Saturday, December 7, 2013

Percutian impian si kecil

MEMBAWA anak-anak bercuti seperti satu kemestian dan menjadi `trend' setiap kali musim cuti persekolahan.

Tidak kira bercuti dalam negeri atau luar negara, saat bercuti bersama anak-anak itu adalah sesuatu yang cukup bermakna. Ia juga bagaikan hadiah buat si anak yang sentiasa memahami kesibukan ibu bapa mereka.

Anak-anak pula adalah insan yang paling gembira dan bahagia ketika menghabiskan masa bersama ibu bapa di destinasi percutian yang menjadi impian.

Anda yang belum sempat membawa anak-anak bercuti atau mungkin tidak ada idea destinasi yang mahu dituju, Santai minggu ini menyenaraikan beberapa destinasi cuti sekolah yang boleh dikunjungi.

Setiap tempat yang disenaraikan itu mempunyai kelebihan masing-masing. Ia bukan saja memberikan keseronokan, kepuasan serta kegembiraan, tetapi menyediakan aktiviti menarik, kreatif dan mempunyai nilai pembelajaran.

* Kidzania, Damansara

Mencuba pelbagai jenis pekerjaan dan merasai sendiri kehidupan orang dewasa, taman tema unik dan interaktif, KidZania antara yang perlu dikunjungi.

Terletak di Curve Nx, Mutiara Damansara, KidZania adalah kota kanak- kanak yang pertama diperkenalkan di Malaysia membolehkan anak-anak meneroka dunia orang dewasa.

Bertemakan `edutainment', KidZania Kuala Lumpur ini bukan sekadar mendidik dan menghiburkan, tetapi destinasi yang memberikan keyakinan diri serta mendidik kanak-kanak berdikari serta membuat keputusan sendiri.

Terbuka kepada kanak-kanak berusia empat hingga 14 tahun, mereka berpeluang merasai serta mempelajari kemahiran hidup seperti bekerja berpasukan, pengalaman memperoleh wang gaji daripada pekerjaan yang dibuat dan berinteraksi dengan rakan baru.

Di sini, mereka bekerja sebagai doktor, polis, bomba, juruterbang, pramugari, hakim, wartawan, penyiasat, jurusolek, pelukis dan jurutera.

Selain merangsang minda, pengalaman di Kid- Zania pastinya memberikan 1,001 idea profesion impian mereka.

* Farm in The City

Terletak di Jalan Prima Tropika Barat, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor, Farm In The City menjanjikan keseronokan kehidupan desa dan bagaikan membawa anda kembali ke kampung halaman.

Berkonsepkan lawatan interaktif, ladang dalam bandar ini bukan saja memberi peluang kepada pengunjung mendekati pelbagai jenis haiwan, malah boleh memberi makanan yang disediakan secara percuma.

Farm In The City ini memberi peluang anakanak melihat pelbagai binatang peliharaan dan eksotik dari seluruh dunia secara dekat.

Ia adalah pusat pembelajaran yang cukup bermakna dengan dihuni lebih 100 spesies binatang eksotik selain pokok buah-buahan dan sayur-sayuran.

Dengan bayaran RM30 untuk dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak yang memiliki MyKad, anak-anak pastinya teruja melihat pelbagai haiwan.

Anda bukan saja berpeluang melihat penyu air tawar yang terbesar di dunia, tetapi pelbagai jenis ular dan biawak yang cukup eksotik selain spesies buaya terkecil.

Ada 33 spesies burung, kanggaru paling kecil, kambing gurun, rusa, burung unta, monyet Marmoset dari hutan Amazon dan 11 spesies rama-rama.

* Escape Adventure Theme Park, Pulau Pinang

Escape Adventureplay adalah tarikan taman tema terbaru di Pulau Pinang yang menawarkan permainan penuh mencabar dan menguji stamina.

Terletak di Teluk Bahang, Escape Adventure Theme Park ini membawa pengunjung kembali mendekati alam semula jadi serta kehijauan hutan yang cukup mendamaikan.

Pusat rekreasi yang sangat mementingkan keselamatan ini menawarkan tarikan seperti Atan's Leap iaitu terjun menggunakan harnest keselamatan dari menara.

Antara tarikan utama di sini adalah Atan's Leap, Gecko Tower, Fox Burrow (pengalaman menjelajah gua), Zoom Bug, Tot's Trail, Coco Climb iaitu memanjat pokok kelapa dan Tubby Race.

Bagi memastikan pengunjung menumpukan perhatian kepada aktiviti disediakan, anda dilarang menggunakan telefon bimbit di lokasi ini.

* Puteri Harbour Family Theme Park, Nusajaya

Taman tema Keluarga Puteri Harbour yang menempatkan Sanrio Hello Kitty Town yang pertama di Asia Tenggara cukup mengujakan.

Taman tema tertutup yang kedua dibina di kawasan Iskandar Malaysia, Nusajaya ini menyediakan pengalaman unik dengan menampilkan tarikan karakter popular kanak-kanak seperti Lat's Kampung Boy, karakter The Little Big Club termasuk Pingu, Bob the Builder dan Barney.

Pelbagai kemudahan lain disediakan seperti lokasi menjamu selera.

Taman tema Keluarga Puteri Harbour ini memberi keselesaan kepada seisi keluarga untuk berhibur selain taman tema indoor yang terhalang daripada cuaca panas atau hujan.

* Legoland Malaysia Legoland

Malaysia mempunya ciriciri unik. Taman tema Legoland yang pertama di Asia ini adalah destinasi hiburan keluarga yang pasti membuatkan kanak-kanak puas dan seronok.

Taman tema ini menyediakan lebih 40 tunggangan interaktif, persembahan dan tarikan sesuai untuk keluarga.

* i-City, Shah Alam

Melihat gemerlapan cahaya lampu yang pelbagai warna cukup mengagumkan.

Dari kejauhan, gondola besar yang menyerikan lapangan iCity ini bagaikan mengalualukan kedatangan pengunjung.

Antara tarikan utama yang disediakan di sini termasuk Bandar Lampu Digital, Snowalk, WaterWorld dan FunWorld.

Terbaru, muzium lilin interaktif pertama di Malaysia dipanggil The Red Carpet, Muzium lilin ini menampilkan patung bintang filem dan selebriti terkenal dunia. Anda berpeluang mendekati atau mengambil gambar bersama patungpatung itu.

* Melaka Wonderland, Melaka

Taman tema air Melaka di Ayer Keroh antara destinasi popular dalam kalangan pelancong yang datang ke Melaka. Terdapat sembilan jenis permainan berasaskan air termasuk 16 gelongsor dan sebuah kolam air yang dilengkapi ombak dan pelbagai lagi permainan mencabar di taman itu.

Melaka Wonderland mempelbagaikan lagi tarikannya bagi memastikan pengunjung tidak bosan setiap kali mengunjunginya.

Terbaru, Taman Dinasour yang menampilkan 15 replika dinosaur termasuk fosil dan telur haiwan prasejarah yang sudah pupus sejak 65 juta tahun lalu diperkenalkan.

* Lost World Of Tambun

Berbanding taman tema lain di seluruh negara, Lost World of Tambun (LWOT) di Ipoh, Perak ternyata unik. Taman tema air buatan manusia dengan seni bina Mayan dihiasi pemandangan indah tasik, hutan hujan tropika dan bukit batu kapur berusia 400 juta tahun.

Ada lima elemen yang disediakan sebagai tarikan ke LWOT iaitu Waterfall Beach Garden, Adventurific Water Slider (taman air), Fantabulous Dry Rides (taman tema kering), Tambun Hot Springs dan Tiger Valley.

Di Waterfall Beach Garden, ia menampilkan Jungle Wave Bay iaitu kolam ombak tiruan terbesar di Malaysia dengan keluasan 3,200 meter persegi.

Jika mahukan sesuatu yang lebih mencabar, cuba gelongsor pelampung.

Untuk kanak-kanak berusia lapan tahun ke bawah, Explorabay adalah tempat paling sesuai. Bermain air pancut di kolam yang cetek pasti menyeronokkan mereka.

Permainan lain yang menyeronokkan ialah Perak Parade, Dragon Flights, Giddy Galleon atau Adventure Express dan kereta api zaman silam.

Puas mandi-manda, berendam di Tambun Hot Springs iaitu kolam khas dibina dengan mengambil air panas dari sumber asalnya sejauh 600 meter melengkapkan kunjungan ada.

* Taman Burung, Kuala Lumpur

Dikenali sebagai `Sangkar Terbang Bebas Terbesar Di Dunia' pengunjung dapat menyaksikan lebih 200 spesies burung tempatan dan asing.

Setiap hari diadakan sesi memberi makan kepada burung dan mungkin anda akan merasai pengalaman bergambar dengan burung kakak tua di atas bahu.

Waktu melawat ialah dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

* Bukit Merah, Perak

Terletak di Bukit Merah, Semanggol, Perak, Bukit Merah Laketown Resort adalah destinasi percutian keluarga yang menawarkan pelbagai tarikan antaranya taman tema air, taman eko dan pulau orang Utan.

Bukit Merah Laketown Resort pula menyediakan pelbagai jenis penginapan mengikut bajet keluarga anda.

* Underwater World, Langkawi

Bagi anda yang mahu membawa anak-anak mendekati dan melihat pelbagai gelagat kehidupan marin, boleh berkunjung ke Underwater World Langkawi.

Terletak di Pantai Cenang, pengunjung berpeluang melihat sendiri kehidupan pelbagai spesies hidupan liar. Anda juga berpeluang meneroka kehidupan ikan air tawar di River Ecosystem.

Terdapat 10 tangki akuarium menempatkan beberapa hidupan reptilia yang sukar ditemui di negara ini antaranya iguana hijau, cicak Afrika, Chinese water dragon dan cicak biru.

Anda juga dapat melihat 4,000 spesies ikan air tawar dan 500 spesies hidupan liar yang lain di Underwater World ini.

Sumber: Harian Metro - Variasi - Oleh Suliati Asri 

No comments: