Thursday, January 22, 2009

Pengguna kad kredit mesti bijak

KURANGNYA pengetahuan mengenai penggunaan kad kredit yang betul menyebabkan ramai individu berdepan masalah kewangan sehingga ada dikenakan tindakan undang-undang dan diisytiharkan muflis.

Sebenarnya kad kredit adalah kaedah pembayaran yang menyenangkan pengguna, tetapi apabila seseorang tidak membuat pembayaran mengikut jumlah sepatutnya, mereka akan terperangkap dengan masalah hutang yang tidak berkesudahan.

Pada amalannya had kredit yang diberikan oleh pengeluar kad kredit kepada seseorang pelanggan adalah sehingga dua atau tiga kali ganda gaji bulanan beliau.

Ia bermakna jika anda menggunakan kad kredit sehingga had kredit itu, bermakna anda telah berbelanja sekurang-kurangnya dua atau tiga kali lebih tinggi daripada gaji bulanan anda.

Selain itu, pengguna perlu menyedari bahawa antara penyebab utama masalah hutang kad kredit adalah apabila seseorang itu hanya membayar jumlah minimum yang tertera pada penyata bulanan kad kredit mereka.

Akibat buruk daripada amalan itu adalah ia boleh menyebabkan anda terpaksa membayar caj kadar faedah dan ia akan mengambil masa lama untuk menghabiskan bayaran baki tertunggak.

Kebanyakan pengeluar kad kredit atau bank mengenakan caj kewangan sebanyak 1.5 peratus sebulan, iaitu caj dikenakan pada asas harian dan caj terkumpul setiap bulan.

Kesan daripada itu juga, anda akan menanggung hutang yang besar dalam tempoh masa singkat.

Adalah penting untuk mengetahui bahawa lebih lama masa yang diambil untuk menyelesaikan hutang kad kredit apabila hanya membayar bayaran minimum lebih banyak hutang anda akan tanggung.

Dengan kadar faedah yang tinggi, kita akhirnya terpaksa membayar pada suatu jumlah yang tinggi kepada bank berbanding jumlah asal harga produk dan barangan dibeli menggunakan kad kredit itu.

Justeru, kita perlu beringat supaya sentiasa membayar penuh - ini akan mengelakkan daripada terperangkap dengan masalah kewangan.

Walaupun kad kredit boleh memberikan kesan negatif jika tidak digunakan secara bijak, penggunaannya sebenarnya juga mempunyai banyak manfaat.

Antaranya, ia adalah salah satu cara pembayaran yang menyenangkan dan cekap.

Ia juga mempunyai penyata perbelanjaan yang membolehkan anda memantau corak perbelanjaan dan membuat bajet bulanan.

Selain itu, pengeluar kad kredit turut memperkenalkan beberapa skim menarik seperti skim pembayaran pendahuluan tanpa faedah atau skim pembayaran fleksibel yang membolehkan pengguna memaksimumkan pembelian.

Pengguna juga boleh mendapat mata ganjaran apabila menggunakan kad kredit yang tidak diberikan jika membeli secara tunai.

Namun, jika anda berasa ragu mengenai penggunaan kad kredit dan bimbang sikap tidak berdisiplin boleh menyebabkan anda terperangkap dengan hutang, anda boleh menggunakan kad debit.

Ia sama seperti kad ATM dan boleh digunakan untuk membuat pembayaran sama seperti kad kredit.

Jumlah yang dibelanjakan menggunakan kad debit akan ditolak daripada baki akaun anda.

Dengan menggunakan kad ini anda tidak perlu lagi membayar wang tunai yang banyak setiap kali keluar membeli-belah.

Paling mustahak ia dapat mengelak daripada dikenakan caj faedah yang tinggi seperti kad kredit.

INFO

Tips guna kad kredit

* Bayar jumlah perbelanjaan secara penuh apabila menerima penyata untuk mengelak daripada membayar faedah.

* Jangan menggunakan kad kredit jika anda tidak boleh membuat bayaran bulanan.

* Hadkan jumlah kad kredit yang anda miliki.

* Jangan menggunakan kad kredit untuk mengeluarkan wang tunai pendahuluan daripada ATM. Setiap kali anda menggunakan kad kredit untuk mengeluarkan wang, anda meningkatkan komitmen hutang.

* Bayar sebelum tarikh akhir untuk mengelak pembayaran caj lewat bayar.

* Sedar mengenai akibat buruk daripada hanya membayar pada jumlah minimum setiap bulan.

* Jika anda mempunyai masalah aliran tunai, bayar jumlah minimum semasa terlebih dulu tetapi selepas itu bayar jumlah penuh secepat mungkin.

* Sentiasa semak penyata bulanan bagi memastikan transaksi yang betul direkodkan. Hubungi bank jika tidak menerima penyata.

No comments: