysia.


Kini, tiang bendera setinggi 100 meter mengibarkan bendera Malaysia bagi memperingati hari yang bersejarah itu.


Padang di Dataran Merdeka memainkan peranan penting sebagai tapak perarakan polis dan lokasi bagi pelbagai acara dan aktiviti sukan seperti kriket pada suatu masa dulu. Landskap dataran yang direka indah itu juga memberikan pemandangan kaki langit ibu kota yang menawan.


Bangunan Kelab Selangor yang terletak di tepi padang Dataran Merdeka mempunyai seni bina ala-Tudor dibina pada 1890 dan pernah menjadi tempat tumpuan warga elit di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.


Di seberang padang Dataran Merdeka pula terletak bangunan Sultan Abdul Samad. Bangunan yang mempunyai ciriciri seni bina Islam itu disempurnakan pada 1897 dan pernah digunakan sebagai pejabat beberapa jabatan pentadbiran yang penting sewaktu zaman penjajahan Inggeris.
Bagaimana Ke Sana?


Dataran Merdeka terletak hanya 5 minit dari Pasar Seni. Sekiranya anda menaiki Putra LRT, turun di stesen Pasar Seni, keluar di sebelah belakang bangunan ini, belok ke kanan dan gunakan jambatan untuk menyeberangi sungai. Dataran Merdeka terletak di hadapan Jalan Raja.


AQUARIA KLCC


SAKSIKANLAH pelbagai spesies hidupan aneh dan pelik di Pusat Pameran Aquaria.
Selain mempamerkan pelbagai jenis hidupan akuatik, Aquaria turut mempertontonkan hidupan reptilia, amfibia dan serangga yang hidup di daratan serta sudah jarang ditemui termasuk di seluruh dunia.


Konsep yang diperkenalkan Aquaria adalah `hidupan akuatik dari pergunungan hinggalah ke lautan dalam' dan kompleks ini direka untuk lawatan pengunjung berdasarkan konsep berkenaan.


Berkunjung ke Aquaria KLCC pengunjung akan didedahkan dengan pelbagai pengetahuan baru dan menarik antaranya kewujudan ikan jerung serta tapak Sulaiman yang mendiami kawasan air tawar. Pengunjung turut berpeluang meneliti telur serta ikan jerung yang baru menetas.


Pusat itu mengandungi lebih 150 spesies hidupan atau 5,000 haiwan dari kawasan pergunungan hingga ke lautan dengan kedalaman kira-kira 3,000 meter yang diperoleh dari kawasan perairan dan daratan Afrika Selatan, Sri Lanka, Indonesia, Taiwan, Brazil selain Malaysia.


Bagaimana Ke Sana?


Terletak bersebelahan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) boleh dihubungi dengan LRT Putra stesen KLCC .
Waktu Operasi: 10 pagi - 10 malam
Kadar bayaran:
Dewasa - RM38 (Pemilik MyKad - RM28)
Kanak-kanak - RM26 (tiga tahun - 12 tahun) (Pemilik MyKid - RM22)
Kanak-kanak dua tahun ke bawah - Percuma
Maklumat lanjut
Tel: 03-23331888 Faks: 03-23800069
Laman web: www.klaquaria.com

No comments: