Monday, October 28, 2013

Sukar untuk memilih kedai cermin gelap yang sesuai?


Dengan keadaan cuaca di Malaysia yang agak panas, ramai pemilik kereta yang ingin memasang cermin gelap (tinted glass) pada kenderaan mereka. Cermin gelap dapat mengurangkan cahaya matahari yang masuk ke dalam kenderaan dan seterusnya udara dalam kereta tidak terlalu panas.

Jika kita perhatikan, terdapat banyak kedai-kedai pemasangan cermin gelap kenderaan atau lebih dikenali sebagai kedai tinted di negara kita ini sehinggakan kita sendiri tidak tahu bagaimana untuk memilih kedai yang paling sesuai dan bagus. Adakah anda tahu bagaimana untuk memilih kedai pemasangan cermin gelap yang bagus?

1 Lakukan sedikit penyelidikan dengan melihat iklan dalam surat khabar atau internet. Anda juga boleh bertanya kepada rakan-rakan yang pernah memasang cermin gelap pada kenderaan mereka dan di mana mereka melakukannya. Dapatkan pendapat mereka tentang khidmat yang telah diberikan.

2 Sekiranya anda telah mempunyai beberapa senarai kedai tinted tersebut, kini tiba masanya anda melakukan sedikit temu ramah melalui telefon. Pastikan anda bertanya kepada mereka berapa lama mereka sudah menjalankan perniagaan di situ.

Biasanya, kedai pemasangan filem gelap yang bagus akan beroperasi lebih daripada lima tahun di tempat yang sama. Ini menunjukkan bahawa perniagaan mereka stabil dan mereka pasti mempunyai pelanggan yang tetap tetapi tidak semestinya kedai yang baru beroperasi kurang mutu dan pengalamannya.

Jika perniagaan mereka agak maju, pasti mereka juga mempunyai cawangan kedai di tempat lain. Pastikan anda bertanya kepada mereka di mana lagi anda boleh membawa kenderaan anda untuk dipasang cermin gelap. Jika mereka menjawab mereka ada cawangan kedai di tempat lain, ini bermakna perniagaan mereka maju dan perkhidmatan mereka bagus sehinggakan mereka mampu membuka cawangan baru.

3 Tanyakan kepada mereka apakah jenisjenis filem tinted yang mereka tawarkan. Sekiranya mereka hanya menawarkan 1 atau 2 jenis filem cermin gelap, ini bermakna mereka tidak mampu untuk memenuhi permintaan anda yang mungkin berbeza dengan apa yang mereka ada.

Kedai cermin gelap yang bagus biasanya akan mempunyai pelbagai jenis filem seperti filem yang diwarnakan, hybrid dan metalik yang bermacam-macam warna serta berlainan tahap lutsinar cahaya. Namun, anda perlulah memilih jenis filem gelap yang diluluskan oleh pihak berkuasa JPJ.

4 Soalan penting yang anda perlu tanyakan kepada mereka ialah apakah jaminan yang mereka tawarkan sekiranya anda memilih untuk menggunakan perkhidmatan mereka. Untuk mendapatkan jaminan yang baik, anda haruslah memilih filem yang tulen. Pastikan anda mendapatkan kad jaminan (warranty card) daripada pihak penjual beserta tarikah, jumlah filem gelap yang digunakan pada setiap cermin serta jumlah keseluruhan pemasangan.

Sememangnya jika anda berbual melalui telefon, bermacam-macam jaminan yang akan mereka berikan malahan mereka juga boleh menipu anda! Jika mereka merupakan pengamal perniagaan yang bagus, mereka pasti sudi menerima lawatan anda ke kedai mereka sebelum anda menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.

5 Cuba dapatkan contoh hasil kerja mereka. Jika mereka tidak keberatan, ini bermakna mereka cuba sedaya upaya untuk meyakinan pelanggan mengenai perkhidmatan yang mereka tawarkan. Jika mereka tidak melayan anda dengan baik semata-mata untuk memberikan informasi tentang perkhidmatan mereka, nescaya mereka juga tidak akan melayan anda apabila berlaku kesilapan setelah mereka memasang filem gelap pada kenderaan anda.

6 Kedai cermin gelap yang bagus akan beroperasi di tempat yang tertutup dan bersih. Hal ini demikian kerana kerjakerja memasang filem gelap pada cermin memerlukan ketelitian bagi mengelakkan habuk melekat pada cermin ketika filem dipasang.

7 Perhatikan pada kereta yang telah dipasang filem gelap. Beri perhatian pada bahagian tepi cermin. Pemasangan filem gelap yang betul seharusnya bermula dari bahagian tengah dan seterusnya kek bahagian tepi.

8 Jika anda terlihat filem gelap yang dipasang agak basah dan melekit, anda tidak perlu risau. Biasanya filem ini memerlukan sedikit masa untuk mengering sepenuhnya. Jika terdapat ruang udara pada bahagian filem yang dipasang dan menyebabkannya menggelembung, ini bermakna teknik pemasangan itu agak kurang bagus.

9 Perhatikan pula pada cermin belakang. Adakah filem gelap yang dipasang dengan hanya menggunakan sekeping filem ataupun dipotong mengikut jalur? Kedai filem gelap yang baik biasanya mampu memasang filem gelap dengan hanya menggunakan sekeping filem tanpa menggelembung.

10 Akhir sekali, dapatkan penyata harga bagi setiap jenis filem, warna dan juga tahap kegelapan di setiap kedai cermin gelap. Kemudian, anda bolehlah memilih kedai yang paling sesuai dengan bajet anda.

Selepas anda membuat keputusan, pastikan anda membuat temu janji dengan pihak kedai terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti mereka tidak mampu menyiapkan pemasangan kerana terlalu banyak tempahan.

Selalunya kerja-kerja pemasangan filem memakan masa antara beberapa jam sehinggalah seharian. Jadi, rancanglah masa anda sebelum menghantar kereta untuk pemasangan cermin gelap.

- Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL);

1 comment:

Greenlava said...

Sebelum pasang filem pastikan baca panduan cermin gelap JPJ.