My Followers

Tekanan akibat tertinggal pesawat



PERASAAN saat terlepas penerbangan memang sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Marah, kecewa, sedih, terkilan, menyesal semuanya bercampur-baur.

Terlepas penerbangan bukan saja mengganggu perasaan tetapi ia juga membuang wang dan masa kerana semua yang dirancang tergendala. Wang pula perlu dikeluarkan untuk membeli tiket baru.

Alasan yang cukup popular digunakan saat terlepas penerbangan seperti kesesakan lalu lintas dan lambat bangun tidur.

Tertinggal dokumen, beratur panjang dan banyak lagi alasan lain yang juga sering digunakan bagi menceritakan kenapa kelewatan itu boleh terjadi.

Tidak mahu mengalami saat-saat yang cukup mengecewakan ini, tip melancong yang diambil dari kompas.com ini mungkin dapat membantu.

* Pasport dan pengenalan diri

Ini mungkin remeh tetapi pastikan anda membawa dokumen yang diperlukan ketika mendaftar masuk. Kebanyakan hanya menyedari tertinggal pasport atau kad pengenalan diri ketika sudah berada di tengah jalan menghala ke lapangan terbang.

Justeru, dengan berpatah balik mengambilnya di rumah, ia pasti membuang masa dan menyebabkan anda tertinggal penerbangan.

Selain itu, pastikan tempoh sah laku pasport anda tidak akan tamat tempoh enam bulan sewaktu penerbangan anda. Tiket penerbangan juga perlu disediakan bagi melancarkan urusan daftar masuk anda.

* Perjalanan ke lapangan terbang

Adalah lebih baik menunggu lama di lapangan terbang daripada anda terburu-buru menuju ke lapangan terbang. Ini kerana, pelbagai hal yang tidak diduga boleh berlaku sepanjang perjalanan ke lapangan terbang terutama kesesakan lalu lintas yang sememangnya menjadi masalah utama di mana juga.

Jika kaunter daftar masuk untuk penerbangan dalam negara di buka dua jam sebelum penerbangan, adalah lebih baik anda sudah berada di lapangan terbang ketika itu.

Mendaftar saat akhir bukan saja penyebab anda akan terlepas penerbangan tetapi juga merugikan anda.

* Urusan daftar masuk.

Beberapa syarikat penerbangan kini menyediakan sistem daftar masuk secara talian. Gunakan perkhidmatan itu supaya anda tidak perlu beratur panjang di kaunter daftar masuk.

Andai syarikat penerbangan anda tidak menyediakan kemudahan daftar masuk secara talian, datanglah selewat-lewatnya satu jam sebelum penerbangan.

Jika bagasi yang dibawa banyak, usahakan untuk beratur satu setengah jam sebelum keberangkatan.

* Keliru mencari terminal dan pintu.

Hanya kerana tersalah terminal ataupun pintu, anda boleh terlepas penerbangan dan ingin banyak berlaku kepada penumpang.

Perkara ini terjadi kepada seorang kenalan di mana kerana tidak biasa dengan lapangan terbang terbabit, dia salah menunggu pesawat di pintu yang berbeza.

Akibatnya, saat pesawat berlepas diumumkan, dia baru sedar bahawa dia berada di pintu yang salah. Lapangan terbang yang luas itu menyukarkannya untuk bergegas ke pintu yang sepatutnya.

Perubahan pintu saat-saat akhir juga sering menjadi punca terlepas penerbangan kerana ada kalanya pengumuman pertukaran itu tidak jelas, penumpang tidak sedar, tidak dengar atau tertidur.

Cara terbaik untuk mengelak masalah ini adalah dengan memastikan terminal dan pintu mana yang harus anda tuju selepas daftar masuk.

Jika anda berniat untuk tidur sekejap di ruangan menunggu, minta tolong petugas di pintu masuk itu untuk mengejutkan anda saat pesawat sudah sedia.

Rajin-rajin juga melihat papan pengumuman untuk mengetahui ketibaan dan pelepasan pesawat dan juga perubahan pintu jika terjadi.

* Pasang telinga.

Hanya kerana tidak mendengar pengumuman keberangkatan disebabkan asyik berbual atau mendengar lagu, anda boleh terlepas penerbangan.

Oleh itu, pastikan anda mendengar dengan jelas setiap pengumuman yang di buat di lapangan terbang.

Ada baiknya anda meminta petugas pintu untuk membantu mengingatkan anda.

Jika anda bersama orang lain, pastikan salah seorang daripada anda mendengar pengumuman yang dibuat. Cara lainnya adalah memasang penggera peringatan di telefon pintar anda.
Post a Comment