Monday, March 17, 2014

8 langkah bercuti bersama rakan


BERCUTI bersama rakan cukup menyenangkan. Berjalan bersama, berkongsi segala keseronokan dan kesusahan bersama menjadi kenangan terindah buat anda.

Namun, sebelum bercuti berubah menjadi tidak menyenangkan, ada baiknya anda mempertimbangkan lapan langkah bercuti bersama rakan ini.

Ini bagi mengelak apabila pulang nanti, hubungan persahabatan tidak terjejas hanya kerana perkara kecil saat bercuti bersama.

1. Tiket tanggung jawab sendiri

Selepas melakukan tempahan tiket, biarlah setiap orang bertanggungjawab atas tiket masing-masing.

Ini membuatkan kita lebih mengambil tahu terhadap keselamatan barang yang kita bawa.

2. Selesaikan segala permasalahan

Jika anda mempunyai banyak kerja yang perlu dihantar semasa bercuti, cuba selesaikan semuanya sebelum memulakan percutian.

Ini perlu supaya anda tidak mensia-sia waktu rakan yang hanya duduk di bilik hotel sementara anda menyelesaikan tugasan yang berbaki itu.

Jika anda turut mempunyai masalah yang belum selesai dengan rakan yang turut sama bercuti dengan ada, ada sebaiknya anda bersemuka dan berbaik-baik.

Ini penting supaya percutian anda berjalan lebih lancar dan tidak mempunyai gangguan emosi sesama sendiri. Ia juga bagi mengelak perkara yang berlaku sebelum ini terutama perselisihan faham tidak berulang.

3. Buat jadual percutian

Ke mana pun destinasi yang anda ingin kunjungi, buat jadual perjalanan dan rancang sebaik mungkin. Senaraikan semua tempat yang ingin dikunjungi dan disertakan dengan pengangkutan untuk ke sana.

Ini adalah perkara yang harus dibuat kerana ia dapat menjimatkan waktu berbanding anda perlu memikirkannya saat sudah memulakan percutian.

Jika rakan ingin ke tempat yang berbeza, tentukan saja tempat perjumpaan. Dengan itu, semua boleh bercuti sesuai dengan keinginan hati.

4. Percutian mewah atau bajet?

Sebaiknya, tentukan tema percutian anda. Ini membolehkan anda tahu dari awal hotel kelas apa yang akan dijadikan tempat menginap, lokasi menjamu selera dan tempat berbelanja.

5. Bawa penutup mata

Ia mungkin remeh tapi penting. Ini berlaku anda sukar tidur dengan sekiranya lampu yang tidak dipadamkan, sedangkan rakan anda sebaliknya.

Jadi, dengan itu, anda boleh tidur nyenyak dalam apa juga keadaan.

6. Tanggungjawab bersama

Jangan menyalahkan sesiapa apabila berlaku sesuatu masalah atau percutian itu tidak seperti mana diharapkan.

Berjaya atau gagalnya percutian itu bergantung daripada persefahaman anda dan rakan-rakan.

Justeru, sentiasa bekerjasama dan bertanggungjawab dalam segala hal supaya anda sama-sama menikmati percutian yang menyeronokkan dan menjadi kenangan terindah buat kalian.

7. Menjaga satu sama lain

Walaupun ada kalanya rakan anda itu terlalu menjengkelkan sepanjang bercuti, mereka adalah `saudara' terdekat anda di destinasi percutian anda. Lebih-lebih lagi saat anda bercuti di luar negara.

Justeru, sudah seharusnya kita saling menjaga satu sama lain sehingga selamat sampai di rumah.

8. Elakkan gajet

Percutian harus dinikmati.

Jangan biarkan gajet merampas segala kesempatan anda untuk menikmati tempat percutian yang dikunjungi.

Lebih baik anda berborak atau bertukar cerita bersama rakan yang ada di depan mata berbanding asyik berhubung bersama mereka yang jauh di sana.

Secara tidak langsung, anda dapat mengenali rakan anda itu lebih rapat dan berkongsi segala rasa seronok bersama.

Sumber: Harian Metro - Variasi - Oleh Suliati Asri

No comments: