Friday, January 23, 2009

Henan taman geologi dunia

CHINA? Lagi? Soal seorang teman sehari sebelum penulis bercuti.

Ya, apa salahnya jika ke sana lagi kerana tarikan destinasi kali ini tidak sama dengan dua tempat yang pernah dikunjungi.
Tepat jam 12 tengah malam, kami berlepas ke Wilayah Henan yang bukan saja terkenal dengan keindahan alam semula jadi, tetapi di sinilah bermulanya tamadun China kira-kira 3,600 tahun lalu.

Henan adalah wilayah paling padat di China dengan jumlah penduduk hampir 100 juta orang, bersempadan dengan Hebei (di Utara), Shandong (di Timur Laut), Anhui (di Tenggara), Hubei (di Selatan), Shaanxi (di Barat) dan Shanxi di Barat Laut.

Kata pemandu pelancong, Jack (hanya ini nama yang diingat), di wilayah yang turut dianugerahkan taman geologi dunia inilah dijadikan tapak pemerintahan dinasti China yang pertama, Dinasti Xia diikuti Dinasti Shang, Zhou, Qin, Han dan Jin (masing-masing ada dinasti lama dan baru).

Dalam cuaca sejuk (suhu antara 0 hingga 10 darjah Celsius), penerangan sejarah lima dinasti utama di Henan dan penubuhan 10 negeri beraja bagai masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Mata kami lebih asyik memerhatikan persekitaran bandar Zhengzhou yang menjadi pusat pentadbiran dan ekonomi di sini.

Henan terletak di lembah Sungai Kuning yang menjadi kota utama zaman silam. Perkataan `Henan' bermakna Utara Sungai Kuning. Tiga daripada tujuh bandar kuno China (Luoyang, Kaifeng dan Anyang) terletak di Henan. Di Muzium Henan ditempatkan 120,000 peninggalan sejarah, termasuk 40,000 yang sangat jarang ditemui.

Agenda pertama pada hari kedua ialah menyusuri Sungai Kuning (Yellow River) yang melaut luasnya menaiki hovercraft atau kapal terbang bot mengikut istilah penduduk tempatan. Sungai Kuning adalah kedua terpanjang di China selepas Sungai Yang Tze (4,640 kilometer), mengalir dari Barat ke Timur China dan merentasi sembilan wilayah.

Pelayaran kapal terbang bot ini mula diperkenalkan sejak 1980 dan menjadi antara agenda wajib pelancong untuk melihat keunikan sungai yang menjadi nadi penduduk Henan. Pengalaman pertama penulis bersama teman wartawan, Ahaddhaniah Chan dari Malaysian Women's Weekly merasai `penerbangan di atas air' memang seronok.

Malah, itulah kali pertama kami melihat rupa sebenar hovercraft yang mampu meluncur laju di atas darat dan air. Walaupun menempuh ombak dan merentasi daratan berbatu, perjalanan terasa `licin' dan selesa.

Rupa-rupanya hovercraft ini menggunakan dua kipas besar dan satu belon besar untuk menggerakkannya dan ia `terbang' 60 hingga 70 sentimeter di atas permukaan air.

Sungai Kuning tidak dalam dan di sesetengah bahagian dasar sungainya lebih tinggi sehingga membentuk pulau di tengah-tengah sungai. Dalam musim kemarau, air sungai sangat cetek, menyebabkan ada dasar sungai timbul sehingga 10 meter tinggi! Kami singgah di satu daripada pulaunya tetapi belum sempat turun dari hovercraft, sekumpulan penduduk tempatan yang membawa kuda mempelawa kami menunggang kuda untuk bergambar dan mengelilingi pulau kecil itu.

Jika datang dalam musim panas, bunga atau gugur, pelancong boleh mengambil gambar dengan berlatar belakangkan monumen wajah Maharaja Huang dan Yuen yang diukir di puncak bukit. Oleh kerana kami datang pada musim sejuk, pemandangan yang ada hanyalah kabus.

Selepas 45 minit menyusuri Sungai Kuning (yang memang kuning airnya kerana banyak lumpur), kami menuju ke Taman Geologi Nasional Gunung Yuntai. Perjalanan dari satu tempat ke tempat pelancongan yang lain agak jauh; mengambil masa antara satu hingga dua jam menaiki bas.

Sepanjang perjalanan, Ahaddhaniah teruja melihat basikal dan motosikal menggunakan kuasa bateri yang disifatkan mesra alam dan mengurangkan pencemaran.

Walaupun Henan mempunyai kepadatan paling tinggi, ia masih dikategorikan wilayah miskin kerana rata-rata penduduknya petani. Sepanjang jalan ditanam pokok poplar bagi menahan tiupan angin kuat daripada Sungai Kuning bagi melindungi rumah dan ladang.

Setiap inci tanah digunakan sebaik-baiknya. Di celah pokok poplar ditanam sayur-sayuran. Jika ada tanah lapang, mereka menanam gandum musim sejuk yang dikatakan lebih tinggi kualitinya berbanding gandum musim panas.

Hati kami melonjak gembira ketika tiba di Taman Geologi Nasional Gunung Yuntai. Bagaimanapun, bas pelancongan tidak dibenarkan masuk ke kawasan pergunungan, sebaliknya perlu menaiki bas tempatan yang khas beroperasi membawa pelancong.

Terpegun kami melihat deretan lebih 30 bas yang berehat pada musim sejuk kerana kurang pelancong. Tidak dapat dibayangkan betapa sibuknya kawasan ini pada musim lain yang menawarkan pemandangan lebih cantik.

Taman geologi ini sangat unik dan tersergam indah. Dalam tiupan angin kuat dan sejuk sehingga menumbangkan motosikal berkuasa tinggi, kami masih sempat bergaya di depan kamera. Dari sini, bermulalah pendakian yang membuatkan 26 anggota rombongan sakit kaki sepanjang malam! Mana tidaknya, kami perlu menuruni beratus anak tangga batu yang curam untuk sampai ke pusat tarikan iaitu air terjun dan Ngarai (Gaung) Batu Merah (Red Stone Canyon).

Sekejap-sekejap kami berhenti kerana sibuk merakam gambar sehingga terpisah daripada kumpulan. Bagaimanapun, tidak perlu bimbang kerana tidak kira ke mana arah dituju, pelancong tetap akan tiba ke Ngarai Batu Merah. Pemandangannya memang sangat cantik. Taman geologi seluas 556 kilometer persegi itu adalah hasil hakisan sungai, hujan dan tiupan angin. Malah, ia terbentuk daripada pergerakan neotektonik 23 juta tahun dulu!

Jack memberitahu, pada asalnya paras sungai yang mengalir di bawah gaung adalah setinggi laluan yang kami pijak. Oleh kerana gayat pada ketinggian, penulis tidak berani menjenguk melihat aliran sungai dari puncak gaung. Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk merakam kenangan apabila tiba di jambatan batu yang menghubungkan dua tebing gaung.

Dalam berhati-hati berjalan dan menikmati keindahan ciptaan Allah, terfikir juga bagaimana seksanya orang dulu membuat tangga dan laluan di kawasan itu. Seperkara yang menarik ialah, penduduk di sini sangat mementingkan kebersihan di kawasan tarikan pelancongan. Malah, di tempat terpencil seperti itu pun pihak berkuasa tempatan tetap menyediakan tong sampah kitar semula.

Air sungainya sangat jernih dan di sesetengah tempat kelihatan berwarna biru. Segala-galanya indah dan sukar diungkap dengan kata-kata. Berdiri di tengah-tengah gaung, terasa kebesaran Allah, tuhan pencipta alam. Tidak terkira banyaknya gambar yang dirakam kerana tidak tahu bila lagi berpeluang sampai ke tempat seindah itu.

Destinasi seterusnya (hari ketiga) ialah ke bandar kuno Kaifeng yang menjadi pusat pemerintahan beberapa dinasti dan menempatkan 800,000 penduduk. Antara tarikan di sini ialah Pagoda Besi, ladu sayur dan pasar malam yang menjual beraneka cenderahati. Malah di sinilah terletaknya pejabat Hakim Bao Zheng atau Hakim Bao yang sangat terkenal dalam sejarah kehakiman China dan menjadi kesayangan maharaja ketika Dinasti Qin.

Sempat juga kami mengambil gambarnya dan dia tidak mempunyai tanda bulan sabit di dahinya seperti sering digambarkan dalam drama period China. Menurut cerita, oleh kerana Hakim Bao rendah orangnya dan sering dilindungi hakim lain, perhiasan pada topinya dipanjangkan supaya orang memberi laluan ketika dia dipanggil mengadap maharaja.

Dan oleh kerana dia juga tidak pernah senyum, hakim lain menganggap mereka `malang' jika terkena perhiasan topi Hakim Bao.

Seperti diterangkan, untuk sampai ke satu-satu tempat bukan dekat. Jarak dari bandar Zhengzhou ke Kaifeng saja hampir 320 kilometer. Ini adalah jarak yang dikira agak dekat kerana Henan wilayah kecil.

Tidak dapat kami bayangkan berapa lamanya perjalanan jika melawat wilayah lebih besar kerana dari Zhengzhou ke Kaifeng mengambil masa tiga jam dan hampir senja baru kami tiba ke Pagoda Besi yang menjadi kubu tahanan daripada serangan askar Jepun.

Asalnya ia dibuat daripada kayu, tetapi dibina semula menggunakan besi pada 1840 dan kesan tiupan angin kuat dari Sungai Kuning membuatkan pagoda ini mulai condong. Kata seorang peserta rombongan, Malaysia pun ada Menara Condong di Teluk Intan, tetapi sayangnya kurang dipromosi sebagai tarikan pelancongan.

Di jalan sama juga terletak masjid. Malangnya niat untuk bersembahyang di masjid berkenaan tidak kesampaian kerana kesuntukan masa dan kami hanya diberi satu jam untuk melawat pasar malam bagi membeli cenderahati kenang-kenangan. Di sini juga ramai peniaga Islam menjual beraneka jenis hidangan tempatan, tetapi kami tidak berani mencuba.

Bimbang jika tidak perut tidak dapat menerima memandangkan perjalanan masih jauh. Jadi makan saja apa yang dihidangkan sekadar untuk mengalas perut dengan harapan catuan makanan dalam percutian ini membolehkan kami mengurangkan sedikit berat badan!

Ada masih banyak lagi yang ingin diceritakan, terutama pengalaman di perkampungan kungfu Shaolin dan tinggalan sejarah pahlawan Terracota di Xian.

No comments: