Thursday, April 4, 2013

Membeli kereta baru atau kereta terpakai?



SEBAIK sahaja anda mula bekerja, salah satu keputusan penting yang anda akan ambil ialah membeli sebuah kereta. Walaupun kereta merupakan kaedah pengangkutan yang selesa, namun perlu diketahui bahawa memiliki sebuah kereta bukan setakat membayar ansuran bulanan sahaja. Ia juga melibatkan kos lain seperti petrol, bayaran tol, bayaran parkir kereta, cukai jalan, insurans, kos penyelenggaraan serta kos membaiki apabila kereta anda rosak.

Seandainya anda boleh membayar segala kos yang disebutkan tadi dengan selesa, anda masih perlu bertanya kepada diri anda sama ada kereta itu merupakan suatu keperluan ataupun kehendak?.

Apabila kereta adalah keperluan, anda perlu membuat keputusan sama ada ingin membeli kereta baru atau kereta terpakai. Ramai orang beranggapan bahawa membeli kereta baru adalah lebih baik kerana kos penyelenggaraannya rendah, tetapi pada hakikatnya memiliki kereta baru juga ada kelemahannya.

Ketika memutuskan jenis kereta yang diperlukan, anda hendaklah terlebih dahulu menilai kemampuan anda. Jika didapati membeli kereta baru boleh membebankan, belilah kereta terpakai yang masih berkeadaan baik. Lagipun, kereta hanya sebuah kenderaan yang membawa anda bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain.

Tip bijak Membeli kereta

* Buat perbandingan untuk mendapatkan kereta yang boleh diharapkan dan memenuhi keperluan anda. Ada baiknya jika anda meminta nasihat daripada ahli keluarga atau sahabat yang mahir/pakar mengenai kereta.

* Jika anda ingin membeli kereta terpakai, dapatkan khidmat mekanik yang boleh dipercayai atau melakukan pemeriksaan kereta tersebut di PUSPAKOM.

* Pertimbangkan harga jualan semula atau nilai tukar beli kereta sekiranya anda bercadang untuk menukarnya kelak.

* Sekiranya anda mengambil keputusan untuk memohon pinjaman kereta, cari pakej terbaik berdasarkan kemampuan anda. Dapatkan maklumat mengenai kadar faedah efektif yang akan dikenakan.

* Rangka bajet mengikut pendapatan anda. Ambil kira ansuran bulanan kereta dan kos-kos yang lain, seperti kos petrol, bayaran tol, parkir kereta, perbelanjaan lain, termasuk cukai jalan, insurans dan servis biasa.

* Cuba tingkatkan tabungan untuk bayaran pendahuluan supaya pinjaman yang diambil lebih rendah dengan tempoh pembayaran yang lebih singkat. Perlu diingatkan bahawa semakin panjang tempoh pinjaman, semakin banyak faedah yang anda perlu bayar. Ini mungkin akan menyukarkan anda untuk menjual kereta tersebut kerana nilai pasaran kereta jauh lebih rendah berbanding dengan baki pinjaman.

* Jangan gunakan kad kredit untuk membuat bayaran pendahuluan kerana anda terikat dengan pinjaman pada kadar faedah yang sangat tinggi.

* Bersedia untuk menanggung perbelanjaan di luar dugaan seperti membaiki kereta sekiranya berlaku kerosakan atau kemalangan. Ada baiknya untuk mengetahui tentang kemudahan mendapat alat ganti serta kos untuk menggantikannya.

* Pastikan kereta anda mempunyai perlindungan insurans komprehensif yang mencukupi atau sekurang-kurangnya mempunyai perlindungan insurans pihak ketiga.

Sumber: Buku POWER! Pengurusan wang ringgit anda oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.

No comments: