My Followers

Wang: Bayar hutang atau simpanan?

Dengan wang pendapatan yang terhad, apakah yang patut anda buat dengan wang tersebut, sama ada untuk membayar hutang yang sedia ada atau menyimpannya untuk keperluan akan datang. Mana satu perlu didahulukan? Yang mana satu patut menjadi keutarnaan? Membayar hutang atau membuat simpanan?

Ini adalah keputusan penting yang harus dibuat kerana, walaupun mempunyai akaun simpanan merupakan satu cara untuk merancang masa depan, namun membebaskan diri daripada hutang adalah strategi yang sangat berkesan bagi mencapai kedudukan kewangan jangka panjang yang stabil.

1. Wujudkan Dana Kecemasan

Langkah pertama yang harus dilakukan adalah membina dana kecemasan terlebih dahulu. Dana kecemasan secara amnya merujuk kepada wang yang disimpan untuk digunakan ketika anda betul-betul memerlukannya. Ini sepatutnya menjadi matlamat simpanan anda yang paling utama. Setelah itu, barulah anda menyimpan untuk membeli rumah, pendidikan anak dan persaraan. Tidak kira sama ada anda seorang yang baru ingin menyimpan wang atau sudah mempunyai simpanan yang banyak, mempunyai sejumlah wang yang mencukupi dalam dana kecemasan akan memberikan ketenangan fikiran kerana anda sudah mempunyai perlindungan yang sewajarnya.

Dana kecemasan adalah penting kerana sekiranya menghadapi masalah, seperti kehilangan kerja, ditimpa penyakit, kereta rosak dan sebagainya, anda tidak perlu berhutang. Dengan ini, situasi kewangan anda tidak terlalu terjejas walaupun menghadapi kesukaran. Ingatlah bahawa dana kecemasan ini harus digunakan dalam keadaan yang terdesak sahaja, dan bukannya untuk tujuan percutian, membeli barang kesukaan atau "kehendak-kehendak" yang lain.

Jadi berapakah jumlah dana kecemasan yang harus anda disimpan? Kebanyakan pakar kewangan mencadangkan supaya anda menyimpan sebanyak tiga hingga enam bulan daripada perbelanjaan bulanan. Apabila gaji meningkat, tambahkan jumlah simpanan dana kecemasan supaya anda sentiasa memiliki simpanan sebanyak enam bulan daripada perbelanjaan bulanan. Akhir sekali, sentiasa tambah semula dana kecemasan jika anda telah menggunakannya.

2. Langsaikan Hutang Anda

Setelah mempunyai simpanan dalam dana kecemasan, kini masanya untuk mengalihkan perhatian kepada teras masalah anda, iaitu HUTANG. Oleh kerana gaji yang terhad, anda perlu menggunakan sebahagian atau semua wang yang dahulunya disimpan dalam dana kecemasan untuk membayar hutang.

Bagaimana pula dengan simpanan? la mungkin bukan satu tindakan yang bijak untuk menambah lagi wang simpanan apabila anda masih mempunyai hutang. Kebanyakan hutang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi daripada akaun-akaun simpanan biasa di bank. Oleh itu, anda sebenarnya mengalami lebih banyak kerugian wang daripada hutang tersebut berbanding wang yang diperoleh daripada akaun simpanan.

Contohnya, katakan anda mempunyai RM6,000 dalam sebuah akaun simpanan dengan pulangan 2% setahun dan hutang kad kredit sebanyak RM3,000 dengan kadar faedah 18% setahun. Berapakah jumlah wang anda selepas lima tahun? Jawapannya adalah sifar - anda akan hilang semua simpanan dan masih lagi berhutang RM200 kerana hutang akan meningkat kepada RM6,800, manakala simpanan hanya bertambah sebanyak RM600.

Satu lagi pilihan adalah melaburkan wang tersebut. Sekiranya produk pelaburan itu memberikan kadar faedah yang tinggi, anda boleh menggunakan keuntungan yang diperoleh untuk menjelaskan hutang sedia ada. Namun, anda perlu mengambil perhatian bahawa pelaburan mempunyai risikonya tersendiri dan anda mungkin mengalami kerugian. Ini bergantung kepada tahap risiko sesuatu produk pelaburan pilihan anda.

Walaupun memilih untuk melabur, matlamat utama anda masih lagi untuk menjelaskan hutang. Maka, hutang mana yang harus dijelaskan dahulu? Biasanya, hutang dengan kadar faedah yang paling tinggi seperti kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman kereta harus dibayar dahulu. Biarkan pinjaman perumahan dan pinjaman pendidikan sebagai yang terakhir kerana pinjaman-pinjaman sebegini biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih rendah dan dianggap sebagai "hutang yang baik".

3. Fokus pada Masa Depan

Setelah menjelaskan hutang-hutang yang penting, anda bolehlah kembali memberi perhatian kepada usaha untuk meningkatkan simpanan. Ketepikan sejumlah wang setiap bulan untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan anda (ini juga dikenali sebagai prinsip "bayar diri sendiri dahulu"). Jika majikan membenarkan pemotongan gaji bulanan secara automatik, ambil peluang itu agar anda tidak terlupa untuk memindahkan duit tersebut.

Setelah itu, inilah masanya untuk mula melihat kepada peluang membuat wang bekerja untuk anda, iaitu dengan melaburkan wang yang ada. Anda boleh menggunakan sebahagian daripada wang simpanan untuk dilaburkan dan membantu menghasilkan pulangan. Produk pelaburan yang dipilih bergantung kepada objektif pelaburan dan toleransi risiko anda. Akhir sekali, sentiasa awasi pelaburan untuk memastikan ia sejajar dengan matlamat anda.

Dengan ketiga-tiga langkah yang telah disebutkan, anda kini tahu bagaimana untuk mula mencari keseimbangan antara menyimpan wang dan menjelaskan hutang. Ingatlah bahawa menyimpan wang, melabur dan menjelaskan hutang adalah perkara-perkara jangka panjang yang berkaitan dengan cara hidup anda dan komitmen-komitmen kewangan lain. Selalunya, anda perlu melakukan perubahan kepada cara hidup bagi mencapai keseimbangan di antara ketiga-tiga perkara tersebut dan ia bukanlah suatu yang mudah. Akan tetapi, jika anda ingin mempunyai kedudukan kewangan yang stabil, mencari keseimbangan antara menyimpan wang dan menjelaskan hutang anda adalah kuncinya.

Artikel perancangan kewangan dan pelaburan ini merupakan salah satu usaha berterusan SlDC dalam melahirkan pelabur yang arif dan berpengetahuan dalam pasaran modal. Selain itu, SlDC turut meningkatkan tahap kesedaran mengenai pelaburan bijak dan pengurusan kewangan melalui seminar dan bengkel pendidikan pelabur yang disasarkan untuk pelbagai lapisan masyarakat, seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, ibu bapa, wanita dan pekerja kolar putih dan biru.

Untuk maklumat Ianjut, layari www.min.com.my, hubungi 03-62048889 atau lawati Facebook kami di www.facebook.com/BMWSIDC.
Post a Comment