Wednesday, September 25, 2013

Didik dengan memujuk


MENDIDIK anak untuk taat kepada ibu bapa adalah satu seni dan ketrampilan yang harus dimiliki ibu bapa.

Apatah lagi kini, cara didikan ibu bapa bukan lagi seperti dulu iaitu menerusi cara menghukum. Justeru, setiap ibu bapa harus menggunakan kaedah terbaik untuk berkomunikasi dengan anak.

Berikut tujuh panduan mudah untuk mendidik anak agar taat kepada ibu bapa tanpa menggunakan kaedah menghukum.

* Ajar anak anda peraturan yang diluahkan dalam bentuk ayat kasih sayang dan bukannya perintah.

Misalnya sebagai ganti kepada kata-kata, "Jangan letakkan buku sembarangan!" kepada "Buku itu tempatnya di rak buku."

Menerusi penggunaan ayat penyata, anak tidak akan berasa sebagai objek perintah tetapi dia rasa diperhatikan dan menjadi subjek. Akhirnya, dia akan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap barangnya.

* Jelaskan peraturan itu dengan baik kepadanya dan bimbinglah anak.

Misalnya, sebagai ganti kata-kata, "Letakkan kembali mainan adik ke tempatnya!", gunakan ayat, "Lebih baik sekiranya adik meletakkan kembali mainan ke tempatnya agar tidak rosak." Sekiranya dia menolak, maka katakan padanya, "Marilah kita kumpulkan mainan ini bersama-sama."

* Apabila anak anda berbuat salah, jangan kaitkan dengan peribadinya, sebaliknya pada perbuatan salahnya.

Misalnya beritahu dia, "Perbuatan ini tidak benar", jangan katakan "Apa yang sudah kamu buat sehingga jadi begini?"

Jangan pula mengatakannya dengan ungkapan bodoh atau malas kerana ia akan melukai perasaannya dan menjadikannya berasa rendah diri.

* Hargailah keinginan anak anda.

Apabila anak anda berkeinginan memiliki semua mainan ketika di kedai atau pusat beli-belah, katakan kepada anak anda, "Adik boleh pilih satu saja mainan, yang lain kita beli pada hari lain ya."

Selain itu, buatlah perjanjian sebelum ke pusat beli-belah dengan berkata, "Walaupun banyak mainan di kedai, tetapi adik hanya akan dapat satu saja."

Dengan cara ini, anak akan berasa dia sudah membuat perjanjian dengan ibunya dan harus mengikut perjanjian itu.

* Perhatikan dan fahami anak anda.

Adakah dia tidak taat atau menurut perintah kerana ada masalah yang sedang dialaminya? Justeru, luangkan masa untuk berbual dengannya.

Beri peluang kepadanya untuk bercakap dan jangan sesekali anda memotong percakapannya.

* Elakkan cara memberi ancaman.

Sekiranya ibu bapa menggunakan cara ancaman secara berterusan, ini akan menyebabkan anak anda sentiasa mencari peluang supaya anda memberi ancaman kepadanya.

Contohnya anda mengatakan, "Mama akan beri mainan baru sekiranya bilik tidur kamu bersih."Anak anda akan mentaati anda kerana inginkan mainan baru, bukannya ingin membantu keluarga dan melaksanakan tanggungjawabnya.

* Berilah pujian kepadanya.

Berilah pujian apabila anak anda mengikut arahan anda. Ucapkanlah, "Bagus", "Jazakallahu khairan", "Hebat anak mama" atau "Anak yang rajin", sehingga dia terdorong untuk melakukannya pada waktu yang lain.

Apabila dia berbuat sebaliknya iaitu melakukan perbuatan buruk maka katakan

kepadanya, "Rajinnya anak kawan mama kerana bilik tidurnya selalu dibersihkan sendiri" atau "Alangkah hebatnya anak itu hafaz 10 juz al-Quran".

Ada juga sebahagian ibu memberikan hadiah kepada anaknya untuk memberikan motivasi kepada mereka seperti memberi satu buku apabila anak berjaya menghafaz satu surah. Cara ini juga satu kaedah yang baik untuk melatih anak-anak mengikut perintah ibu bapa.

Harian Metro - Variasi - Oleh Siti Zarinah Sahib

No comments: