My Followers

Pilihan tempat duduk pesawat

BERCUTI adalah saat yang dinanti-nantikan, apatah lagi ke destinasi percutian yang diidamkan. Menaiki pesawat membuatkan perjalanan lebih mudah terutama menjimatkan masa dan tenaga.

Namun, bagi memudahkan perjalanan dan memberi keselesaan sepanjang penerbangan, pemilihan tempat duduk memainkan peranan penting.

Selain memberikan keselesaan, anda boleh memilih tempat duduk bersama keluarga kerana ada sesetengah syarikat penerbangan menentukan tempat duduk kita dalam pesawat.

Dengan itu, sudah pasti anda akan menghadapi masalah terutama yang mempunyai anak kecil.

Justeru, tip melancong kali ini mungkin dapat memberikan panduan atau pilihan untuk menentukan tempat duduk selesa di dalam pesawat.

Selain memperoleh keselesaan, anda juga pastinya akan gembira sepanjang penerbangan.

* Pertama: Beberapa jenis pesawat daripada pelbagai syarikat penerbangan di dunia memiliki dua atau tiga tempat duduk. Oleh itu, jika melancong seorang diri, lebih baik anda memilih tempat duduk dengan dua kerusi.

Jika memilih tiga tempat duduk dan duduk di tengah, pasti anda tidak selesa. Memilih dua tempat duduk, penerbangan anda akan lebih selesa dan berasa nyaman sehingga sampai ke destinasi.

* Kedua: Pilihlah tempat duduk yang berada di sisi kanan dan kiri lorong jalan. Ia adalah tempat duduk yang paling ideal dan selesa selain baik untuk kesihatan.

Ini kerana, posisi itu memberikan anda akses yang baik untuk masuk dan keluar terutama ketika mahu ke tandas.

Anda juga boleh berdiri dari tempat duduk selain berjalan-jalan bagi menghilangkan lenguh kaki tanpa mengganggu mereka yang duduk di sebelah anda.

* Ketiga: Jika ada melakukan penerbangan pada waktu pagi, pilihlah tempat duduk yang jauh dari tingkap supaya anda tidak diganggu sinaran matahari.

Silau matahari pastinya mengganggu saat anda tidur sekali gus membuatkan anda mengantuk apabila tiba di destinasi.

* Keempat: Jika anda ingin melihat pemandangan udara yang menyenangkan. Pilihlah kerusi di sebelah tingkap. Namun, jangan ambil kerusi di tepi tingkap tetapi betul-betul berada di sayap kapal terbang.

Alih-alih dapat melihat awam dan langit yang membiru, anda hanya dapat melihat sayap kapal terbang yang sudah pasti membosankan anda.

* Kelima: Ruang antara tempat duduk yang sempit sudah pasti membuatkan kaki tidak selesa. Bagi memberikan keselesaan kaki sepanjang penerbangan, pilih tempat duduk di barisan pintu keluar iaitu di pintu kecemasan.

Di bahagian itu, terdapat ruang lebih untuk melunjur kaki dan yang pasti anda memperoleh keselesaan sepanjang penerbangan.

* Keenam: Kenali jenis pesawat yang anda akan naiki. Setiap jenis pesawat memiliki peraturan memilih tempat duduk masing-masing.

Apabila mengetahui peraturannya, anda senang memilih mana tempat duduk yang terbaik untuk anda.

Sumber: Berita Harian - Tue, Aug 23, 2016 - 1Klassifieds 
Post a Comment